Empangan Bakun sudah dikenali ramai dengan keluasan kawasan takungan air yang merupakan terbesar di Malaysia. Tasik yang mempunyai keluasan permukaan air yang hampir sebesar republik Singapura dengan kepelbagaian bentuk muka bumi, semestinya menjanjikan satu arena mengilat yang pasti menawarkan 1001 pengalaman.

 

Perkenalan saya dengan rakan sekerja dari Bintulu Sarawak iaitu Richard telah membuka satu peluang baru kepada saya dan rakan-rakan untuk merancang satu trip 3 hari 2 malam ke Tasik Bakun. Trip ini di sertai oleh rakan-rakan pemancing dari Sibu Sarawak iaitu saya, Zyul, Ayie dan Pak Anjang serta Richard selaku guide kami.

 

Pak Anjang menyarankan agar kami berangkat pada sebelah malam dari Sibu agar kami dapat berehat di rumah Richard dan masa memancing yang lebih panjang memandangkan kami akan mengharungi perjalanan yang agak jauh. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 5 jam dari Sibu ke Sungai Asap disambut dengan mesra oleh Richard walaupun jam sudah hampir pukul 2 pagi.

 

HARI PERTAMA

 

Keletihan akibat perjalanan selama 5 jam dan tidur yang tidak mencukupi tidak melunturkan semangat kami untuk menduga penunggu Tasik Bakun. Suasana damai di kawasan kampung Richard sememangnya amat menyegarkan, jauh berbeza dengan suasana kota yang sibuk.

 

Seawal pukul 7 pagi lagi, kami telah memunggah bekalan dan enjin bot ke dalam Hilux milik Pak Anjang. Semangat kami berkobar-kobar walaupun masih ada 2 jam perjalanan ke jeti Tasik Bakun dengan mengharungi jalan balak yang berlubang-lubang. Dari Bakun, kami perlu mengharungi perjalanan ke rumah rehat yang mengambil masa 1 ½ jam.

 

Setibanya kami di rumah rehat, kami berehat seketika mengalas perut sebelum memulakan aktiviti pancingan kami. Yang menariknya tentang rumah rehat kami itu ialah ia terapung di atas air. Menurut Richard, rumah itu dibina oleh keluarganya pada lokasi asal tanah mereka sebelum tempat tersebut menjadi empangan.

 

Satu pengalaman yang amat unik dan menarik. Menurut Richard sekitar Tasik Bakun banyak terdapat banyak anak-sungai dan jeram berbatu yang merupakan syurga mengilat sebarau dan tengas. Kami menjadi semakin bersemangat walaupun keletihan. Mi segera yang dimasak pun tidak dihiraukan kerana asyik menyiapkan senjata mengilat masing-masing.

 

Kami memulakan kembara dengan menaiki bot yang dikemudikan oleh Richard sendiri ke destinasi yang pertama. Satu cabaran terpaksa kami tempuhi kerana jalan masuk ke kawasan sungai berbatu dipenuhi dengan timbunan sisa balak yang hanyut. Bot terpaksa diikat pada sebatang pokok dan kami terpaksa meredah semak dan air yang dalam sebelum sampai ke kawasan yang lebih cetek.

 

Ads

Pak Anjang memulakan aksi hari pertama dengan satu sambaran yang kuat daripada penghuni sungai. Rupa-rupanya seekor haruan yang agak besar saiznya. Suasana sungai sangat tenang dan mendamaikan. Kami mengilat sambil berjalan di sepanjang sungai yang berbatu itu. Pencarian penghuni sungai berbatu itu pada mulanya tidak memberangsangkan.

 

Namun Richard tersenyum sambil memberitahu “Tunggu sehingga kita sampai ke lubuk yang pertama”. Namun kami tetap melontar gewang sambil berjalan dan sambaran demi sambaran yang kami terima agak mengujakan. Setiap karauan gewang kami pasti disambar oleh sebarau juvenil.

 

Setibanya kami di lubuk yang pertama kami tidak membuang masa dan terus mengilat. Amat mengejutkan kami apabila seorang demi seorang berjaya menewaskan sebarau. Sememangnya sungai ini belum tercemar dengan aktiviti-aktiviti manusia. Sebarau bersaiz 500-700 gram sentiasa membaham gewang yang kami lontarkan. Setelah hari beransur petang kami trekking kembali ke tempat di mana bot ditambat pada paginya.

 

Petangnya kami sampai ke rumah rehat dan segala otot pada kaki sudah terasa perit hasil trekking seharian. Pada sebelah malamnya kami berborak sambil menikmati makanan yang disediakan oleh Richard sambil ditemani deruan bunyi generator rumah rehat ini. Sememangnya masakan dengan bahan minima amatlah lazat dan licin dibedal semuanya.

 

HARI KEDUA

 

Seawal pukul 6 pagi saya bersama Pak Anjang dan Richard telah keluar menggunakan bot di sekitar kawasan rumah rehat untuk mengilat sementara Ayie dan Zyul melayan fly di rumah rehat. Harapan menggunung untuk cuba mencari sebarau bersaiz kasar di sekitar kawasan itu namun hanya disambut oleh sebarau remaja sahaja.

 

Tanpa melengahkan masa, kami balik ke rumah rehat untuk bersarapan dan menyiapkan kelengkapan mengilat. Timbunan kayu balak di sungai berbatu lebih banyak berbanding hari sebelumnya namun Richard mengambil keputusan untuk membawa masuk bot sambil meredah timbunan balak.

Ads

 

Objektif pada hari kedua adalah untuk sampai ke lubuk-lubuk yang lebih jauh ke hulu sungai sambil mencari ikan trofi untuk trip ini. Amat meletihkan apabila perlu melangkah batu-batu yang besar dan licin. Sememangnya tidak dinafikan ikan air tawar terutamanya sebarau sememangnya banyak sehinggakan kami boleh melihat kawanan ikan ini di kawasan air yang cetek. Tidak ketinggalan spesies kejor atau dikenali sebagai semah di Sarawak juga banyak terdapat di sungai ini.

 

Strike demi strike membuatkan kami sangat teruja. Terutama dari spesies kejor sememangnya mempunyai kudrat dan larian laju yang berbeza dari sebarau. Joran bersaiz ringan yang kami guna menyebabkan tentangan dari kejor dan sebarau bersaiz 500 gram ke 700 gram amat mengujakan.

 

Teknik karauan laju diperlukan untuk menarik minat penghuni sungai ini dan lontaran tepat ke kawasan bawah jeram semestinya akan ada sambaran walaupun seolah-olah tempat tersebut tidak berpenghuni.

 

Kawasan air yang deras ini selalunya akan mendapat sambaran dari spesies kejor yang pantas. Gewang-gewang selaman dalam yang berwarna terang dan sesudu merupakan tarikan kepada penghuni sungai ini. Penggunaan shallow runner pada karauan laju juga terbukti berkesan.

 

Pada sebelah petang, saiz sebarau yang dinaikkan semakin memberangsangkan. Lontaran Richard yang tepat pada satu lubuk berbatu di sahut oleh satu sambaran yang kasar oleh penghuni sungai. Pak Anjang sempat merakamkan detik-detik pertarungan Richard dengan sebarau seberat 1.5kg. Sebarau pertama yang bersaiz atas satu kilogram berjaya ditewaskan.

 

Kami mengambil keputusan untuk berehat seketika di sebuah lubuk sebelum pulang. Boleh tahan juga lubuk ini kerana banyak sambaran dari sebarau dan kejor yang bersaiz kasar. Zyul memulakan aksi rehat kami apabila deep diver yang dilontarnya tiba-tiba ditarik dengan kuat.

Ads

 

Joran dengan kekuatan 4lb-10lb melentur dengan kuat sekali mengalih tumpuan kami kepadanya. Selepas bertarung hampir 10 minit dia berjaya menewaskan kejor bersaiz 1.3kg. Kudrat larian spesies ini bagaikan torpedo, lebih-lebih lagi bila mengawal lariannya dengan tali mono 10lb!

Lubuk yang kecil tetapi mempunyai banyak penghuni sungai yang sentiasa menantikan gewang-gewang kami. Sehinggakan saya dan Ayie beberapa kali menerima sambaran pada masa yang sama ‘double strike’. Pada jam 6 petang kami balik ke rumah rehat. Walaupun keletihan namun kegembiraan terukir diraut wajah kami.

 

HARI TERAKHIR

 

Kami bercadang untuk singgah sebentar di kawasan air terjun dalam perjalanan balik. Dikatakan kawasan air terjun ini juga banyak sebarau bersaiz kasar. Setibanya di kawasan air terjun ini, kami memasuki kawasan secara senyap dan tanpa membuang masa terus melakukan lontaran gewang. Lontaran pertama Pak Anjang terus ditarik dengan kasar ke arah reba dengan kuat sekali.

 

Dengan pengalaman dan tenang Pak Anjang berjaya menaikkan seekor sebarau bersaiz 1.4kg. Sememangnya gewang berwarna terang dan selaman dalam yang digunakan oleh Pak Anjang amat menarik minat sebarau-sebarau di kawasan ini. Aktiviti memancing kami ditamatkan pada sebelah tengah hari dengan bergambar beramai-ramai di kawasan Empangan Bakun.

 

Pengalaman dan kenangan mengilat di Tasik Bakun tidak akan kami lupakan. Walaupun rata-rata saiz yang dinaikkan tidaklah mencapai tahap mega, namun kepuasan menaikkan pelbagai spesis sehingga tidak terkira adalah sangat-sangat memuaskan. Semua hasil tangkapan kami lepaskan untuk memelihara tempat ini untuk masa hadapan.

 

Keletihan tergambar diraut wajah setelah sampai ke jeti dan kami masih perlu meneruskan perjalanan balik yang jauh selama 7 jam lagi. Kami pasti akan kembali ke tasik ini lagi pada masa hadapan untuk menjejak saiz-saiz mega yang belum didaratkan!

(Oleh: Haidzar & zyul)

 

GALERI

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI