Pacat dan lintah merupakan dua spesies penghisap darah yang tidak disukai oleh para pemancing jungle trekking dan juga kaki panjat gunung. Jangan batalkan trip korang disebabkan pacat. Guna petua berikut untuk menangani sang pacat.
Guna leech sock
Leech sock atau stokin pacat merupakan aksesori utama bagi kaki gunung. Namun kaki pancing kurang berminat dengan stokin ini harga lebih mahal dari kasut adidas kampung.
Stokin Panjang
Pakai stokin yang tebal jenis cotton atau stokin bola. Pakai seluar panjang dan masukkan bahagian seluar di bawah ke dalam stokin sepenuhnya. Agar pacat tidak dapat hinggap di kulit kita.
Ads
Guna tembakau
Rendam stokin ke dalam air tembakau dan jemur hingga kering. Kemudian pakai stokin tersebut waktu trekking ke lubuk. Atau boleh juga sapu tembakau pada kulit dan juga stokin.
Sapu minyak kayu putih
Ads
Kalau ada minyak kayu putih, bawa dan sapu pada kaki serta stokin. Minyak kayu putih amat tidak disukai oleh pacat. Elakkan dari sapu terlalu banyak kerana minyak kayu putih bersifat panas.
Spray baygon
Spray kasut dengan Baygon atau lumurkan kaki dengan mosquito repellant atau minyak angin. Pacat dikatakan tidak suka pada bau ini. Jadi kuranglah keinginannya untuk naik ke kaki. Tapi elakkan spray pada kulit kerana boleh terdedah pada alahan.
Ads
Lumur sabun
Cari sabun antiseptik dan sapu pada stokin dan juga kasut. Sabun jenama 999 merupakan pilihan ramai kaki trekking dan geng panjat gunung. Mungkin bau sabun ini yang menusuk hidung pacat untuk mendekati kaki kita.
Jalan depan sekali
Berjalan di laluan atau trek yang ada. Elakkan dari memijak bahagian daun atau semak sekiranya boleh dielakkan kerana disitu terdapat banyak pacat . Lagi teruk kalau terpijak sarang pacat. Paling selamat jalan depan sekali… hahaha.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pada mulanya mereka memancing ikan gombeng dan anak ikan bayan iaitu sejenis ikan karang berwarna warni dan mudah di jumpai bermain di jeti-jeti dan dermaga. Pada masa yang sama pancing mereka sering digasak oleh kumpulan ikan leper yang berada di bawah kawanan ikan gombeng terbabit.
Saya yang sekian lama memerhati tingkah laku mereka lalu mendatangi dan menawarkan diri untuk menjinakkan ikan terbabit. Saya guna apollo buatan sendiri saja. Apollo buatan sendiri itu dipasang umpan hirisan ikan kecil tanpa pemberat.
Memandangkan kumpulan ikan gombeng dan kumpulan anak ikan bayan terlalu banyak, maka dengan mudah umpan dikikis sebelum sempat dijamah spesies yang dihajati. Menyedari teknik demikian tidak akan berhasil, saya pun menukar saiz umpan lebih besar lagi dan apollo dipasang batu ladung nombor 3.
Ternyata teknik ini berjaya melabuhkan umpan tepat ke wilayah ikan kitang lada menurut panggilan tempatan dan membuahkan hasil. Ia cukup menggembirakan pelancong tersebut. Apollo itu saya hadiahkan kepada mereka dan sebelum beredar sempat juga saya pesan cara pengendalian ikan yang memiliki duri berbisa pada sirip tajamnya itu.
Rakan baik saya Syamil ajak menjala di Tasik Teja, sebuah tasik yang masih belum tercemar dan terletak di kawasan pedalaman di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Kami pergi berempat dengan ditemani Zarim dan Chak.
Pakcik Mat, pemilik bot sudah sedia menunggu di jeti. Rupa-rupanya Syamil telah merancang semua aktiviti menjala dan memancing dengan penuh teliti.
Perjalanan dari jeti ke port pertama memakan masa hampir 45 minit. Spot yang dipilih ini betul-betul terletak di sebuah kuala sungai yang menganjur masuk ke dalam tasik dan kami merancang akan bermalam di situ.
Syamil menyuruh kami memasang khemah dan mencari kayu api untuk persediaan memasak dan membuat unggun api. Saya pula ditugaskan untuk memasak. Memandangkan hari sudah beransur petang, saya terus membasuh beras untuk ditanak.
Lauk untuk malam itu ringkas sahaja. Sambal sardin, telur dadar berulamkan timun Jepun yang dibekalkan oleh isteri saya. Saya juga membancuh air kopi O satu cerek besar yang bakal diminum untuk menahan mata daripada mengantuk. Siap semuanya, barulah saya mengeluarkan jaring dan mula membetulkannya dengan dibantu oleh Chak.
Ketika meranduk tebing sungai sedalam paha untuk mengambil wuduk, saya dikejutkan dengan kehadiran tujuh jenis bunga yang mengalir tenang di hadapan saya. Bunga melur, mawar, kenanga, kekwa kuning, dan tiga jenis lagi yang tidak saya ketahui namanya seolah-olah cuba menarik perhatian saya untuk terus memandang hingga hilang dibawa arus.
Sesaat itu juga saya tercium bau limau purut yang sangat menyegarkan menusuk masuk ke hidung. Saya beristiqfar seketika sebelum meneruskan hajat mengambil wuduk. Tidak saya ceritakan kepada kawan-kawan peristiwa yang baru berlaku itu.
Malam itu saya memasang jaring di beberapa lokasi yang dicadangkan oleh Syamil dengan menaiki bot. Aktiviti menjala tidak dapat dilakukan kerana kawan-kawan berasa letih dan mengantuk. Malam itu saya bermimpi jaring yang saya pasang berjaya ‘menangkap’ seorang puteri jelita yang sedang mandi-manda di sungai itu bersama beberapa dayangnya.
Tuan puteri itu menangis-nangis merayu agar saya melepaskan dia. Katanya, andai saya membantu dia, dia berjanji akan memberikan saya sesuatu yang berharga.
Saya tersentak daripada tidur dan terus mengucap dan beristiqfar. Sempat saya memandang jam. Tepat jam dua pagi. Saya mengambil keputusan untuk mengambil wuduk kembali dan saya memberanikan diri memeriksa dua jaring yang saya pasang.
Saya mendayung perlahan bot dengan bantuan lampu suluh. Pada jaring pertama, kosong. Tiada langsung ikan mengena. Pada jaring kedua pula, saya temukan seekor ikan kecil bersisik emas yang tidak meronta lagi. Seolah-olah sudah pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya. Saya mengambil keputusan untuk melepaskan ikan kecil bersisik emas itu.
Keesokan harinya, saya terkejut apabila melihat dua jaring yang saya pasang penuh dengan ikan kelah, sebarau dan baung. Kami seolah-olah berpesta ikan hingga penuh tong ikan yang kami bawa.
Saya juga menjumpai sebentuk cincin berbatu hijau di dalam perut ikan kelah yang saya bersihkan untuk dijadikan hidangan makan tengah hari. Lebih mengejutkan cincin itu memang sesuai dengan jari manis saya.
“Sunyi pulak malam ini Bob,” kata Rostam kepada saya. Saya hanya mengangguk namun pandangan saya lemparkan pada barisan pokok nipah yang hidup subur di tebing sungai. Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya.
Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti. Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan abang Rostam terus membaling umpan ke tengah sungai. Sambil menunggu umpan direnggut oleh sang mangsa, saya menghisap sebatang rokok yang asapnya saya niatkan untuk menghalau nyamuk yang galak berkeliaran malam itu.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan.
Selepas itu, saya dan Abang Rostam bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit.
Abang Rostam memberi isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning.
Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!.
Ketika inilah saya terdengar Abang Rostam mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
“Bob!!!” bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Abang Rostam. Mulut abang Rostam terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya.
“Itu syaitan Bob. Jangan takut. Dia makhluk Allah jua” kata Abang Rostam lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung.
Nasib baik Abang Rostam seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Abang Rostam juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta .
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Abang Rostam tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Rostam seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan.
Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”. Selepas itu, baru abang Rostam ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Walaupun peristiwa ini sudah tiga bulan berlalu namun ia masih menghantui saya. Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi memancing sang jenggo pada waktu malam.
Saya hanya memancing pada waktu siang itu pun dengan mengajak beberapa orang kawan untuk turut serta. Pengalaman yang saya alami itu saya anggap sebagai satu dugaan kecil dan ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus memburu sang jenggo!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...