Perkara Yang Wajib Pemancing Check Sebelum Mancing

Share

 

Periksa Drag Reel Anda

Drag memainkan peranan penting sewaktu pertarungan dengan ikan. Sentiasalah memeriksa drag anda agar tidak terlalu longgar, mahupun terlalu ketat kerana ini boleh memberi peluang kepada ikan meloloskan diri.

 

Periksa Kondisi Tali Pada Reel

Tidak kiralah sama ada anda mengguna braided atau mono. Pemeriksaan tali memang sangat penting. Banyak berlaku kes-kes rabut akibat daripada tali yang sudah lama atau reput. Seelok-eloknya tukar tali anda dengan agak kerap mengikut kesesuaian.

 

 

Sentiasa Memeriksa Sambungan Tali Dan Leader

Penting untuk memastikan ikatan sambungan tali dan leader kuat bagi mengelakkan kes-kes berputih mata.

 

Bawa Umpan Dalam Kuantiti Yang Mencukupi

Faktor umpan tak mencukupi memang selalu berlaku ketika keluar memancing. Bayangkan, tengah syok layan ikan, tiba-tiba umpan tak cukup, mesti potong stim kan? Jadi, sentiasalah bawa umpan yang mencukupi. Berlebihan sikit pun tak apa, asalkan anda takkan putus umpan.

 

 

Jangan Biarkan Rod Tanpa Pengawasan

Kes joran terbang ke laut atau sungai, tali habis dan macam-macam lagi memang selalu terjadi bila tiada pengawasan daripada anda. Jadi, kalau nak jadi pemancing berjaya, sentiasalah mengawasi rod anda, bagi mengelakkan rod anda lebur menjadi tukun di dasar laut, sungai ataupun tasik.

 

Pastikan Tukang Gancu Atau Sauk Sangat Berpengalaman

Ini juga penting kerana, kebiasaannya ikan akan gemar melakukan kejutan di saat-saat akhir. Bayangkan kalau tukang tangguk atau gancu anda terkial-kial hendak menaikkan ikan dan ikan memecut di saat akhir. Pastinya ia akan membawa kegagalan buat anda.

 

 

Rancang Trip Memancing Mengikut Kesesuaian Waktu

Untuk menjadi pemancing berjaya adalah penting untuk anda sentiasa merancang trip memancing anda mengikut kesesuaian musim. Ambil tahu keadaan tempat memancing, jenis ikan dan teknik terbaik sebelum anda keluar memancing.

 

Lubuk yang terbaik memang sering menjadi perhatian kaki pancing yang lain. Jadi untuk mengelakkan bersesak-sesak memancing di satu lubuk, adalah baik untuk kita mempunyai ‘back-up plan’ lubuk memancing kita sendiri bila situasi seperti ini terjadi.

 

 

Pastikan Kondisi Set Pancing Anda Dalam Keadaan Baik

Rod, reel, mata kail dan sebagainya harus sentiasa diambil berat kondisinya. Pastikan set pancing anda disimpan di tempat yang selamat lepas digunakan. Ini bagi mengelakkan ia rosak di kemudian hari.

 

Pantau Keadaan Cuaca

Ini adalah penting untuk keselamatan anda. Jika keadaan benar-benar tidak mengizinkan adalah lebih baik untuk anda membatalkan hasrat keluar memancing. Jangan sekali-sekali cuba untuk menggadai nyawa anda keluar memancing sewaktu cuaca tidak mengizinkan.

 

 

Pelbagaikan Teknik Untuk Hasil Yang Terbaik

Kita tidak akan pernah tahu teknik apa yang akan menjadi pilihan ikan pada hari kita memancing. Jadi, adalah wajib bagi setiap kaki pancing cuba mempelbagaikan teknik yang anda tahu untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Published by
Amang