Menurut tekong, lokasi pancingan slow jigging di Zee Zone Muar adalah sekitar 15-20 batu nautika, iaitu hingga di laluan kapal dagang. Antara lubuk-lubuk yang kerap dikunjunginya termasuklah Kapal Karam, Lubang Kecik, Lubuk 1 Malaysia, Pulau Bersatu, Karang Keropok dan banyak lagi. Tambahnya lagi, purata kedalaman lubuk-lubuk ini sekitar 40-50 meter.

 

Katanya lagi, jika sanggup menunggu lama jigging di situ, berkemungkinan boleh dapat kerapu. Namun akhirnya seorang pun tidak sanggup untuk menunggu lama. Ha..ha.. boring siut kalau dok lama-lama, tanpa getuan ikan.

 

Cuaca yang sememangnya diramalkan baik sepanjang hari pada hari itu, tiba-tiba sahaja berubah. Jam 11.30 pagi, langit kelihatan mendung dan angin bertiup dengan kuat. Sekejap sahaja panorama yang lenang dan angin sepoi-sepoi bahasa bertukar kasar sebelum turunnya hujan.

 

Perairan Muar Suatu Ketika Dahulu

 

Walaupun tekong berjaya menghindari dari terkena hujan, tetapi kami tidak dapat mengelak keadaan air laut menjadi kucah. Mahu tidak mahu, kami meneruskan sahaja aktiviti jigging dalam keadaan yang tidak berapa selesa. Alun kuat menyebabkan, kami tidak dapat berdiri dengan baik. Paling tidak menyeronokkan, arus telah bertukar menjadi laju. Kesudahannya jig 250 gram yang di unjun jatuh pun jauh melayang.

Ads

 

Keadaan ini memaksa, karauan dilakukan dengan kerap ke atas sebelum melepaskannya semula agar jig tidak tersasar jauh. Akibat daripada ini juga, kami kehilangan banyak ketul jig. Oleh kerana posisi jig berada di pertengahan air, mudah sahaja sang alu-alu memutuskan tali perambut. Sudahlah jig lebur, tali perambut pula makin kontot.

 

Dalam cuaca yang tidak begitu memihak kepada kami, Tekong cuba mencari spot terbaik untuk kami. Tiba di spot Lubang Kecik, saya mendapat sambaran pertama. Sebaik sahaja jig Maxel DFS-180 gram warna purple jatuh ke dasar dan dikarau ke atas tiga kali, terus sahaja disambar. Karauan ke atas akhirnya memunculkan seekor tenggiri dalam skala 3 kg. Apabila tiada lagi sambaran, bot segera beralih ke lokasi lain.

 

Perairan Muar Suatu Ketika Dahulu

Ads

 

Tidak jauh dari spot tenggiri berkenaan Tekong memberhentikan bot sambil berkata terdapat kumpulan ikan bermain di pertengahan air di paparan imej sonar. Kami kemudiannya saling silih berganti memperoleh spesies talang. Ujar Bob, walaupun jenahak atau bantal emas belum muncul lagi, layan talang pun ok. Janji strike!. Lewat petang, walaupun cuaca sudah cerah, alun yang masih kuat bergelora belum mahu menunjukkan tanda-tanda mahu reda.

 

Menyedari, ikan sasaran jenahak, masih belum diperolehi, Tekong membawa kami bermain di sekitar laluan kapal. Agak gerun juga melihat kapal-kapal kontena lalu lintas. Lebih gerun melihat alun yang terhasil menyebabkan bot kami terumbang ambing.

 

Ads

Dengan enjin bot yang sememangnya tidak dimatikan, Tekong cuba mendapat point yang betul untuk kami menjatuhkan jig di spot sasaran. Akhirnya di spot tidak jauh dari batu karang, Johannas berjaya mendapat strike padu daripada pemangsa.

 

Perairan Muar Suatu Ketika Dahulu

 

Akhirnya seekor kerapu bersaiz memuaskan berjaya diperolehi. Bagi mengabadikan kenangan ia tangkapan di lubuk laluan kapal, lensa kamera dipetik sebaik sahaja, sebuah kapal kontena melalui belakang Johannas.

 

Selepas itu, tiada lagi sebarang tangkapan selain talang. Lewat senja, kami mengakhiri trip menjengah ke Zee Zone Muar dengan kembali semula ke jeti. Tiada sebarang tangkapan sang jenahak Muar dalam trip ini. Apa pun syukur kerana dalam cuaca begitu, kami masih berjaya memperoleh tangkapan lain. Sememangnya laut bukan mudah diduga.

 

Perairan Muar Suatu Ketika Dahulu

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI