Perkongsian Terbaik Pancingan Pantai

Share

 

Hasil temubual dengan seorang otai pancingan pantai atau surfcasting, kami berjaya buat satu rumusan sebagai panduan untuk korang cuba dan praktikkan.

 

Umpan

 

Umpan untuk kegunaan memancing di pantai boleh disenaraikan seperti berikut:

Udang segar (hidup lebih baik).

Perumpun sarang/pantai.

Hirisan ikan (kembung, selar, selayang).

 

 

Sotong pasar (sotong cumit / kurita paling sesuai).

Anak ikan belanak.

Ikan muara seperti beliak mata, selangat, bilis air, bulu ayam, rencang rebung dan kasai.

Ketam angin / anak ketam batu.

Roti untuk umpan belanak besar.

Roti canai / daging ayam untuk ikan kuku.

Siput, kerang, kupang dan isi cengkerang lain.

 

 

Batu ladung

 

Saiz batu ladung boleh menentukan jarak balingan. Tetapi pastikan batu yang digunakan dapat ditampung oleh hujung joran ketika lontaran dibuat. Jika tidak, hujung joran mudah patah ketika permulaan lontaran.

 

Saiz batu juga boleh ditentukan melalui keadaan pasang surut serta permukaan. Bermula nombor 8 hingga 12 adalah saiz yang lumrah digunakan pemancing pantai. Pilih batu jenis lonjong memanjang supaya ia kurang memberi rintangan angin dan arus.

 

 

Perambut

 

Perambut mulakan dengan 20 hingga 60lb bergantung kepada kekuatan tali utama, saiz mata kail, kapasiti kekili dan kekuatan joran yang digunakan.

 

Pilih warna cerah dengan panjang perambut antara 1 hingga 2 kaki. Kalau memancing ikan bebulus di pantai perambut setengah kaki dengan kekuatan 12lb amat sesuai.

 

 

Waktu sesuai

Kunjungi pantai ketika keadaan air yang kurang gelombang dan berangin. Pastikan tiada hujan sebelum kunjungan dan air yang hampir jernih (jika air terlalu jernih, ikan biasanya kurang galak memakan umpan).

 

Waktu terbaik ialah ketika air pasang penuh. Ketika itu, ikan akan merapat ke pantai. Pada sebelah malam pula, ikan lebih efektif daripada siang.

 

 

Secara ringkas waktu paling sesuai ialah lewat petang hingga sebelum fajar. Terbaik ialah lepas solat Maghrib hingga sebelum habis waktu Subuh.

 

Sebagai tambahan, menggunakan joran panjang tidak kurang 10 kaki (3.5 meter) adalah satu kelebihan. Kekili jenis mendatar (spinning) dan spool jenis panjang sesuai jika pemancing berhajat membuat lontaran lebih jauh.

Published by
Amang