Pastikan kawasan pemburuan tersebut tidak terlalu terpencil dan cuba elakkan dari memancing seorang diri. Sekarang ini semakin banyak kes penjenayah mensasarkan pemancing sebagai mangsa samun dan sebagainya.
Kaedah Balingan
Sentiasa pastikan di mana kedudukan batu ladung dan mata kail sebelum membuat balingan. Elakkan dari melakukan balingan sekiranya ada sesiapa yang bergerak di belakang anda.
Ads
Cuba elak daripada mengamalkan teknik balingan secara putaran untuk mendapatkan momentum balingan kecuali tiada sesiapa di kiri dan kanan anda.
Pastikan tiada halangan atau sesuatu yang terbelit sebelum melakukan lontaran. Dengan momentum balingan yang kuat, tali pancing atau hujung joran boleh patah sekiranya terdapat halangan.
Ads
Jika anda bukan seorang perenang yang baik, sebaiknya jangan lakukan balingan di dalam air melebihi paras pinggang, apatah lagi ketika permukaan laut agak berombak. Risiko ditarik ombak ke tengah laut kemungkinan besar akan berlaku.
Pastikan drag kekili diketatkan sebelum melakukan balingan. Sebaiknya juga alas jari anda dengan plaster atau memakai sarung tangan. Seretan tali sulam dengan mudah menghiris jari umpama mata pisau.
Selepas melakukan balingan, longgarkan drag kekili dan sebaiknya jangan pancangkan jorak melebihi sudut 90 darjah. Sentapan ikan bersaiz monster boleh menyebabkan hujung joran patah.
Sekiranya ingin melakukan lontaran dari dalam air, pastikan kawasan tersebut bebas dari kewujudan ulat bulu laut. Atau sebaiknya jangan berkaki ayam ketika meredah masuk ke dalam air.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Fenomena dunia memancing hari ini menyaksikan pemancing gemar menggunakan teknik jigging kerana besi jig mempunyai daya ketahanan yang unggul selagi tidak lebur disebabkan perambut dipotong atau tersangkut. Tetapi, jika anda menggunakan besi jig, salah satu faktor kejayaan anda mungkin terletak pada pemilihan warna.
Perlu diingat warna pada badan jig berbeza di dalam air berdasarkan bagaimana penetrasi cahaya ke dalam air pada masa itu. Faktor warna jig memainkan peranan penting ketika unjunan untuk menarik perhatian ikan.
Pemilihan warna jig sangat kritikal bergantung kepada kedalaman air. Jadual ini mungkin membantu anda dan memberikan alternatif pilihan untuk memilih warna jig yang sesuai mengikut kedalaman kawasan pancingan anda.
Warna Kesan Optimum Untuk Kedalaman
Merah (Red) 0 – 30’
Oren (Orange) 0 – 45’
Kuning (Yellow) 0 – 60’
Hijau (Green) 0 – 80’
Biru (Blue) 0 – 100’
Ungu (Purple) 0 – 120’
Perak (Silver) 0 – 120’ ke atas
Bercahaya (Luminous) – Waktu malam atau lebih 120’
Warna jig di atas berdasarkan penetrasi cahaya pada kedalaman tertentu. Namun tidak salah untuk kaki pancing memilih warna-warna berbeza dari warna berkenaan. Selalulah bertanyakan kepada yang arif dan juga tekong sebelum anda turun jigging.
Setiap kali pergi memancing, kita pastinya sudah tahu tempat nak lepaskan ‘gian’. Kalau bulan ini rezeki lebih, kita ke hutan, mencari sungai-sungai yang jernih airnya. Jika ke laut, laut yang versi bagaimana.
Begitu juga dengan kamera. Jika kita bijak menggunakan kamera, di mana-mana sahaja pun gambar tetap cantik. Yang pasti, mesti kreatif, hasilnya pasti memberangsangkan. Oleh itu pastikan kamera sentiasa anda dalam genggaman.
Bukan setakat itu sahaja, pakaian juga penting. Janganlah ambil mudah mengenai pakaian. Tip di bawah ini mungkin boleh beri kesedaran sedikit betapa cantiknya gambar anda, hanya dengan sedikit perubahan sahaja.
Fesyen Warna Terang
Cuba sesekali memakai pakaian yang bercorak floral atau berwarna terang seperti oren, hijau terang, kuning, merah ketika pergi memancing. Hasil impak dalam gambar pastinya membantu bagi menghasilkan gambar menjadi lebih ‘mahal’.
Jarak Memainkan Peranan
Jangan ambil gambar dengan jarak jauh sangat. Contoh ambil gambar kawan yang berlainan bot. Kesannya: Gambar jadi blur atau bergoyang. Malah, muka kawan kita pun kecil sahaja dalam gambar. Impak lagi besar, kawan jadi panas hati sebab gambar tak memuaskan. Berhati-hati ya.
Kamera Telefon Lebih Sensitif
Ada pemancing nak mudah pakai kamera telefon versi tekan skrin. Akan tetapi, risikonya adalah bila tangan anda basah, skrin yang sensitif boleh menyebabkan telefon anda rosak. Beli atau bawa sahaja kamera kompak. Jika pinjam kamera kawan, nanti kawan lupa nak beri gambar itu pada anda. Lama kelamaan semua lupa. Dah jadi rugi.
Jaket & Seluar Berpoket
Kamera letak dalam jaket yang anda pakai (untuk kamera kompak). Jika kamera DSLR, pastikan anda bawa beg kalis air (drybag) bagi mengelakkan beg dompet & kamera basah. Seluar berpoket sangat sesuai untuk letak barang-barang akan tetapi ia agak berat. Pastikan seluar anda kalis air & tahan lasak.
Ekspresi Muka Rakan-Rakan
Ini sangat penting. Sebabnya, kadang-kadang kalau dah seronok sangat sampai terlupa nak tangkap gambar. Ambil gambar ekspresi mereka dalam apa jua riak secara kandid. Pastinya memori sebegini tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Dalam kalangan kaki pancing di Malaysia, pancingan spesies ebek bukanlah satu perkara yang asing. Malah terdapat sesetengah kaki pancing yang menjadikan spesies ebek sebagai buruan utama dalam trip mereka.
Ebek bersaiz juvenil sering dinaikkan di kawasan muka kuala, kelong, pesisir pantai malah di kawasan muara juga mampu menaikkan spesies ini.
Akses lokasi pancingan spesies ebek yang agak mudah menambahkan faktor untuk memancing spesies ini. Secara am, ikan ebek mudah dijumpai di sepanjang perairan di semenanjung Malaysia terutama di bahagian pantai timur hinggalah ke perairan selatan di Johor.
Antara lokasi terbaik memancing ebek ialah di kebanyakan perairan Terengganu, Pulau Tenggol, Kemaman, Pekan selain pesisir pantai dan benteng berbatu. Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan April hingga Ogos setiap tahun.
Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang kerana ebek gemar berlegar di kawasan seperti ini.
Walaupun tidak mempunyai nilai yang tinggi sebagai hidangan makanan, kemampuan dan kekuatan dalam pertarungan cukup memberikan kepuasan kepada kaki pancing lebih-lebih lagi ebek bersaiz besar.
Ebek sebenarnya cukup agresif dan boleh mendatangkan kehampaan kepada kaki pancing andai memandang enteng kemampuan ikan yang mempunyai badan berkilat ini. Sejurus memakan umpan atau menyedari kail berada di mulutnya, ebek akan bertukar menjadi sangat agresif dengan tiba-tiba.
Spesies ini akan mengerah kekuatannya pada awal pertarungan dengan melakukan rontaan kiri kanan dalam usaha melepaskan kail sambil memecut laju. Jika pemancing dapat bertenang dan berjaya menahan asakan awal spesies ini, peratus untuk menaikkan ikan ini semakin tinggi kerana daya juang ebek semakin berkurang apabila semakin lama pertarungan berlangsung. Mungkin kerana sifatnya yang gemar melakukan serangan pada awal pertarungan.
Umpan
Secara tradisional, kebanyakan pemancing menggunakan teknik pancingan dasar ketika memancing spesies ini.
Pancingan dasar spesies ini tidak tertumpu di lautan sahaja, malah sering dipraktikkan oleh pemancing pantai, pancingan di benteng pemecah ombak, di kelong dan pancingan muara dari tebing.
Bagi penggunaan umpan untuk kaedah ini, penggunaan udang merupakan antara yang paling popular di kalangan pemancing. Penggunaan udang kopek sering mampu menaikkan ebek juvenil di kawasan yang lebih hampir dengan daratan.
Penggunaan udang hidup juga sangat efektif untuk pancingan dasar dan pemancing boleh cuba menggunakan teknik ikatan yang memberikan udang tersebut ruang di pertengahan air, bukan berada betul-betul di dasar perairan.
Selain daripada penggunaan umpan udang hidup, pilihan kedua ialah anda menggunakan umpan sotong.
Anda boleh mencuba menggunakan umpan sotong cumit atau sotong mati yang dikelar agar kelihatan melambai ketika di dalam air. Umpan sotong juga efektif kerana ebek memang menjadikan sotong antara diet utama makanannya.
Selain kedua-dua umpan yang disebutkan di atas, pilihan lain untuk anda ialah umpan ikan seperti tamban.
Umpan ikan tamban juga boleh dijamah oleh ebek terutama yang bersaiz besar biarpun kekerapan henjutan mungkin sedikit kurang berbanding sotong dan udang. Namun bak kata orang, tak ada rotan, akar pun jadilah.
Umpan Tiruan
Bagi penggunaan umpan tiruan pula, menjerat spesies ebek popular dengan menggunakan teknik light jigging. Ramai pemancing konvensional di kalangan kaki jigging gemar memburu ikan ini menggunakan unjunan besi yang dikatakan cukup untuk memberikan kepuasan.
Oleh kerana ikan ebek mempunyai mulut yang agak kecil, unjunan jig ringan atau light jigging antara kaedah terbaik untuk mendaratkan ikan ini. Jig pada skala keberatan 15g-60g cukup sesuai untuk unjunan mencari ebek.
Untuk kaedah jigging, apabila strike berlaku, pemancing perlu lebih cermat mengawal keadaan dengan tidak terlalu kasar kerana bimbang rabut oleh kerana rahang ebek dikatakan agak lembut.
Selain unjunan besi, penggunaan soft plastic juga berkesan untuk menggoda spesies ebek. Soft plastic yang sedikit panjang dikatakan lebih efektif kerana alunan ekor melambai saat digayakan lebih menggoda untuk ebek membahamnya.
Penggunaan soft plastic dan mini jig juga boleh dipraktikkan di lokasi seperti rumah rakit atau kelong dengan sedikit variasi penggayaan berlainan. Apa pun, kilatan badan ebek yang berkilat dan bentuk bersegi seperti berlian tetap mampu mendatangkan kepuasan kepada kaki pancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...