Ikan merupakan spesies hidupan akuatik yang sering menjadi subjek yang menarik untuk dibuat kajian. Tidak kiralah dari aspek taksonomi mahupun marfologi, banyak perkara yang boleh dibuat pengkelasan. Justeru pelbagai kajian tentang ikan telah dilakukan dan pelbagai trivia dan fakta yang menarik telah dicatatkan. Namun kami senaraikan trivia yang cukup menarik tentang ikan.
Terdapat lebih daripada 25000 spesies ikan telah dikenal pasti dan direkodkan. Dalam pada itu dijangkakan terdapat lebih 15000 spesies ikan yang masih belum direkodkan. Maknanya, kalau korang nak letak nama korang sebagai nama saintifik ikan yang belum direkodkan tu bolehlah berbuat demikian.
Spesies Ikan Terkecil
Ikan terkecil ialah Philippine goby atau dwarf pygmy goby (Pandaka pygmaea) yang hanya berukuran 1.1cm (saiz standard) dan betina dewasa mampu membesar sehingga 1.5 cm sahaja.
IKLAN
Spesies Ikan Terbanyak
Spesies ikan terbanyak merupakan ikan air tawar sedangkan bumi hanya dilitupi oleh 0.01% air tawar. Dan ikan air tawar juga yang mudah terancam oleh kepupusan berbanding ikan air masin.
Spesies Ikan Terlasak
Ikan puyu atau climbing perch, merupakan spesies yang sangat kuat dan mampu bertahan tanpa air dalam jangka masa yang lama. Malah spesies ini mampu bergerak di daratan menggunakan sirip pektoralnya yang kuat.
IKLAN
Populasi Ikan
Terdapat lebih banyak spesies ikan berbanding kombinasi jumlah spesies amfibia, reptilian, burung dan mamalia. Itulah kehebatan ikan dalam alam haiwan.
Kepelbagaian
IKLAN
Ikan seperti jerung tidak memiliki komponen pelampung atau pundi renang (swin baldder) dalam badannya bagi memberikan kebolehan terapung dalam air. Jadi mereka perlu berenang berterusan ataupun berhenti di dasar air.
Sesetengah ikan menggunakan gigi untuk mengeluarkan bunyi sementara sesetengah lagi ikan tidak bergigi menghasilkan bunyi menggunakan udara dalam komponen pelampung dalam badannya.
Menurut kajian saintifik, ikan telah wujud di bumi sejak lebih 450 juta tahun dahulu. Namun belum ditemui siapakah yang menemui spesies ikan pertama yang ditemui di dunia.
Garisan lateral pada badan ikan bertindak seperti radar dan membantu ikan mengesan laluan walaupun dalam keadaan air keruh. Selain itu ia turut mengesan getaran sekaligus menjadi radar untuk mengesan makanan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan limbat atau keli limbat ini biasanya lebih besar berbanding keli kampung. Habitat utama ikan ini di kawasan berpaya dan berlumpur termasuk tali air dan sawah padi. Ikan limbat mudah dibezakan kerana warna berlainan berbanding keli biasa. Biasanya badan keli limbat mempunyai bintik-bintik kuning. Terdapat juga limbat yang berwarna kuning sepenuhnya. Dan ia juga mempunyai duri bersengat sebagaimana ikan keli.
BAUNG
Nama saintifik : Mystus nemurus
Nama umum : River catfish
Ikan baung sentiasa menjadi antara spesies kegemaran bagi pemancing air tawar. Selain sesuai dijadikan hidangan, memancing baung juga mempunyai tarikan tersendiri. Ikan baung juga mempunyai duri yang tajam dan mampu mencederakan jika tidak berhati-hati. Duri sengat ikan baung terletak pada sirip dorsal dan juga sirip pektoralnya.
KELI
Nama saintifik : Clarias sp
Nama umum : Walking catfish, catfish
Ikan keli merupakan antara ikan yang sering dapat dilihat dan mudah dikenali. Selain dipancing, ikan keli juga menjadi antara spesies utama yang diternak sebagai sumber makanan. Spesies keli termasuk keli bunga, keli kayu dan keli Afrika mempunyai duri dan sengat pada bahagian sama iaitu sepasang duri pada sirip pektoralnya.
PATIN
Nama saintifik : Pangasius sp.
Nama umum : Shark catfish
Patin merupakan ikan tersohor dan terpenting di negara kita. Selain rasanya yang sedap, ikan patin juga mempunyai duri bersengat bagi mempertahankan dirinya. Duri tajam pada dorsal dan sirip pektoralnya mampu mencederakan jika tidak berhati-hati. Duri patin yang diternak biasanya tidak terlalu tajam jika dibandingkan dengan patin liar.
PUYU
Nama saintifik: Anabas testudineus
Nama umum: Climbing perch, climbing gouramis
Ikan puyu tidak memiliki duri berbisa seperti ikan baung atau keli tetapi memiliki sirip yang keras dan tajam. Sirip dorsal yang menegak di sepanjang atas belakang badannya sering kali menimbul kerisauan pemancing apabila ingin menanggalkan mata kail dari mulutnya. Malah ketika disiang, sirip ini juga seringkali melukakan jari jemari.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dalam kajian terbaru (Walton et al 2015) common mahseer of Malaysia iaitu kelah merah yang selama ini dikelasifikasikan sebagai Tor tambroides telah diganti dengan Tom tambra. Kajian ini sekaligus merubah nama saintifik kelah merah (semenanjung) dan empurau (Sarawak) yang sekian lama telah digunapakai. Walaubagaimana pun spesies Tom tambroides tidak dapat dipastikan bagaimana rupanya.
Tor tambra atau kelah merah telah menjadi ikon raja air tawar dan sering diburu oleh kebanyakan pemancing. Gelaran raja air tawar ini disebabkan oleh kesukaran mendapatkannya selain mempunyai nilai yang tinggi sebagai hidangan dan juga perhiasan akuarium. Ramai juga yang memburu spesies ini pulang hampa dek tamparan kumpau atau ikan tak buka mulut. Jom kita selidik lebih lanjut tentang sang raja air tawar ini.
Ikan kelah atau mahseer merupakan antara spesies bernilai tinggi dan sering menjadi buruan kaki pancing khususnya di negara kita. Selain mempunyai nilai tinggi dibuat hidangan makan, spesies daripada keluarga kap (cyprinnidae) ini juga menjadi ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar ‘Raja Air Tawar’ di kalangan pemancing.
Dalam pengelasan taksonomi, perincian spesies agak sukar dibezakan kerana mempunyai sifat luaran yang hampir sama. Secara amnya, kelah dikelaskan dalam tiga genus iaitu Tor, Neolissochilus dan Naziritor. Gelaran mahseer biasanya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. Di negara kita, spesies kelah merah telah dikenal pasti sebagai Tor tambra atau Malayan mahseer.
Mengimbau kembali ke belakang, spesies kelah pertama telah dihuraikan secara saintifik oleh Francis Buchanan- Hamilton sekitar 1822 iaitu Tor tor (Short-gilled mahseer). Hamilton juga merupakan penemu kepada spesies T. putitora (Golden mahseer, Himalayan mahseer). Pada 1833, majalah Oriental Sporting telah menyebut secara khusus bahawa mahseer sebagai ikan cabaran hebat dalam ikan sukan. Sejak itu, mahseer menjadi kegilaan bagi pemancing British di India.
TABURAN SPESIES
Taburan spesies ikan kelah boleh dijumpai di kawasan sungai yang berarus deras dan berjeram. Kawasan sebegini merangkumi Burma, Thailand, Malaysia, Kemboja, Laos dan Sumatera di Asia. Taburan ikan kelah juga merentasi Asia Tenggara sehingga ke beberapa bahagian di India.
Begitu pun, kebanyakan sistem sungai berjeram termasuk di negara kita semakin rosak lantas mengundang risiko yang semakin tinggi kepada habitat ikan kelah. Risiko kehilangan habitat secara langsung mengancam kemandirian spesies ikan kelah sehingga dikelaskan sebagai spesies terancam.
Antara penyebab utama terhadap kemungkinan kepupusan spesies ini termasuklah pencemaran sungai, pancingan tanpa kawalan dan juga aktiviti pembinaan yang sering dikaitkan dengan pembinaan empangan.
BIOLOGI DAN PEMBIAKAN
Ikan kelah secara tipikalnya mendiami dan berlegar di kawasan dasar yang berbatu dan berkayu sebagai tempat berlindung di kawasan hilir sungai. Terdapat juga yang memilih untuk berlindung di kawasan yang lebih luas dan dalam. Ketika musim mengawan, ikan kelah akan bermigrasi atau berhijrah dan berenang melawan arus ke hulu sungai. Di hulu sungai, ikan kelah akan memilih kawasan sungai-sungai yang lebih kecil untuk melepaskan telurnya.
Musim mengawan ikan kelah berlaku sekali secara puncak dalam setahun. Telur akan dilepaskan dalam kawasan air secara terbuka dan induk kelah tidak akan menjaga anak kelah atau juvenil yang menetas. Menurut kajian di Thailand, puncak musim mengawan ikan kelah berlaku sekitar bulan Julai setiap tahun.
Ketika musim mengawan, pada bahagian pipi di bawah mata ikan kelah akan kelihatan bintik-bintik halus atau turbecles. Bintik-bintik ini menandakan ikan sedang dalam proses mengawan.
MORFOLOGI
Badan ikan kelah mempunyai bentuk yang agak tirus dimana memberi kelebihan kepadanya ketika berenang melawan arus dan memanjat jeram. Warna badannya pula bervariasi daripada kuning keemasan sehingga ke warna kemerahan. Sisik di badannya mempunyai warna berkilau dan cantik. Kelah matang biasanya mempunyai sisik sehingga sebesar duit syiling 50 sen.
Sirip dorsal ikan kelah biasanya agak besar. Pada bahagian mulutnya, ikan kelah atau mahseer dari genus Tor mempunyai bibir median bawah yang lebih tebal. Bibir ini membezakannya daripada spesies tengas atau kejor (copper mahseer) dari genus Neolissochilus. Kelah jantan yang matang pula biasanya lebih kecil berbanding kelah betina yang matang.
DIET PEMAKANAN
Ikan kelah bersifat omnivor dan memburu ikan kecil serta serangga hutan sebagai diet makanannya. Selain itu, ikan kelah juga menjadikan buah-buahan hutan sebagai diet lainnya. Antara buah hutan yang popular menjadi diet kelah termasuklah buah neram, buah ara, buah kepala sawit, serangga kecil dan sebagainya.
JENIS KELAH DI MALAYSIA
Menurut kajian, terdapat beberapa spesies kelah daripada genus Tor di Malaysia iaitu Tor tambroides, T. tambra dan T. douronensis. Sementara itu, tengas dan kejor juga merupakan spesies daripada keluarga yang sama namun spesies tersebut datang daripada genus Neolissochilus.
Spesies T. tambra yang biasa dijumpai di semenanjung Malaysia juga digelar sebagai kelah merah manakala T. douronensis pula merupakan kelah biru. Gelaran tempatan kepada kelah merah dan kelah biru berdasarkan warna sisik pada badannya.
Di Sabah, ikan kelah juga digelar sebagai pelian (Tor douronensis) sementara empurau (Tor tambra) merupakan gelaran ikan kelah merah di Sarawak. Sementara semah di Sarawak adalah spesies Tor duoronensis.
TAKSONOMI
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Kelas : Teleostomi
Orer : Cypriniformes
Family: Cyprinidae
Genus : Tor, Neolissochilus, Naziritor
Spesies : Tor tambroides, Tor douronensis, Tor tambra,
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pernah korang terfikir bagaimana ikan dapat menemui umpan yang dipasang pada mata kail dan memakannya? Adakah kerana ikan nampak umpan tersebut atau ada punca lain? Ini dia penjelasan bagaimana ikan menemui umpan korang.
Deria penglihatan
Ikan mempunyai penglihatan yang baik, namun matanya berbeza dengan manusia. Lensa mata ikan berbentuk bulat bagi membolehkannya melihat di dalam air. Ikan air tawar tidak mempunyai kelopak mata untuk menentukan jumlah cahaya yang memasuki matanya untuk melihat. Jadi ikan ini akan bergerak ke kedalaman yang berbeza untuk mengawal cahaya yang masuk.
Kebanyakan ikan boleh melihat warna, disebabkan itu kita dapat perhatikan banyak gewang tiruan di pasaran dalam pelbagai jenis warna. Kedudukan mata ikan membolehkannya melihat sisi kanan dan kiri dalam satu masa. Posisi ini juga menyebabkan titik buta di hadapan dan belakangnya pada jarak tertentu.
Oleh kerana cahaya akan membias apabila memasuki air, ikan sebenarnya boleh melihat keluar permukaan air tanpa perlu menghala penglihatannya ke atas. Jadi jika anda melihat ikan di dalam air, kemungkinan besar ikan itu juga melihat anda.
Deria bau
Ikan dapat mengesan bau menerusi nostril yang dipanggil ‘nares’ yang seakan lubang hidung terletak di atas mulutnya. Menerusi organ ini, ikan dapat mengesan mangsa, pemangsa dan lokasi asalnya walaupun telah berenang sejauh ribuan batu.
Walaupun ikan mempunyai deria bau yang baik, kebanyakan ikan tidak bergantung kepada deria ini kerana apa yang ikan dapat kesan melalui bauan pada satu masa bergantung kepada kekuatan dan arah arus air.
Deria rasa
Kebanyakan ikan mampu merasa melalui reseptor rasa di dalam mulut, deria ini selalunya kurang digunakan oleh kebanyakan ikan terutama ikan pancingan sukan. Lain pula halnya bagi kumpulan ikan catfish. Ikan seperti keli dan baung pula menjadikan deria ini sebagai organ utama dalam mencari makanan kerana kumpulan ini mempunyai deria bau dan rasa yang cukup berkesan dengan menggunakan misainya yang dipanggil barbel.
Deria getaran
Garisan lateral ialah satu garisan halus melintang pada badan ikan yang memanjang dari kepala hingga ke ekornya. Garisan lateral ini mempunyai organ sensor yang membolehkan ikan mengesan perubahan suhu dalam air dan mengesan sebarang getaran yang berlaku di dalam air. Walaupun dalam keadaan air yang keruh, garisan lateral akan bertindak seperti sonar untuk mengesan lokasi, kelajuan dan saiz sesuatu objek di sekelilingnya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...