Pesta Toman Bujang Royal Belum

Share

 

Keadaan air yang surut dan agak keruh menyukarkan sedikit perjalanan masuk kami ke Sungai Tiang. Di tebing cetek Sungai Tiang kami dihiburkan dengan beberapa ekor haruan remaja dengan menggunakan gewang selaman cetek dan spinner.

 

Kemudian kami mencuba pula di dua buah lopak air yang agak besar berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Tiang. Beberapa ekor lagi haruan remaja turut kami perolehi di sini menggunakan jump frog, spinner bait dan pencil. Tangkapan terbaik adalah haruan berskala 1.4 kg menggunakan spinner bait.

 

 

Memandangkan hari telah semakin gelap kami kembali semula ke house boat walaupun masing-masing masih belum puas melayan sambaran yang begitu banyak oleh haruan di lopak tersebut.

 

Setibanya di house boat, dua kumpulan lain juga turut membawa berita yang agak menggembirakan apabila berjaya mendaratkan beberapa ekor toman walaupun masih tiada lagi tangkapan sebarau yang dicari.

 

Kami telah keluar seawal pagi keesokan harinya dengan harapan sasaran dicari akan tercapai dan suak-suak di Sungai Tiang dituju serta kawasan-kawasan sekitar highway. Seperti semalamnya, masih tidak kelihatan kelibat kawanan sebarau ‘mendidih’ namun sang toman banyak kelihatan menimbul mengambil udara.

 

 

Kami memasuki satu kawasan suak dan saya sekali lagi membuka tirai tangkapan hari kedua dengan seekor toman bujang yang menyambar gewang Megabass Prop Darter yang saya lontarkan di hujung kayu tumbang. Seterusnya kami memperoleh sambaran dari toman-toman remaja sahaja yang begitu galak menyambar gewang permukaan.

 

Di satu suak lain yang terdapat aliran anak sungai kami akhirnya berjaya juga memecah kebuntuan di mana Ajip dan Matstuckq mendaratkan sebarau berskala hampir 1kg seekor seorang menggunakan gewang selaman Rapala Flat Rap dan Tail Dancer.

 

 

Selepas makan tengah hari hujan turun dengan begitu lebat selama hampir 2 jam. Adakah nasib kami bakal berubah dengan turunnya hujan rahmat ini? Sebaik sahaja hujan reda kami tanpa berlengah lagi terus menuju spot-spot yang dirasakan berpotensi di sekitar Sungai Kenerong.

 

Kami telah menemui sekumpulan anak toman yang masih merah lagi namun kawanan anak tersebut menghilang walaupun baru sekali sahaja lontaran gewang dilakukan. Kami terus menyusuri suak tersebut dan lontaran terakhir oleh Matstuckq sejurus sebelum bergerak keluar disambar kasar oleh penghuni dasar.

 

 

Rupa-rupanya induk kawanan anak toman sebentar tadi yang menyambar gewang selaman Rapala Tail Dancer dan induk tersebut berjaya didaratkan. Setelah gambar dan berat diambil induk tersebut dilepaskan semula kepada kawanan anaknya dengan selamatnya.

 

Saya seterusnya mendapat sambaran apabila gewang selaman Ofmer X-Deep yang saya lontarkan sebaik sahaja mengesan kelibat riak air toman menimbul di sebelah bot namun nasib tidak menyebelahi saya kerana toman bujang yang saya anggarkan berskala 3-4kg tersebut berjaya mengangkangkan mata kail semasa pecutan terakhirnya.

 

Begitu juga dengan Matstuckq yang sekali lagi mendapat sambaran kasar tetapi toman tersebut berjaya meloloskan diri apabila licik membelitkan tali utama ke reba.

 

 

Namun begitu, Matstuckq berjaya juga mendaratkan seekor sebarau sebelum senja dan saya juga turut memperbaharui lesen sebarau Royal Belum saya sejurus selepas itu apabila mendaratkan seekor sebarau remaja menggunakan gewang selaman Rapala X-Rap yang saya lontarkan berulang kali ke satu tunggul kayu tumbang.

 

Apabila kami pulang ke house boat dua kumpulan yang lain turut berjaya memperolehi beberapa ekor lagi sebarau. Memang benarlah hujan yang turun memberi rahmat kepada kami.

 

Untuk hari terakhir kami lebih santai kerana masa untuk mengilat yang terhad. Kami keluar awal selepas menikmati sarapan pagi. Kali ini kami menuju sekitar suak di Sungai Ruok berhampiran dengan jeti Pulau Banding.

 

 

Tiada hasil yang membanggakan di situ kecuali seekor sebarau hampir 1kg yang berjaya Martdet perolehi dengan menggunakan sesudu jenama Bakau. Kami keluar semula dari suak tersebut dan seterusnya memasuki Sungai Gadong sebelum pulang.

 

Hinggalah kami tiba jauh ke pertengahan sungai tersebut di mana kami menemui satu kawanan anak toman yang telah bersaiz 200-400gram yang masih lagi diiringi oleh induknya. Kami bergilir-gilir melontar gewang permukaan serta selaman dalam, hanya satu sambaran yang diperolehi namun tidak menepati sasaran seolah-olah hanya sekadar menghalau sahaja.

 

 

Selepas beberapa kali lagi lontaran dilakukan tiada lagi sebarang sambaran dan kami kembali semula ke house boat untuk bersiap pulang.

Published by
Amang