Pastikan keadaan kesihatan anda berada di tahap terbaik untuk trekking. Jika tidak berada di tahap 90% sebaiknya batalkan saja kerana ia bukan sahaja akan menyusahkan diri sendiri malah juga rakan-rakan trip yang lain.
Makanan, air, energy bar dan sebagainya harus disiapkan secukupnya untuk sepanjang tempoh trip. Tak mengapa jika lebih sedikit tetapi jangan berkurangan.
Amalkan memancing di dalam kumpulan dan jangan sesekali trekking seorang diri di dalam hutan atau di sungai pegunungan.
Pastikan ahli keluarga atau rakan terdekat mengetahui anda keluar memancing, lokasi pancingan dan tempoh trip tersebut. Ia penting bagi melakukan tindakan lanjut sekiranya anda tidak pulang pada tarikh sepatutnya. Jika mampu, beli dan bawa telefon satelit itu lebih baik.
Pakailah pakaian lengkap termasuk kasut yang sesuai dan selesa untuk trekking. Sebaiknya juga pakailah pakaian yang kontra dengan alam semulajadi.
Waspada akan ancaman binatang berbisa dan buas. Elakkan melalui tempat yang ada jejak binatang buas seperti harimau, gajah dan sebagainya.
Waspada ketika mengharung air. Jangan terlalu berani mengharung air jika anda kurang yakin terutama di kawasan berarus deras. Juga perlu sentiasa berwaspada dengan kejadian kepala air.
Jika gewang yang anda gunakan tersangkut pada reba-reba kayu atau batu,jangan membahayakan diri berenang untuk menyelamatkan gewang tersebut. Ingat gewang tersangkut boleh dibeli, hilang nyawa tiada gantinya.