Petua Bebaskan Pari Melekap *

Share

 

Cabaran paling getir memancing ikan pari ialah bila berhadapan dengan tindakan ikan pari melekap seluruh tubuhnya di dasar laut. Berikutan daripada itulah munculnya pelbagai petua untuk membebaskan pari daripada melekap. Ada petua yang logik tetapi kebanyakannya langsung tak boleh boleh diterima akal.

 

JENTIK TALI

Jentik tali pancing macam main gitar. Alasannya, pari akan terasa ngilu akibat daripada getaran tali pancing yang turut menggetarkan mata kail yang tertusuk pada mulut pari. Di mana logiknya korang fikirkanlah sendiri.

 

CURAH AIR TAWAR

Curah air tawar sama ada air paip atau air minuman pada tali pancing. Alasannya, air tawar yang akan mengenai mulut ikan pari akan menyebabkan kejutan atau melemahkannya. Sekaligus akan membuatkan ia bergerak keluar dari melekap. Logik ke air tawar boleh sampai ke mulut ikan pari setelah dicurahkan pada tali pancing?

 

GENTEL TEMBAKAU

Gentel atau lurutkan tembakau rokok pada tali pancing laju-laju. Alasan dan kesannya sama juga macam jentik tali pancing supaya ikan pari akan rasa ngilu. Di mana logiknya pun lebih kurang sama juga. Tak tercapai dek akal macam mana getaran tersebut boleh sampai ke mulut pari sekaligus rasa ngilu boleh mengatasi rasa sakit akibat tertusuk mata kail.

 

LEPASKAN BATU LADUNG

Sama ada menggunakan klip atau snap yang disangkutkan batu ladung, kemudian dilepaskan menerusi tali pancing dengan tujuan untuk mengetuk kepala atau mulut ikan pari, ia tetap merupakan satu tindakan yang tak masuk akal. Lebih-lebih lagi teknik pancingan tersebut menggunakan perambut tanduk atau ranggung.

 

TURUNKAN TEMBAKAU

Dikatakan ikan pari tidak suka bau tembakau (usah bincang bila masa pulak pari pernah hidu bau tembakau), maka tembakau dimasukkan di dalam uncang kain dan diturunkan melalui tali pancing menggunakan batu ladung sebagai pemberat. Persoalan paling utama, tak tersangkut ke uncang tembakau tu pada batu ladung yang digunakan di tanduk atau ranggung?

 

GUNA KAIN BERPETROL

Konsep yang sama menggunakan uncang tembakau. Kesannya juga nampak macam boleh diterima akal. Tapi pelaksanannya tetap tidak pratikal. Lebih buruk ia boleh mencemarkan alam sekitar. Silap-silap ikan lain yang ada di lubuk tersebut semua cabut lari sebab tak suka bau petrol.

 

Begitu juga dengan kaedah menggunakan tempurung kelapa, tutup botol atau daun sireh… semuanya petua yang susah untuk dihadam oleh logik akal.

Published by
Amang