Pendedahan Rahsia Memancing Ikan Sungai Pegunungan!!

Share

 

Apabila memancing ikan sungai pegunungan seperti tengas, kita perlu banyak ‘mengendap’ iaitu bergerak senyap, perlahan dan menyamarkan diri dengan persekitaran. Kaedah mengendap ini lebih penting berbanding pemilihan umpan. Tengas hidup dalam persekitaran yang terdapat makanan mengalir laju mengikut air, jadi spesies ini tidak begitu memilih makanan.

 

 

Namun walau apapun umpan terbaik yang digunakan, tengas tidak akan menyentuhnya sekiranya ia dapat melihat anda. Jadi, anda perlu berpakaian hijau, berselindung di sebalik batu atau pokok ataupun duduk di bawah bayangan sekiranya mahu mengendap tengas.

 

Berkenaan dengan umpan pula, tengas menggemari pelbagai umpan termasuklah pelet, biskut (campur sedikit kunyit sebagai pewarna) dan juga roti canai! Belalang, cengkerik, cacing dan lundi pasir juga merupakan kegemarannya lebih-lebih lagi dalam air keruh.

 

Umpan utama yang biasa digunakan oleh rakan-rakan saya ialah sejenis serangga yang dipanggil belalang togel, iaitu belalang hijau dengan perut yang bulat gemuk dan kaki belakang yang panjang. Tengas memang pantang nampak belalang ini, pasti disambarnya. Walau bagaimanapun, umpan terbaik apabila air keruh ialah perut ayam.

 

 

Jika anda ingin memancing tengas pada siang hari dan menjangkakan mampu mendapat ikan kecil tidak lebih dari 500gm, peralatan ringan dengan ketahanan 2-6lb sudah memadai.

 

Kekili mendatar jenis kecil dengan sistem tegangan yang licin paling sesuai. Joran yang panjang mungkin menyukarkan bagi yang kurang berpengalaman tetapi banyak kelebihan di sebaliknya.

 

Perairan tengas biasanya kecil dan sempit, oleh itu umpan perlu dilontarkan dengan cara menghayun (bukan melontar) atau hanya menjatuhkan terus ke dalam olak di belakang batu. Jadi joran yang panjang dapat menjalankan tugas ini dengan baik sekali.

 

 

Pengawalan hanyutan umpan dan tarikan ikan juga menjadi lebih mudah. Joran sepanjang 7-9 kaki juga boleh digunakan kerana ia sudah cukup lembut untuk mengawal tali halus. Gunakan tali perambut sepanjang 20 hingga 25 cm yang diikat pada cili dan batu ladung yang cukup kecil supaya hanyutan umpan kelihatan lebih semulajadi.

 

Untuk ikan kecil, gunakan mata kail bersaiz 16 hingga 10 (skala Mustad). Saiz yang kasar sesuai untuk umpan belalang dan cengkerik. Kebiasaannya, tengas kecil suka bermain di kawasan sempadan antara air deras dan olak tenang.

Cara yang banyak digunakan ialah dengan melontar umpan ke arah arus deras sambil tali dilepaskan beberapa meter ke hilir, kemudian karau.

 

 

 

Umpan akan hanyut ke olak tenang dan biasanya ragutan berlaku apabila umpan melewati sempadan yang disebutkan. Anda tidak perlu merembat joran dengan kuat kerana tengas sangat rakus menyambar umpan. Sentapan yang lembut sudah memadai.

 

Sekiranya anda ingin memburu spesies ini lebih-lebih lagi pada waktu malam, sebaik-baiknya gunakan tali yang kasar iaitu 8-12lb. Kaedah batu ladung hidup diperlukan, begitu juga dengan saiznya supaya sepadan dengan tali. Dengan ini, lontaran lebih mudah dilakukan dan penyampaian umpan kelihatan seperti semulajadi.

 

 

Spot kesukaan tengas pada malarn hari ialah pada bahagian ekor lubuk. Ikan ini lebih berani pada waktu malam kerana perairan yang agak tenang di bahagian tersebut menjadi medan perburuannya.

 

Anda perlu membiasakan diri dengan kawasan sebegini sebelum mengail kembali pada waktu malam lainlah sekiranya anda lebih gemar memancing pokok setiap kali lontaran! Memancing pada waktu malam di dalam hutan serta sungai berbatu amat membahayakan, jadi pastikan anda sentiasa berteman.

 

Published by
Amang