Persediaan Terbaik Sebelum Memancing Di Kelong

Share

 

Memancing di spot seperti kelong sentiasa menjadi pilihan jika kita inginkan tempat yang santai dan jauh dari hiruk pikuk kota. Iyelah, dah nama pun port santai, nak harapkan dapat bertong-tong ikan tu memang jauh sekalilah.

 

Ikan di kelong ni memang sukar diramal. Harus ambil kira banyak faktor jika ingin mendapat hasil yang terbaik. Setelah banyak kelong dan rumah rakit yang penulis terokai, boleh penulis katakan pancingan di kelong ini begitu subjektif.

 

 

Setiap kelong yang ingin diterokai biasanya mempunyai teknik yang berbeza untuk menjerat ikan. Namun, setelah mencedok banyak ilmu daripada otai-otai kelong, akhirnya penulis bermurah hati untuk berkongsi beberapa panduan dan tip untuk kaki pancing menduga kelong-kelong yang ada di Malaysia.

 

 

Maklumat kelong

 

Perkara paling penting untuk kaki pancing sebelum turun memancing di kelong adalah dengan membuat sedikit kajian tentang kelong yang anda ingin pergi. Ini dapat membantu anda untuk mengetahui struktur, kedalaman, dan pelbagai aspek penting yang lain tentang kelong tersebut.

 

 

Anda juga boleh mengkaji tentang spesies ikan yang ada di situ. Bila tahu spesies apa yang ada, anda boleh mempersiapkan kelengkapan yang bersesuaian untuk memburu ikan target. Ingat, lain ikan, lain tekniknya.

 

Kaji fasa air

 

Membaca air ini mungkin agak subjektif kalau hendak kita ceritakan untuk memancing di kelong. Ada kelong yang sesuai untuk kita pergi ketika air besar dan ada juga yang lebih sesuai sewaktu air bani.

Tapi mengikut pengalaman penulis sendiri, antara waktu yang terbaik untuk menduga kelong ialah ketika perjalanan air bani hendak ke besar ataupun ketika air besar hendak ke bani. Waktu sebegini lebih selamat kerana arusnya tidaklah begitu laju dan juga tidak begitu perlahan.

 

 

Peralatan yang Sesuai

 

Untuk memancing di kelong mudah sahaja. Tak perlulah anda menggunakan set mahal atau high end. Cukuplah set ekonomi yang tahan lasak dan diyakini mampu untuk menaikkan spesies-spesies yang ada di kelong.

 

Apa pun, untuk joran, yang paling minima untuk diguna pakai di kelong ialah 8 kaki. Sebaik-baiknya guna joran bersaiz 10 – 13 kaki untuk memancing di kelong. Ini kerana, boleh dikatakan kebanyakan kelong, spot ikan bermain agak jauh dari kelong. Jadi kita memerlukan rod panjang untuk membuat balingan jauh bagi membolehkan umpan kita sampai ke spot ikan.

 

 

Namun, semuanya bergantung kepada keluasan kelong juga. Jika kelong itu ruangnya agak terhad, cukuplah sekadar menggunakan joran 8 – 10 kaki sahaja. Lebih elok lagi bawalah variasi joran iaitu set panjang (untuk balingan jauh), set berat (untuk pancingan bawah kelong), dan set ringan (apollo).

 

Untuk kekili, saiz yang biasa digunakan ialah 4000 dan ke atas. Ia kemudian dipadankan dengan mainline sama ada mono atau braided minima 20lb. Seelok-eloknya digalakkan menggunakan tali braided kerana ia lebih tahan lasak jika anda bertarung dengan ikan bersaiz besar.

 

Published by
Amang