Petua, Pantang Larang Mancing Siakap… Biar Betul!

Share

 

Siakap merupakan spesies idaman ramai pemancing kerana kesukaran mendapatkannya dan keseronokan melayannya. Justeru itulah ada yang berusaha pelbagai cara untuk memperolehinya walaupun dengan kaedah meragukan.

 

Sebelum turun memancing, jangan sesekali mengerjakan pancing seperti memasang mata kail dan batu ladung pada waktu malam. Jika dilanggar pantang larang ini, esoknya pancing kamu tidak akan disentuh ikan.

 

Sebagai usaha kita disamping ketentuan nasib, sebaiknya koyan dan tali pancing baru, sebelum digunakan, ditangas (diasapi) dahulu dengan membakar bola sepak yang tidak digunakan lagi. Makrifat di hati kita sebagaimana bola dikejar pemain ke sana ke mari di atas padang, begitulah juga pancing kita akan dikerumuni ikan.

 

Sebaiknya ikan pertama yang mematuk umpan pancing baru kita, biarlah dari jenis ikan yang bersisik. Lagi besar ikan-ikan dari jenis ini lagi baik. Pancing kita akan berezeki dan selalu dipatuk ikan-ikan besar.

Tapi kalau ikan pertama yang mematuk pancing baru kita dari jenis ikan tidak bersisik seperti duri, sembilang atau belukang, baik buang saja pancing itu. Pancing itu tidak akan berezeki.

 

 

Seperkara lagi, sewaktu hendak mengikat mata kail, sebaiknya mata kail dimasukkan ke mulut kita dan digigit dahulu. Niatkan bagaimana mata kail ini masuk ke mulut kita begitulah juga ia akan masuk ke mulut ikan. Ikatlah mata kail itu dengan 7 lilitan.

Bilangan ganjil lilitan akan membuatkan ikan sentiasa mematuk pancing kita bagi menggenapkan bilangan ganjil tersebut.

 

 

Layanlah dengan baik semua makhluk Allah yang bernyawa. Udang yang kita buatkan umpan ini juga bernyawa dan seharusnya dilayan dengan baik dan penuh simpati. Memang dia telah ditakdirkan untuk berkhidmat kepada manusia dan menjadi habuan kepada makhluk-makhluk lain. Jika mahu berasa aman dan dihormati, kita juga mestilah membuat makhluk lain merasa aman dari perbuatan kita.

 

 

Published by
Amang