Penutup JPKL 2017 Meriah

Share

Pengalaman selama 15 tahun menyertai pertandingan memancing, Hashim Musa (49) dari Sentul yang lebih dikenali Botak Sentul, akhirnya berjaya juga dinobatkan sebagai juara pada Siri Akhir Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) yang berakhir di Taman Tasik Ampang Hilir, Ahad lalu.

“Inilah pertama kali saya berjaya menduduki podium juara setelah enam tahun mengikuti JPKL,” ujar Hashim yang berjaya mendaratkan spesies patin seberat 13.850kg pada jam 10.06 pagi sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM14,000 berserta produk Oishi, Igloo dan Tackles.

Berikutan kemenangan ini, Hashim merancang untuk menggunakan ganjaran yang diperoleh bagi keperluan keluarga, membeli peralatan memancing dan belanja rakan-rakan yang sentiasa menyokong beliau dalam industri ini.

 

Beliau turut berharap JPKL anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan memandangkan inilah waktu terbaik dapat berkumpul dan merapatkan silaturahim sesama kaki pancing.

Sementara itu, lebih manis bagi tempat kedua dan ketiga disandang oleh peserta yang sama. Muhammad Fadzlan Ayob berjaya mendaratkan hasil tangkapan berupa ikan patin seberat 4.705kg dan 3.720 kg sekali gus membawa pulang RM5,000 bagi hadiah tempat kedua dan ketiga.

Lebih 1,000 kaki pancing menyertai pertandingan kali ini yang bermula pada jam 8.20 pagi dan berakhir pada 12.20 tengah hari.

Dalam majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengurus Besar Biro Pelancongan DBKL, Khairul Anuar Mfd Juri, beliau berbangga dengan penglibatan para peserta dari seluruh negeri selain kehadiran keluarga masing-masing yang memeriahkan kawasan persekitaran Taman Tasik Ampang Hilir.

Published by
Amang