Kebanyakan ikan sungai atau ikan muara memiliki lendir dan bau hanyir. Langkah-langkah yang disediakan ini boleh digunakan untuk membuang lendir dan hanyir pada ikan. Sebelum itu pastikan dulu ikan dibersihkan dengan betul. Buang segala organ dalaman, insang, ketulan darah dan membran putih yang terdapat dalam bahagian dalam ikan.
Perap Dengan Asam Jawa
Ambil segenggam asam jawa dan lumurkan pada ikan. Perapkan seketika sebelum dibasuh bersih. Kalau tak ada asam jawa, boleh juga gunakan cuka. Tapi tak perlu rendam terlalu lama. Cuma sental sekali dan kemudian basuh.
Perap Dengan Cuka Makan
Teknik ini tidak memerlukan perapan yang lama. Hanya bilas ikan dengan sekali lalu dengan cuka makanan. Sental-sental sikit kemudian terus basuh. Jangan biarkan ikan terkena cuka begitu lama. Dan lebih penting dan tersangat penting… jangan tersilap guna cuka getah pulak.
Ramas Dengan Daun Serai
Ambil daun serai dan potong pendek-pendek. Ramaskan daun serai dan gaulkan pada ikan. Lebih elok rendamkan sekejap. Kemudian barulah bilas seperti biasa. Daun serai mempunyai tekstur kasar serta aroma yang wangi dan mampu menghilangkan lendir ikan dengan berkesan.
Perap Dengan Tepung Gandum / Beras
Taburkan tepung pada ikan dan biarkan ia diperap seketika atau lebih kurang 15-30 minit. Kemudian, barulah basuh ikan tersebut dan kemudian goreng seperti biasa.
Lumur Daun Pisang / Daun Jambu
Satu lagi petua adalah dengan menggunakan daun pisang yang dicarik-carik. Lumurkan daun pisang ini pada seluruh bahagian ikan. Lendir akan tertanggal, bau hanyir pun hilang. Selain daun pisang, boleh juga gunakan daun jambu dengan cara yang sama.
Perap Dengan Halia
Halia bukan sahaja menghilangkan bau hanyir malah membuang toksin yang ada pada ikan. Caranya, cincang halia halus-halus dan sapu pada ikan. Biarkan selama 30 minit.
Rendam Dengan Garam + Limau Kasturi
Biasanya di setiap rumah memang ada garam kasar kan? Kalau susah nak dapatkan bahan-bahan lain di atas, cuma gosok dengan garam kasar tanpa air. Lendir akan mudah tertanggal apabila dicuci. Kalau masih berlendir juga, toskannya dan masukkan lebih 3 sudu besar garam bersama beberapa biji perahan limau kasturi untuk diratakan ke seluruh badan ikan. Perap atau rendamkan selama 15 minit sebelum dibilas. Gunakan limau untuk menggosok badan ikan dengan bersih.
Guna Air Basuhan Beras
Ramai juga yang mencadangkan supaya guna air basuhan beras. Kalau nak basuh beras, simpan air basuhan itu dan gunakan untuk mencuci ikan. Air basuhan beras lebih senang menanggalkan lendir-lendir pada ikan. Bau hanyir pun hilang.
Rendam Dalam Susu
Masukkan ikan yang sudah dibersihkan dalam susu dan biarkan seketika kemudian bilas dengan bersih. Susu mengandungi casein yang bertindak menghilangkan trimethylamine oxide yang menjadi penyebab kepada bau hanyir ikan.
Guna Lemon
Titiskan sedikit jus lemon pada ikan. Biarkan seketika sehingga ia meresap ke dalam ikan kemudian baru dibilas dengan bersih. Kalau tiada lemon, boleh juga gunakan limau purut.