Kampung Air Ganda, Gerik terletak di hujung tebing limpahan air Sungai Perak yang diempang membentuk tasik.
Jika bersampan dari jeti kampung bergerak ke hulu akan menemukan Empangan Bersia dan sekiranya mudik ke hilir akan menemui Empangan Kenering.
Yang pasti, sama ada ke hulu atau ke hilir, Tasik Air Ganda masih lagi dihuni oleh spesies Channa micropeltes atau toman dengan populasi terkawal.
Sekali gus menjadikan Tasik Air Ganda sebagai destinasi padang pancing yang kerap dikunjungi oleh penggemar aktiviti sukan memancing dan menjana ekonomi penduduk setempat dengan menyediakan perkhidmatan pakej memancing.
Baru-baru ini bersama seorang teman, saya berpeluang memancing toman di Tasik Air Ganda.
Dengan menggunakan khidmat seorang pengusaha pakej memancing, baharulah saya dapat saksikan sendiri landskap tasik yang dikatakan tidaklah seluas mana dan dipenuhi dengan pokok-pokok di dalam air.
Sementara toman-tomannya pula berskala saiz kecil. Ternyata fakta tentang keluasan dan landskap itu kurang tepat.
Namun skala saiz toman yang diperkatakan itu ternyata tidak dapat dinafikan.
Pemilihan Mohd Zuraini Mohd Yusof, 44 atau lebih dikenali dengan nama Anip AG di media sosial sebagai tekong atau boatman terbukti satu keputusan tepat.
Berbekalkan pengalaman menjadi tekong dan juru pandu pancing hampir 20 tahun di Tasik Air Ganda, bolehlah diandaikan lubuk-lubuk toman semuanya berada dalam poket Zuraini.
Malah Zuraini langsung tidak lokek untuk berkongsi pengetahuan dan teknik menjerat toman dengan menggunakan umpan tiruan atau gewang yang tepat.
Salah satu ilmu bernilai yang dipelajari dari Zuraini adalah mengenal pasti toman yang akan membaham gewang yang dilontar dengan tepat apabila ia timbul meneguk udara.
Menurut Zuraini, jika toman timbul meneguk udara dan kembali membenam ke dasar dengan gerakan pantas, peluang untuk ia peduli pada gewang amat rendah.
Sebaliknya jika ia timbul dan kembali menyelam dengan gerakan perlahan atau ‘terkodek-kodek’ maka kebarangkalian ia akan membaham gewang permukaan atau gewang selaman dalam adalah amat tinggi.
Ilmu yang diperturunkan oleh Zuriani itu terbukti bukan omong kosong dan kami memperoleh hasilnya.
Meskipun tidak banyak toman yang berjaya kami daratkan namun ia sudah memadai buat kami.
Secara tidak langsung ia turut membuktikan bahawa toman-toman Tasik Air Ganda masih mampu menghiburkan para penggemar sukan memancing walaupun giant snakehead Air Ganda sudah tidak lagi berstatus gergasi.