Perkembangan Coarse Fishing Tanah Air

Share

 

Tepat sebagaimana yang diucapkan oleh Guvnor atau Tengku Izzudin selaku presiden Malaysian Coarse Fishing Association (MCFA), setiap kali beliau mengadakan kelas coarse fishing, walaupun ia dijalankan secara percuma, sambutan yang diterima tidak pernah mencapai 50 orang peserta.

 

Malah, ketika kelas pengenalan feeder fishing iaitu salah satu teknik dalam terma coarse fishing yang beliau langsungkan di Fish Valley, Semenyih hanya dihadiri kurang dari 10 peserta.

 

Walau bagaimana pun ia sama sekali tidak mematahkan semangat beliau untuk terus memperkenalkan terma memancing pancingan air tawar yang cukup gah dan mahsyur di Eropah itu.

 

 

Sebagai tanda sokongan, saya turut hadir dalam sesi ini. Bahkan saya turut membawa seorang rakan yang cukup sinonim dengan pancingan kolam komersial air tawar.

Sebagaimana yang telah saya duga, soal kos peralatan dan kesukaran untuk mendapatkan kelengkapan coarse fishing akan menjadi tembok penghalang kepada sesiapa saja pemancing yang ingin berjinak-jinak dengan gaya pancingan orang Eropah ini.

 

Namun saya tekankan pada rakan saya (kepada pemancing lain yang ingin mencuba terma coarse fishing), jangan ditengok pada peralatan terutamanya aksesori yang digunakan.

 

 

Sebaliknya tumpu pada teknik dan ilmu yang ada dalam coarse fishing. Sekiranya tidak berminat untuk terlibat secara langsung dengan coarse fishing tetapi teknik dan ilmu yang diperolehi itu boleh diterapkan dalam teknik pancingan kolam air tawar.

 

Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya teknik pancingan air tawar adalah adaptasi dari coarse fishing juga.

 

Pada pendapat saya, soal kos atau perbelanjaan yang perlu dilabur oleh bakal pemancing coarse fishing ini bukanlah penghalang utama.

 

 

Semua pemancing sedar hobi memancing itu sendiri adalah hobi yang mahal namun bukan kecil jumlah pemancing di negara kita.

 

Begitu juga dengan istilah-istilah Inggeris yang sedikit mengelirukan dalam dunia coarse fishing. Ia bukan tembok penghalang yang besar kerana pemancing-pemancing kita adalah pemancing moden yang berpendidikan.

 

Pada pendapat saya saya, untuk menarik minat lebih ramai pemancing berkecimpung dalam arena coarse fishing ini, ia memerlukan satu pendekatan yang lebih agresif dan trending.

 

 

Published by
Amang