Tidak ada pemancing yang bersusah payah keluar belanja bayar sewa dan beli umpan untu pergi memancing ke kelong, sangkar ikan atau rumah rakit inginkan kumpau. Walaupun tak dapat spesies sasaran sekali pun tetap mahu hasil jugak.
Buat Kajian Mengenai Kelong
Buat sedikit research mengenai kelong yang anda ingin pergi. Sekurang-kurangnya anda akan tahu struktur, kedalaman dan pelbagai perkara penting tentang kelong tersebut. Selain itu, kaji juga spesies ikan yang ada di kelong berkenaan. Dari sini anda boleh dapatkan petua dan info umpan yang sesuai untuk memancing ikan yang ada di kelong tersebut.
Dapatkan Ilmu Dari Pemilik Kelong Atau Mereka Yang Berpengalaman
Tidak cukup dengan hanya membuat research tentang kelong itu sahaja. Kadang-kadang adalah perlu juga untuk anda mendapatkan khidmat nasihat dari mereka yang arif tentang kawasan kelong yang hendak anda pergi. Cungkil seberapa banyak rahsia dan petua untuk memancing di kawasan kelong berkenaan bagi mengelakkan kes-kes membangau ini.
Pilih Waktu Yang Sesuai
Kebiasaannya keadaan air bani adalah masa yang paling sesuai untuk memancing di kelong. Ini kerana pada waktu berkenaan arus kurang laju dan banyak ikan akan bermain di sekitar kelong untuk mencari makanan. Namun begitu, ini semua tertakluk kepada kelong yang ingin anda pergi. Lain kelong, lain kesesuaiannya.
Menyediakan Peralatan Memancing Yang Secukupnya
Pastikan peralatan dan tiada yang tertinggal. Ada juga mendengar kes pemancing yang sudah membawa joran, tetapi terlupa membawa kekili dan pelbagai peralatan yang lain. Bila sudah jadi begini, jawabnya terpaksalah memancing hulur je.
Selain itu, penting juga bagi anda membawa joran spare. Iyalah, ada masanya kejadian tak diingini boleh berlaku dengan mudah. Sekurang-kurangnya, jika kejadian seperti joran patah, joran jatuh laut dan lain-lain berlaku anda sudah ada back-up plan. Jangan lupa bawa apolo! Dan jangan sesekali lupa untuk membawa tong ikan berserta ais.
Jangan Terhad Kepada Satu Teknik Sahaja, Cuba Pelbagai
Jangan hanya fokus kepada pancingan bottom sahaja, sekali sekala cuba juga teknik yang berbeza seperti drifting, casting, jigging dan sebagainya (bergantung kepada jenis dan kedalaman kelong).
Sediakan Umpan Secukupnya
Jangan lupa juga untuk membawa pelbagai jenis umpan yang berkemungkinan berkesan untuk memancing. Jangan bergantung harap kepada umpan hasil pancingan apollo sahaja yang belum tentu setiap masa ada.
Utamakan Keselamatan
Paling penting walaupun kumpau, utamakan keselamatan diri anda. Pastikan anda kenal pasti barang di sekeliling anda yang boleh membantu jika musibah berlaku. Mana tidaknya musibah seperti ribut, hujan lebat dan sebagainya berlaku tanpa kita duga. Pastikan diri dan harta benda anda selamat dari sebarang kecelakaan yang tidak diingini.