Petua Elak Mabuk Laut

Share

Perkara yang paling tidak disenangi oleh mana-mana permancing ketika turun memancing di laut dengan menaiki bot atau sampan ialah mabuk laut. Disebabkan tiada ubat yang benar-benar berkesan untuk mengatasi masalah maka muncullah pelbagai petua bagi mengatasinya. Dan memandangkan ia berstatuskan petua maka tiada siapa yang dapat mengesahkan keberkesanannya. Terpulang pada budi bicara sendiri sama ada mahu percaya atau sebaliknya. Berikut beberapa petua yang boleh korang cuba bagi mengatasi mabuk laut.

PETUA 1

Letak beberapa biji lada hitam di dalam lubang pusat dan tutup dengan plaster atau apa-apa saja pelekat (logiknya… mungkin lada hitam tersebut bertindak mengeluarkan angin yang terkumpul melalui pusat).

PETUA 2

Tampal koyok yang biasa digunakan untuk menghilangkan sakit kepala pada pusat (logiknya mungkin sama dengan menggunakan lada hitam).

PETUA 3

Minum beberapa teguk air laut atau mandi laut (ada yang berkata ia berkesan namun macam susah juga untuk menilai di mana logiknya).

PETUA 4

Makan sebiji dua pisang mentah yang kelat rasanya (mungkin ada kesannya tapi pastikan pisang tersebut dan cukup tua dan bukannya pisang muda yang masih bergetah).

PETUA 5

Hidu buah limau nipis dan makan sedikit kulitnya (logiknya memang terbukti kerana limau nipis sememangnya sering di bawa dalam pelayaran. Rasanya yang masam dan baunya yang segar mampu menghilangkan rasa mual dan loya).

PETUA 6

Selitkan sayur kangkung pada pinggang atau di dalam poket pakaian (admin rasa ini lebih kepada lawak jenaka kerana langsung tidak nampak apa efek selit kangkung pada badan. Kalau kangkung tersebut dibuat goreng berkicap rasanya lebih berkesan untuk perut).

PETUA 7

Makan keledek mentah (mungkin berkesan… cuma takut ia menyebabkan angin berkumpul dalam badan susah untuk dikeluarkan. Lagi susah angin keluar maka lagi cepat kejadian mabuk berlaku).

PETUA 8

Gigit batang cengkih (mungkin ada efeknya… bolehlah cuba kalau sesiapa nak cuba. Paling tidak pun mungkin rasa macam hisap rokok Gudang Garam).

PETUA 9

Tumbuk lada hitam dan halia bara, kemudian sapu pada perut dan pusat (yang ini nampak macam berkesan tapi tak sanggup pulak admin nak bayangkan rasa pijor atau kepanasan kulit perut dan pusat).

PETUA 10

Minum air berkarbonat yang dicampurkan perahan limau nipis (yang ini admin sokong seratus peratus. Dah boleh nampak kesannya. Nak lagi sedap simpan air tersebut dalam bekas air. Minum waktu panas…. mencakoppp!)

PETUA 11

Makan 3 sudu madu yang dicampurkan secubit garam (logiknya macam ada di situ… madu kan penawar segala penyakit. Kalau tak cuba tak tau… lepas ni bolehlah cuba bawak madu ke laut).

PETUA 12

Tangkap daun yang gugur tanpa mencecah tanah dan kemudiannya selitkan pada pinggang atau simpan di dalam poket pakaian (bunyi macam hebat ala-ala misteri Nusantara sikit tapi admin tak nampak pun apa kaitannya dengan daun yang gugur tak cecah tanah tu).

Published by
Amang