Penunggu Lubuk Naik Angin!!

Share

Tidak habis-habis umpan disambar. Tali kail bergetar dan joran berhenjut-henjut melayan rentapan. Bagi pemancing tidak kira apa ikannya juga tidak kira berapa besarnya, apa yang paling seronok ialah umpan dihulur ke bawah dan bersambut.

 

Dalam masa tidak sampai sejam selepas tengah hari, banyak ikan naik ke perut sampan. Ada haruan, toman, malah seekor ketutu seberat lebih 1 kg. Pada harga pasaran semasa, ketutu yang seekor itu pun sudah cukup untuk membayar sewa sampan.

 

 

Sebenarnya, kalau dibahagi cara kasar, tiap seorang sudah boleh dapat dua kilo. Sudah boleh membuat isteri dan anak-anak di rumah tersenyum dan berlapang dada. Itu adalah bukti para suami betul-betul memancing ikan, bukan memancing orang.

 

Tetapi adat orang memancing, kalau ikan sedang galak menyambar umpan, susah sekali hendak meletakkan joran. Rezeki tengah ada, kenapa pula hendak pulang. Selalu ada rasa tamak. Kalau boleh biarlah naik bapak haruan sebesar betis, panggang atas api kayu, cicah pula sambal asam tempoyak, fuhh!

 

Lagi pun siapa tahu akan naik pula beberapa ekor lagi ketutu? Kalau nasib baik bapak ketutu sebesar betis orang dewasa akan merentap kail, boleh buat untung besar kalau jual di pasar. Pendek kata bukan setakat sewa sampan, kalau hendak beli sampan sendiri pun boleh.

 

Dan, siapa tahu banyak lagi ikan-ikan tasik akan dinaikkan ke dalam sampan. Lagi pun orang sudah tidak ada, jadi semua ikan lapar itu hanya akan menyambar umpan kita. Inilah masanya untuk berpesta dalam tasik. Rezeki semakin murah.

 

 

Selepas Asar ikan semakin galak, maka niat untuk pulang dengan sendirinya dibatalkan. Macam-macam ikan sudah tersadai dalam sampan, sesetengahnya masih terkapar-kapar sebab baru dilepaskan dari cengkaman mata kail.

 

Gerimis merenjis permukaan tasik. Ada tanda-tanda hujan akan turun, sebab langit semakin pekat, matahari entah di mana. Tetapi ikan semakin galak. Pantang umpan mencecah air pasti ada yang menyambar.

 

Tangan lenguh sebab joran tidak berhenti bergetar. Rasanya sudah lebih dari cukup, sebab kalau dibahagi sudah boleh dapat paling kurang lima kilo seorang. Tetapi masing-masing enggan pulang, walaupun asar sudah di penghujung. Lagi pun semakin kasar gerimis, semakin ligat pula putaran tali kail.

 

Timbul idea tamak dan ada yang mencadangkan supaya kenduri bakal haji di KL itu dilupakan. Doa selamat boleh dibuat bila-bila masa, tetapi rentak dan tarian bapak haruan dan emak ketutu bukan selalu ada. Maka semua bersetuju!

 

 

“Kita tunggu sampai maghrib!”

 

Sedang galak melayan rentapan ikan, tiba-tiba pancing salah seorang dari mereka direntap ikan besar. Dua tiga kali ikan itu kelihatan seperti ketutu menggelepar di permukaan air. Semakin dekat dengan sampan, semakin jelas kelihatan.

 

Memang ketutu yang tersangkut pada mata kail. Tetapi hanya tinggal beberapa depa hendak masuk ke sampan, tiba-tiba tali kail putus. Adat orang memancing, bila terlepas ikan tentu disangka paling besar. Adat orang memancing juga, apabila tali putus itu pertanda tidak baik.

 

Ikan sudah banyak, hari makin gelap, maghrib pun makin hampir. Gerimis sudah bertukar menjadi hujan. Salah seorang mencadangkan supaya naik ke darat.

 

“Tak sedap pulak hati aku sebab tali kail putus, lagi pun hujan makin kasar, baik kita naik dulu.”

 

Tetapi, perasaan tamak menguasai diri. Dua lagi berkeras tidak mahu naik. Lagi pun semakin hampir maghrib, ikan semakin rancak menyambar umpan.

 

Dalam hujan makin lebat dan petir sabung-menyabung, tiba-tiba terasa umpan direntap dengan kuat. Hebat sekali ikan yang menyambar umpan. Joran melintuk hingga mencecah air, menggeletar tangan dibuatnya.

 

Oleh sebab tidak terdaya melayan ikan di hujung tali, dua orang lagi turut membantu memegang joran, sambil hati berdebar-debar ikan apakah yang amat luar biasa menarik sampan ke tengah tasik. Tidak pula dia muncul di permukaan air menunjukkan diri.

 

Petir membelah langit, sinarnya bagaikan mencecah permukaan tasik. Hujan semakin lebat, airnya melimpah dalam sampan. Sementara ikan di hujung tali semakin hebat merentap, joran yang dipegang oleh tiga orang bagaikan hendak terlepas.

 

Dengan tenaga tiga orang, akhirnya yang ditarik semakin hampir ke sampan. Tetapi alangkah mengejut dan menyeramkan, yang muncul di sebelah sampan bukan ikan, tetapi satu lembaga aneh berbentuk manusia.

 

Dalam cahaya kilat yang memancar kelihatan dengan jelas lembaga berwarna serba putih dengan rambut berjurai, mata merah bersinar, dan mulut ternganga luas, sambil mendengus seperti orang marah.

 

Untuk beberapa saat makhluk aneh itu muncul sambil merenung tepat kepada tiga sahabat. Semua tidak terkata, dan joran terlepas dari tangan.

 

 

Makhluk aneh itu perlahan-lahan hilang dari permukaan, tetapi rambutnya yang panjang itu berkilat-kilat dalam pancaran petir.

Tiba di darat tiga pemancing itu bagaikan hilang semangat. Seluruh tubuh menggigil kesejukan dan ketakutan. Untuk beberapa hari berikutnya semua demam teruk. Makhluk berambut panjang dengan mata merah itu sentiasa menjelma dalam tidur….!

Published by
Amang