Lokasi
Jojo Rakit terletak di Tanjung Buai, Kota Tinggi, Johor. Ia betul-betul menghadap ke Pulau Tanjung Surat, Tanjung Langsat dan Pasir Gudang. Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini, tidak perlu risau. Ia terletak berdekatan dengan Teluk Sengat dan jaraknya hanya kira-kira 12 kilometer sahaja dari Bandar Kota Tinggi dan 30 kilometer dari Bandar Penawar, Desaru.
Jojo Rakit ini telah diilhamkan daripada apungan 200 tong pelampung dan ia mampu menampung antara 80 hingga 200 orang pengunjung pada satu masa. Sebelum terciptanya rumah rakit ini, tempat ini terlebih dahulu diketengahkan sebagai restoran atas air sebelum dinaik taraf menjadi chalet.
Atas sambutan yang begitu menggalakkan, ia kemudiannya telah mengalami proses ubahsuai sehingga menjadi sebuah rumah rakit yang serba lengkap dan begitu selesa untuk dijadikan tempat istirahat buat seisi keluarga.
SPOT MEMANCING+PERCUTIAN
Rumah rakit yang berkonsepkan inap desa atau homestay atas air ini pastinya akan menjadikan pengalaman percutian yang amat bermakna terutama bagi kaki-kaki pancing. Apa tidaknya, apabila bilik yang anda diami dikelilingi air, pastinya begitu mudah sahaja untuk anda melepaskan gian di sini.
Tambahan pula, kedudukannya yang strategik dan dikelilingi pokok bakau pastinya menjadikan Jojo Rakit ini sebagai ‘highway’ ikan mudik ke muara apabila air mulai pasang.
Jadi tidak hairanlah kawasan ini didiami oleh spesies-spesies berharga seperti, kerapu, siakap, jenahak, senangin, sembilang dan pelbagai lagi. Sepanjang kunjungan penulis ke sini, pelbagai jenis ikan berjaya kami daratkan di sini. Tidak menang tangan juga apabila kami dihujani oleh sekumpulan ikan cencaru yang galak menyambar mata kail apollo yang kami hidangkan pada waktu petang.
KEMUDAHAN
Menurut pihak pengurusan Jojo Rakit, di sini terdapat 11 buah bilik dan empat bilik air dengan kadar sewa mengikut saiz bilik yang tertentu iaitu bilik besar mampu memuatkan lima individu. Setiap bilik dilengkapi katil, kipas dan televisyen. Malah, pengunjung boleh menonton rancangan daripada saluran Singapura, Malaysia dan Indonesia dengan jelas.
Selain bilik, Jojo Rakit turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti dapur, tempat untuk BBQ, ruang istirahat, mini playground untuk kanak-kanak, dan tempat untuk berkaraoke. Selain itu, bergantung kepada permintaan, para pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti di sini seperti berkayak, dan pelbagai pengalaman menarik berkaitan aktiviti nelayan seperti menjaring, menjala, merawai dan pelbagai lagi.
PENGALAMAN BERHARGA, KESERONOKAN BERGANDA
Apa yang dapat penulis simpulkan, Jojo Rakit pastinya perlu menjadi lokasi yang harus dirasai oleh kaki pancing serata Malaysia. Dalam keasyikan memancing bersama rakan-rakan, apa salahnya bawa keluarga anda pula untuk merasai sendiri pengalaman riadah sambil memancing yang sudah tentunya dapat mengeratkan lagi hubungan anda seisi keluarga.
Pertanyaan & Tempahan :
013 770 5220 – Puan wawa
013 790 5485 – Puan Amy
013 775 4656 – Cik Dania