Perihal Ikan Jenahak Yang Wajib Diketahui Pemancing

Share

 

Ikan jenahak… ada ke mana-mana pemancing terutamanya pemancing laut dalam yang tidak mengenali ikan jenahak? Kalau tak kenal eloklah anda berhenti memancing. Ia satu keaiban besar bagi seorang pemancing.

 

Jenahak merupakan satu spesies ikan yang cukup popular di kalangan pemancing. Selain rasa isinya yang sedap, ia juga mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran. Tidak hairanlah ikan dari keluarga snapper yang bersisik keemasan dan bertanda hitam bulat di badannya itu sentiasa menjadi buruan para pemancing. Bagi yang berjaya menaikkan spesies ini, khususnya yang bersaiz bagak, ia dianggap sebagai satu trofi peribadi.

 

 

Jenahak berwarna emas kebiasaannya diperolehi di lubuk-lubuk yang dalam dan jenahak yang mendiami lubuk yang cetek mempunyai warna yang lebih pudar. Jenahak dikatakan memiliki waktu makannya tersendiri iaitu antara lewat malam hingga ke pagi, khususnya antara 12 -6 pagi. Namun kadang-kadang jenahak kerap juga dinaikkan pada waktu siang.

 

 

Jenahak lebih gemar memilih umpan segar dan masih hidup. Umpan terbaik adalah sotong cumit, kurita dan udang lipan. Bagaimanapun, umpan hirisan juga boleh menggoda jenahak. Kaedah lain seperti jigging juga boleh memikat jenahak, namun ia hanya sesuai di sesetengah tempat lokasi sahaja. Dalam erti kata lain jenahak kurang memakan jig.

 

 

Spesies berharga ini sering bergerak secara kumpulan kecil dan apabila ia mula makan, bersedia dengan serangannya sehingga ia mula berhenti makan. Amat penting, pastikan pada waktu keemasan ini, tidak berlaku kes tali putus atau rabut. Ini kerana jika ia berlaku, tiada lagi ragutan diterima kerana jenahak telah lari dari lubuknya. Untuk mencari jenahak, tekong kena rajin tukar lubuk.

 

Published by
Amang