Selaku ikan yang boleh hidup dalam dua jenis perairan berbeza (air masin dan air tawar), ikan siakap sememangnya spesies yang unik.
Oleh kerana ia bukanlah spesies yang mudah untuk dipancing, maka orang-orang lama yang sudah berpuluh tahun memancing ikan, sedikit sebanyak petua dan pantang larang mereka ini patut juga kita renung-renungkan.
ΨSebelum turun memancing, jangan sesekali mengerjakan pancing seperti memasang mata kail dan batu ladung pada waktu malam. Jika dilanggar pantang larang ini, esoknya pancing kamu tidak akan disentuh ikan.
ΨSebagai usaha kita disamping ketentuan nasib, sebaiknya koyan dan tali pancing baru, sebelum digunakan, ditangas (diasapi) dahulu dengan membakar bola sepak yang tidak digunakan lagi.
Makrifat di hati kita sebagaimana bola dikejar pemain ke sana ke mari di atas padang, begitulah juga pancing kita akan dikerumuni ikan.
Ads
ΨSebaiknya ikan pertama yang mematuk umpan pancing baru kita, biarlah dari jenis ikan yang bersisik.
Lagi besar ikan-ikan dari jenis ini lagi baik. Pancing kita akan berezeki dan selalu dipatuk ikan-ikan besar.
Tapi kalau ikan pertama yang mematuk pancing baru kita dari jenis ikan tidak bersisik seperti duri, sembilang atau belukang, baik buang saja pancing itu. Pancing itu tidak akan berezeki.
Ads
ΨSeperkara lagi, sewaktu hendak mengikat mata kail, sebaiknya mata kail dimasukkan ke mulut kita dan digigit dahulu.
Niatkan bagaimana mata kail ini masuk ke mulut kita begitulah juga ia akan masuk ke mulut ikan. Ikatlah mata kail itu dengan 7 lilitan.
Bilangan ganjil lilitan akan membuatkan ikan sentiasa mematuk pancing kita bagi menggenapkan bilangan ganjil tersebut.
Ads
ΨLayanlah dengan baik semua makhluk Allah yang bernyawa. Udang yang kita buatkan umpan ini juga bernyawa dan seharusnya dilayan dengan baik dan penuh simpati.
Memang dia telah ditakdirkan untuk berkhidmat kepada amanusia dan menjadi habuan kepada makhluk-makhluk lain.
Jika mahu berasa aman dan dihormati, kita juga mestilah membuat makhluk lain merasa aman dari perbuatan kita.
Sempena cuti panjang tidak lama dulu, saya mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung isteri dan mencuba nasib memancing di suatu muara. Berbekalkan ikan kembung dan sotong segar yang dibeli di jeti nelayan berhampiran, saya mula melabuhkan joran selepas solat Asar.
Saya mengambil port dengan duduk di bongkah batu besar betul-betul menghadap ke muara sungai. Petang itu rezeki saya memang murah. Tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya sudah dimakan ikan. Walaupun setakat sembilang dan gelama yang bersaiz M, ia sudah cukup menggembirakan hati saya.
Sedar tak sedar senja sudah melabuhkan tirainya. Sayup-sayup azan yang kedengaran membuatkan saya mula berkemas untuk pulang. Apatah lagi ketika itu keadaan sudah mula sunyi. Kalau tadi, adalah juga seorang dua kaki pancing duduk berhampiran saya, tetapi entah bila masanya mereka angkat kaki meninggalkan saya keseorangan di situ.
Tiupan angin senja agak dingin hingga terasa ke tulang hitam. Di dada langit mega yang tadinya berwarna kekuningan sudah bertukar kehitaman. Air di muara juga sudah berkocak menandakan angin laut sudah mula bertiup kencang. Kelam-kabut saya mengemas kerana pada jangkaan saya, hujan akan turun bila-bila masa sahaja.
Tiba-tiba terasa titisan air hujan turun renyai-renyai. Saya sudah mula melangkah laju menuju ke motosikal yang saya letakkan betul-betul di bawah pokok ketapang, kira-kira 50 meter sahaja daripada bongkah batu tempat saya duduk tadi.
Pada kiraan saya, mungkin ketika itu baru pukul 7.30 malam tetapi entah mengapa suasana ketika itu sungguh hening dan sunyi sepi. Apatah lagi, hujan sudah turun agak kasar dan ini sedikit menyukarkan pandangan saya yang sedang berjalan ke menuju ke tempat motosikal saya diletakkan.
Hanya berjarak sepuluh meter sahaja untuk sampai ke motosikal, telinga saya menangkap suara budak menangis. Pada mulanya agak sayup namun apabila saya picingkan telinga untuk mendengar, suara itu sebenarnya sangat hampir dengan saya.
Dalam kesamaran senja dan degup jantung yang kencang akibat berjalan laju, saya tercari-cari arah datangnya suara itu. Rupa-rupanya suara itu datangnya dari balik pokok ketapang berhampiran motosikal saya diletakkan.
Seorang kanak-kanak perempuan, berusia dalam lingkungan enam tahun sedang menangis teresak-esak sambil menutup mukanya. Dia duduk mencangkung sambil badannya menghadap laut. Baju gaunnya yang dipakai berwarna merah kelihatan kotor dengan selut lumpur.
Anak siapakah ini, hati saya mula tertanya-tanya. Saya memberanikan diri menghampiri budak itu. Rasa belas dan simpati bercampur baur di dalam hati. Budak perempuan ini sebaya dengan anak sulung saya.
Saya menanggalkan jaket yang saya pakai untuk melindungi budak itu daripada kuyup ditimpa hujan. Ketika itulah, budak perempuan itu berhenti menangis dan mendongak memandang saya. Allah, comotnya budak ni. Mukanya kotor kerana terkena lumpur. Rambutnya agak kusut masai dan matanya itu… ya mata bundar itu merenung saya dengan agak tajam.
Tiba-tiba saya terasa bulu tengkuk saya meremang dan badan saya seperti menggigil kesejukan.
“Pak cik, boleh tolong saya?” suara budak itu lirih pada pendengaran saya.
“Mana ayah dan ibu kamu?” Entah bagaimana, saya tidak menjawab pertanyaannya tetapi menyoalnya dengan soalan yang sedang bermain di fikiran saya.
Budak itu menangis. Jari telunjuknya dihalakan ke muara yang kelihatan berbalam-balam kegelapan. Sesekali kilat memancar di langit dan guruh kedengaran . Sungguh membingitkan telinga.
“Daddy jatuh dalam laut. Mummy pergi cari” jawabnya sambil menangis.
“Pak cik, tolong cari daddy dan mummy saya…” budak itu merayu.
Tangannya dihulurkan pada saya. Dia mengajak saya pergi mencari ibu dan ayahnya yang dikatakan terjatuh dalam laut.
Saya memegang tangan budak itu. Sejuk seperti baru keluar dari peti ais. Tangannya juga licin seperti ikan toman yang pernah saya tangkap di Tasik Royal Belum dahulu. Kami berdua berjalan menuju ke muara. Hujan semakin menggila. Tapi semuanya tidak saya endahkan.
Ketika mahu memanjat bongkah batu besar yang ada di situ, saya ternampak silauan lampu picit bersimpang siur dari bawah. Namun otak saya hanya terfokus mahu membantu budak itu mencari mummy dan daddynya.
Sampai sahaja di atas batu besar itu, budak itu memberi isyarat supaya saya terjun. Tidak jauh dari bongkah itu, saya ternampak sepasang tangan sedang menggapai-gapai ditolak arus laut.
Seorang perempuan muda dalam lingkungan 30-an sedang cuba berenang ke arah tangan yang sedang menggapai itu. Ketika mahu terjun membantu itulah, saya terasa badan saya dipeluk dengan kuat dari arah belakang.
Saya meronta-ronta minta dilepaskan namun suara riuh-rendah meminta saya agar bertenang dan mengucap dua kalimah syahadah. Hanya apabila muka saya disapu dengan air bacaan Yasin, barulah saya seperti orang yang baru tersedar daripada tidur.
Terkejut saya apabila mendapati saudara mara sebelah isteri bersama Tok Imam dan Tok Sidang kampung ada di Kata mereka, isteri saya yang kerisauan menunggu saya hampir jam sebelas malam.
Setelah diberitahu pada ayah mertua, mereka semua sepakat mencari saya di muara sungai ini.
Apabila saya bertanya akan budak perempuan itu, kata Tok Sidang, itulah penunggu muara yang suka mengganggu pemancing yang lewat pulang pada waktu senja. Penunggu ini akan menjelma dengan pelbagai bayangan untuk menarik pemancing itu agar terjun ke dalam laut.
Saya dikira sangat bernasib baik kerana sempat diselamatkan. Setakat ini sudah hampir tiga orang pemancing yang menemui ajal kerana dikatakan terjatuh dari bongkah batu besar itu dengan tiba-tiba.
Di belakang rumah keluarga saya di Rompin ini, terdapat sebatang sungai yang masih jernih airnya. Di sinilah setiap kali ada masa terluang apabila pulang bercuti ke kampung, saya akan menggunakan peluang keemasan yang ada untuk memancing sang jenggo dengan menggunakan joran udang sepanjang 4-5 kaki dan kekili siri 500-1000. Tetapi kena menggunakan tali braided yang agak kasar kerana untuk mengelakkan ia putus digigit oleh ikan buntal yang ada kalanya ‘bermaharajalela’ di dalam sungai.
Biasanya saya menggunakan umpun-umpun sebagai umpan jenggo yang paling mujarab. Atau paling tidak saya gunakan anak udang air payau sebagai umpan. Malam itu bertemankan abang sepupu saya, Rosli, kami mendayung sampan perlahan-lahan menuju ke lubuk yang terletak berhampiran perdu pokok nipah. Malam itu cuaca agak indah dengan bulan mengambang penuh. Kami tidak perlu menggunakan lampu suluh untuk sampai ke lubuk yang dituju. Cukup dengan panduan cahaya bulan yang memantul indah di atas permukaan air sungai yang beriak tenang.
“Sunyi pulak malam ini Mus,” kata Rosli kepada saya. Saya hanya mengangguk namun pandangan saya lemparkan pada barisan pokok nipah yang hidup subur di tebing sungai. Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya.
Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti. Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan abang Rosli terus membaling umpan ke tengah sungai. Sambil menunggu umpan direnggut oleh sang mangsa, saya menghisap sebatang rokok yang asapnya saya niatkan untuk menghalau nyamuk yang galak berkeliaran malam itu.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan. Selepas itu, saya dan Abang Rosli bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit. Abang Rosli memberi isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning. Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!.
Ketika inilah saya terdengar Abang Rosli mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
“Mus!!!” bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Abang Rosli. Mulut abang Rosli terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya. “Itu syaitan Mus. Jangan takut. Dia makhluk Allah jua” kata Abang Rosli lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung. Nasib baik Abang Rosli seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Abang Rosli juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta .
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Abang Rosli tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Rosli seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan. Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”. Selepas itu, baru abang Rosli ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Walaupun peristiwa ini sudah tiga bulan berlalu namun ia masih menghantui saya. Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi memancing sang jenggo pada waktu malam. Saya hanya memancing pada waktu siang itu pun dengan mengajak beberapa orang kawan untuk turut serta. Pengalaman yang saya alami itu saya anggap sebagai satu dugaan kecil dan ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus memburu sang jenggo.
Joran saya bukannya yang mahal-mahal seperti sekarang. Cukuplah kalau setakat dahan kekabu yang sederhana besar atau pokok buluh yang kami akan tajamkan di bahagian hujung untuk diikat dengan tali pancing.
Mata kail pula kami beli di kedai runcit mamak dengan harga 20 sen sebentuk. Umpannya pula sangat mudah didapati.
Ambil cangkul, kemudian korek di bahagian tanah yang sedikit lembap, banyaklah cacing-cacing gemuk yang akan menjadi santapan ikan yang bakal dikail.
Sepanjang saya memancing, banyak juga kejadian misteri yang saya alami terutama apabila memancing di kawasan lombong tinggal.
Ini yang ingin saya kongsi bersama anda semua. Pengalaman ini saya peroleh 10 tahun yang lepas sewaktu memancing di sebuah lombong tinggal di kawasan Sungai Buloh, Selangor.
Malam itu, saya bersama sahabat baik Razak keluar memancing di lombong itu selepas waktu Maghrib. Kami sengaja memilih waktu itu kerana mahukan ketenangan memancing.
Sebelum bergerak, cuaca agak gelap seakan-akan mahu hujan. Angin bertiup agak kencang dengan awan hitam menutup langit.
Kalau tak kerana desakan Razak, saya memang tidak mahu pergi memancing pada malam itu.
Sebaik sahaja mata kail dilabuhkan di dasar tasik, hujan sudah turun rintik-rintik. Angin juga semakin kencang.
Air tasik sedikit beralun-alun namun kegembiraan kerana umpan yang galak dimakan ikan membuatkan saya dan Razak masih lagi bertahan walaupun beberapa orang pemancing yang ada di situ sudah angkat kaki pulang ke rumah.
Saya masih teringat kata-kata seorang pemancing yang lalu berdekatan tempat saya dan Razak duduk. Katanya “Jangan memancing lama-lama dik. Tempat ni agak keras”.
Namun kelekaan kerana mendapat ikan yang banyak membuatkan saya mengendahkan kata-katanya itu.
Dalam keadaan riang gembira itulah saya dan Razak tidak perasan air di tengah tasik kelihatan berpusar.
Pada mulanya perlahan namun lama-kelamaan ia menjadi kuat dan air tasik menjadi ombak besar seperti ombak laut.
Saya dan Razak hampir terhumban ke dalam tasik sekiranya lambat sesaat memanjat tebing lombong yang sedikit curam itu.
Dari atas tebing, kami dapat melihat dengan jelas satu lembaga besar muncul dari permukaan air dengan badannya yang hitam berkilat.
Mukanya seperti begitu hodoh, bertanduk dan mempunyai satu biji mata yang sangat merah.
Setiap kali lembaga itu meranduk air tasik yang separas pinggangnya, setiap kali itulah air tasik akan membuak membentuk seperti ombak besar yang menghempas tebing lombong itu.
Kami berdua seperti terpaku melihat kejadian itu. Hujan pula semakin lebat, menyukarkan pandangan kami ke arah lembaga itu.
Tiba-tiba saya lihat lembaga aneh bermuka ikan toman itu seperti menyedari kehadiran kami di atas tebing lombong itu. Wajahnya tiba-tiba membengis.
Matanya menyinga memandang kami. Dan akibat ketakutan yang teramat sangat, saya terkencing di dalam seluar!!!
“Lari Mil. Lari…!!!” ajak Razak.
Namun, kaki saya bagaikan terpaku ke tanah. Tiada apa yang dapat saya lakukan.
Saya hanya berdiri tegak sambil mata tepat memandang ke arah lembaga bermuka ikan toman itu yang kini berjalan ke arah saya!
Saya tidak tahu apakah yang terjadi seterusnya. Pandangan saya beransur gelap apabila melihat tangan lembaga itu yang penuh lumut dan licin bagaikan toman seolah-olah mahu mencapai saya untuk masuk ke dasar lombong.
Saya hanya sedar apabila nama saya dipanggil. Celik mata, saya sudah berada di rumah dengan dikelilingi sanak saudara dan jiran tetangga.
Saya diberitahu bahawa saya mengalami histeria di tebing lombong itu dengan mulut berbuih, hanyir berbau ikan.
Tangan saya pula mengapa-apai ke atas seolah-olah mahu menyelamatkan diri dari lemas di dalam air.
Menurut pawang yang dipanggil untuk memulihkan saya, saya terkena lintasan hantu air.
Nasib saya baik kerana sebaik sahaja Razak melihat saya mula menjerit ketakutan, dia azan sebanyak tujuh kali di tepi lombong itu.
Selepas itu, keadaan menjadi semakin reda dan air tasik tidak berpusar lagi. Kejadian itu hanya menakutkan saya buat sementara waktu sahaja.
Selepas tiga bulan, saya mula memancing kembali. Saya percaya di dalam dunia ini, kita berkongsi alam dengan semua makhluk ALLAH yang ada.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...