Lubuk di sungai tersebut sememangnya tumpuan orang setempat sama ada untuk memancing atau sekadar menontok orang lain memancing. Matahari sudah terbenam dan lubuk tersebut hanya tinggal kami berdua, namun joran kami masih belum terusik.
Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu. Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik. Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.
“Isy… kenapa tak ada sekor pun naik ni?” bisik hati aku.
“Sabar…” tiba-tiba saja pak cik aku bersuara seolah-olah mendengar suara hati aku. Mungkin juga dia dapat membaca bahasa gerak tubuh aku.
Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.
“Apa tu aaa…? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu.” Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.
Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesungguhnya menyebabkan aku tergamam.
Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai. Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pak cik aku yang tadi berada tidak jauh dari aku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut.
Lembaga tersebut mengerbangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arah aku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut. Tiba-tiba aku rasa seluar aku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.
“Man! Man oii…! Kau tengok apa tu?”
Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur. Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekeliling aku. Pak cik aku terus memanggil-manggil nama aku.
Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku tidak ingat apa-apa lagi. Apabila kembali membuka mata, aku dapati sedang terbaring di ruang tamu rumah. Bukannya di lubuk sungai. Kelihatan ibu duduk tidak jauh dari tempat aku terbaring.
“Mana pak cik?” spontan aku bersuara.
“Pak cik ada kat luar tu…”, ibuku menjawab.
Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.
Pak cik aku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.
“Kau kena sampuk semalam agaknya…” Pak cik aku bersuara sambil tergelak kecil. Aku sekadar terkebil-kebil memandangnya.
Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya.
Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.
Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam walaupun bukan di lubuk tersebut. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.