Pendedahan Umum Rahsia Memancing!!

Share

 

Pergilah ke mana-mana bekas lombong atau tasik-tasik kecil khususnya, pasti kelihatan kelibat pemancing sedang memancing talapia. Malah, jangan terkejut apabila melihat ada pemancing yang memancing talapia di longkang-longkang besar dan kolam tadahan kawasan perumahan.

 

Selaku ikan yang tidak dikategorikan sebagai ikan sukan, bukan juga ikan bersaiz besar, sebaliknya dipancing untuk dijadikan hidangan, pancingan talapia lebih menjurus kepada pancingan santai.

 

 

Justeru  untuk memancing talapia tidak memerlukan peralatan pancing yang khusus. Hanya dengan peralatan asas anda sudah boleh memancing talapia. Tetapi jika inginkan sedikit keseronokan, bolehlah menggunakan set peralatan ultra ringan.

 

talapia adalah ikan omnivor dan tidak cerewet memilih umpan. Cacing, anak udang atau dedak ayam merupakan antara umpan popular untuk memancingnya.

Namun tabiat makan talapia yang gemar mengutis umpan sehingga mengosongkan mata sedikit sebanyak menghadirkan cabaran kepada pemancing. Walaupun mata kail kecil digunakan, ia masih mampu menghabiskan umpan dengan jayanya.

 

Kepandaian talapia mencuri umpan ini secara tidak langsung membuka minda pemancing untuk memerangkapnya dengan kaedah pancingan alternatif.

Bagi pemancing yang benar-benar memancing talapia sebagai sumber makanan, mereka akan menggunakan jaring mini yang disambungkan pada peralatan pancing.

Jaring mini yang dilengkapi dengan alat atau dawai spring bagi mendakap umpan seperti dedak ayam atau roti, akan memerangkap talapia yang datang mengerumuni umpan.

 

Satu lagi teknik memancing talapia yang agak popular suatu ketika dahulu dan masih diguna pakai sehingga kini ialah sembat. Sama ada menggunakan mata tiga yang dilengkapi pemberat atau mata kail cakar ayam, bancuhan dedak ayam dikepalkan kili bersaiz besar sebagai umpan.

 

Cara memancingnya hampir sama iaitu apabila tali pancing bergedik menandakan ada talapia sedang mengutis umpan, joran akan disentap dengan kuat dengan harapan mata tiga atau perambut cakar ayam tersebut akan melanggar badan talapia sekaligus memerangkapnya.

 

 

Published by
Amang