Penjelasan Tentang Menggunakan Umpan Hidup Untuk Memancing!!

Share

 

Berkenaan isu ini, suka kami nyatakan bahawa manusia perlu bersikap ihsan kepada semua yang wujud selainnya. Inilah kesempurnaan iman dan Islam.  Daripada Abu Hurairah RA bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Baginda SAW, maksudnya:

 

“Wahai Rasulullah, apakah kita mendapat pahala (bila berbuat baik) pada binatang?”

 

Beliau bersabda: “Pada setiap yang bernyawa, ada pahalanya.”

 

Daripada Syaddad RA bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:

 

“Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan atas setiap perkara. Maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik. Tajamkanlan alat sembelihan dan tenangkanlah haiwan sembelihan”.

 

 

Justeru, tanggungjawab manusia selaku khalifah di atas muka bumi ini adalah membunuh dengan baik dengan meminimumkan penderitaan haiwan yang disembelih atau dibunuh. Bahkan jika bunuhnya itu untuk hiburan atau sia-sia, maka hukumnya haram dan dilaknat.

 

Dari Ibnu Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

 

“Janganlah kalian menjadikan makhluk hidup yang bernyawa sebagai sasaran latihan senjata.”

 

Ini merupakan peringatan keras kepada mereka yang gemar berburu bukan untuk tujuan makan, atau menghilangkan mudarat, sebaliknya seronok menyiksa dan terhibur membunuh seperti mana yang menjadi adat di sebahagian tempat.

 

 

Adapun soalan yang diajukan, yakni menggunakan umpan hidup daripada haiwan yang tidak haram dibunuh, seperti katak yang haram dibunuh berdasarkan nas, tetapi menggunakan udang atau ikan hidup, atau cacing, maka ini memerlukan perincian.

 

Dalam Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/131) ada menyebut:

 

“Jika diambil ikan itu secara hidup-hidup tidak boleh memakannya sehingga ia mati atau dimatikan, seperti mana yang disebut oleh Hanafiyyah dan Hanabilah. Dan dimakruhkan jika dimakan hidup-hidup kerana hal itu mengazab tanpa keperluan kerana ia mati dengan cepat justeru elok ditunggu sehingga mati dengan sendiri.”

 

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu` (9/73):

 

“Kalau seseorang menelan seekor ikan hidup-hidup atau memotong sebahagian daripadanya kemudian memakannya maka terdapat dua wajah. Wajah yang asal ialah ianya makruh dan tidak haram, manakala pandangan yang kedua adalah haram sepertimana yang diputuskan oleh Abu Hamid (Imam al-Ghazali).”

 

 

Berdasarkan keterangan ini, diqiyaskan bahawa tidak haram menggunakan umpan udang hidup, atau cacing, tetapi makruh kerana demikian membuatnya mati dengan lambat namun atas keperluan yang betul yakni memburu ikan bagi tujuan makan atau tujuan lain yang halal. Ini kerana manusia adalah makhluk yang lebih mulia dan haiwan-haiwan lain diciptakan untuk kegunaan manusia jua.

 

(sumber muftiwp.gov.my)

 

Published by
Amang