Pesta Toman Bujang!!

Share

 

Berikutan dangau lama sudah usang dan menunggu masa untuk rebah ke bumi. Ia tidak boleh dijadikan tempat berteduh lagi, maka dangau terapung milik penduduk setempat

yang kami panggil Abang Atan menjadi kediaman kami dalam trip percutian sambil memancing selama tiga hari dua malam kali ini.

 

Dangau Abang Atan sebenarnya adalah pondok kecil di sangkar ikan atau lebih tepat lagi rumah rakit yang baru dibina oleh Abang Atan.

Kunjungan saya dahulu dangau itu masih lagi dalam proses pembinaan. Sementera pulau (tanah tinggi yang tidak ditenggelami air tasik) yang dihubungkan ke dangau dengan

batang balak merupakan kebun getah dan buah-buahan yang diusahakan oleh Abang Atan sendiri.

 

Oleh kerana kami sampai ke dangau itu sudah lewat petang, maka kami keluar mengilat di kawasan tasik empangan terbuka berdekatan dengan dangau.

Keesokan hari barulah kami akan masuk ke suak simpanan yang sudah setahun lebih tidak diusik. Mengilat toman di kawasan tasik empangan terbuka itu sahaja sudah menyeronokkan.

 

Kehadiran ikan seluang yang agak banyak memudahkan kami untuk mengesan toman. Hanya kehadiran ikan loma yang timbul bermain air sedikit sebanyak mengganggu tumpuan untuk mengesan toman timbul meneguk udara.

 

Keesokan petang harinya barulah kami memasuki suak yang sekian lama tidak terusik itu. Kami masuk dengan menggunakan dua buah sampan sahaja.

Enjin-enjin sampan disimpan di dangau usang di muka pintu suak yang sudah hampir roboh sepenuhnya.

 

 

Sementara keadaan di dalam suak semakin berselirat dengan pokok-pokok tumbang menyulitkan sampan untuk bergerak walaupun tanpa menggunakan enjin.

Sementara aktiviti yang diperlihatkan oleh penghuni-penghuni suak ternyata meningkatkan adrenalin kami. Tanpa perlu berdayung lebih jauh ke dalam suak, sekadar membaling gewang ke reba-reba berdekatan sudah pun menerima sambaran dari toman.

 

Sama ada gewang permukaan, katak tiruan, atau umpan tiruan plastik, semuanya menerima sambaran dari pemangsa yang majoritinya adalah toman.

Disebabkan banyak pokok tumbang di dalam air, maka banyak jugalah toman-toman bujang menyambar gewang berjaya meloloskan diri dan meninggalkan gewang kami melekat pada reba di dalam air.

 

 

Boleh dikatakan sesiapa yang saja masuk dan memancing di dalam suak itu walaupun pertama kali belajar mengilat akan memperoleh banyak strike.

Sepetang di suak itu sahaja kami memperoleh sekurang-kurangnya 50 strike namun hanya beberapa belas ekor toman bujang sahaja yang berjaya didaratkan dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.

 

Keesokan paginya sebelum bergerak keluar dari tasik empangan itu kami kembali lagi ke suak tersebut.

Biarpun keputusan pagi itu tidak serancak hari sebelumnya, namun kami berjaya juga mendaratkan mama toman yang agak culas untuk membaham gewang.

 

 

Malah kami turut berjaya memujuk beberapa ekor sebarau remaja. Yang pasti suak persendirian itu masih lagi dihuni oleh banyak pemangsa dan sedang membesar dengan semulajadi.

Dan pasti juga kami akan kembali lagi ke suak ini untuk berpesta dengan toman-toman yang setahun dari sekarang akan bertambah saiznya dan lebih ganas menyerang gewang-gewang yang kami gunakan.

 

Published by
Amang