Beberapa tahun lalu saya bersama rakan sepejabat Lizam dan Rosol telah berkunjung ke Lubuk Bentan di Grik, Perak. Setibanya di sama, kami telah disambut oleh dua rakan Raihan dan Zubir. Tujuan kami adalah untuk sesi repeat trip setahun sebelumnya.
Setelah siap segala bekalan khemah serta makanan, jam 10 pagi kami memulakan perjalanan merentas hutan serta sungai menuju ke lubuk sasaran yang memakan masa dua setengah jam perjalanan kaki.
Setelah beberapa kali berhenti rehat kami tiba ke destinasi jam 1 petang. Saya mengambil kesempatan berehat sebentar sambil melihat keadaan sekeliling yang amat memperson dengan keindahan alam ciptaan Ilahi, kejernihan air sungai serta kesejukannya bak air baru keluar dari peti sejuk.
Setelah hilang penat, kami membersihkan kawasan serta membuat persiapan memasang khemah dan tempat memasak. Kemudian kami terus memulakan aktiviti memancing.
Ads
Kelihatan Raihan melintas sungai untuk mencari port yang baik dengan bertenggek di atas pokok dekat dengan cenuram berhampiran lubuk. Berumpankan cacing yang digali di situ, selang 10 minit Raihan berjaya memperoleh seekor baung akar lebih kurang seberat 300 gram.
Sebahagian dari kami berpecah menuju ke lubuk lain yang memakan masa lebih kurang 15 minit berjalan kaki.
Jam menunjukkan hampir 4.00 petang, saya membersihkan diri bersama Lizam dan Rosol. Selesai menunaikan solat jamak saya mengambil kamera digital dan merakamkan gambar Rosol yang sedang mandi.
Ads
Ingatkan nak bergurau saja akan tetapi alangkah terkejutnya saya apabila melihat di dalam LCD kamera kelihatan satu makhluk Allah seperti bentuk bola putih dengan urat-urat kecil berjuntaian sedang melayang menuju ke arah Rosol, sedangkan pada pandangan mata kasar ketika saya merakamkan gambar tidak ternampak sebarang objek pun melintas di hadapan saya.
Tak mungkin kamera saya menghadapi masalah kerana satu rakaman sebelum dan selepas foto tersebut tiada pula tertera imej tersebut.
Setelah bertafakur sebentar, saya faham apa yang telah termaktub di dalam Al-Quran bahawa bukan manusia saja makhluk Allah, terdapat juga syaitan dan jin, mungkin kami berada dalam kawasannya dan dijodohkan ia ingin menunjukkan sifatnya kepada saya. Lantas saya memohon kepada Allah agar melindungi kami dari segala bencana kerana tujuan kami hanyalah untuk memancing ikan.
Ads
Hampir jam 6 petang barulah kumpulan kami yang menuju ke lubuk lain pulang dengan membawa hasil tangkapan beberapa ekor tengas, baung dan juga terbul. Nasi dimasak untuk makan malam berlauk hasil pancingan ikan tadi. Makan dalam hutan ni tak ada kuah pun tak apa, asalkan ada kicap, cili api serta bawang dan asam limau dan memadai. Lebih-lebih lagi ikan tadi digoreng atau pun dipanggang, 3 pinggan nasi pun boleh habis sekali jalan!
Selepas Maghrib kami meneruskan pancingan. Berbekalkan joran aksi ringan serta tali tangsi 10lb barulah terasa puas melayan tarikan ikan dan hasilnya kami memperoleh lebih kurang 20 ekor baung akar seberat 100 hingga 500gm, tengas kecil dan beberapa ekor ikan lain.
Walaupun kunjungan saya kali ini tidak mendapat rentapan ikan yang bersaiz besar seperti kunjungan sebelumnya, namun saya puas dengan hasil tangkapan yang boleh dikatakan agak lumayan juga.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kegilaan memancing Sadam tak terbatas sejak dia menggilai pancingan teknik casting. Ke mana-mana sahaja dia pergi, dalam kereta mesti ada set pancing yang dibawa. Dalam keterujaan menyambut raya tahun ini, barangan pancing terlebih dahulu disiapkan sebelum pakaiannya apabila ingin pulang di kampung halaman isterinya.
Petang tu juga Sadam membawa jorannya menuju ke tempat yang diceritakan oleh mertuanya. Lagipun, dapatlah lekakan diri sementara menunggu untuk berbuka nanti, tak ada lah terasa sangat masa berlalu.
Baling punya baling, satu sambaran besar berlaku. Itulah sambaran sebarau yang berjaya digoda dengan gewang permukaan jenis popper. Tapi sayang terlucut di pertengahan pertarungan. Memang tengah menggila lubuk ni, katanya dalam hati! Tapi memandangkan masa untuk buka puasa sudah terlalu hampir, Sadam segera pulang.
Ketika berbuka, hatinya asyik terbayang pertarungan sekerat jalan tadi. Dia lebih rela menjawab tak dapat ikan apabila ditanya oleh ibu mertuanya daripada menceritakan detik-detik yang menggeramkan hatinya itu.
Senja itu Sadam mendengus. Tangan dikepak mencengkam lantai kayu rumah kampung itu. Sesekali dihentak-hentak bagai membentak marah teramat. Isteri Sadam ketakutan. Bapa mertuanya cuba sesekali menenteramkan Sadam dan beristighfar. Dibaca ayat apa yang terlintas, namun keadaan Sadam masih sama.
Menurut isterinya, tak sangka pula dia pergi betul-betul pada hari raya pertama itu. Dia ingatkan kata-kata suaminya malam tadi hanya bergurau.
Hendak terjah lagi ke situ untuk balas dendam. Menyesal pula tak dihalang menggunakan kuasa veto seorang isteri. Maklumlah, raya pertama sepatutnya duduk di rumah menunggu para tamu atau berjalan ke rumah sanak saudara. Tetapi petang itu suaminya betul-betul repeat.
Nah! Sekarang ni meracau-racau macam orang gila. Apabila dibaca ayat suci Al-Quran, di jegilnya dengan biji mata bulat kemerahan. Naik seram sesiapa yang melihatnya. Tak boleh jadi! Bapa mertua si Sadam pun sebenarnya pandailah berubat sikit-sikit.
Setakat anak merengek malam tu adalah caranya. Tapi nampak gayanya, apa yang merasuk Sadam ni bukan tandingannya.
Tak boleh jadi! Usai Maghrib, sengaja bapa mertua Sadam melambatkan pergerakan keluar dari surau untuk seiring dengan tok imam. Diceritakan perihal Sadam kepada Tok Imam apabila bersaingan jalan ke tangga surau. Tok imam setuju untuk melihat keadaan Samad.
Dari halaman rumah lagi sudah kedengaran suara racau Samad. Kadang-kadang mengerang seperti binatang. Tok imam beristighfar panjang apabila melihat keadaan Samad. Berlenggang tidak berbaju. Gayanya seperti merangkak tapi kaki bersila duduk. Badannya terhuyung-hayang ke kiri dan kanan macam orang sedang beratib.
Setelah dibaca-baca, Tok Imam mula berkomunikasi dengan Samad. Dijerkahnya Sadam bertanyakan apa yang di mahu!
Sadam dengan suara garau membalas, “Aku nak pulang! Aku nak pulang!” Malam itu juga tok imam mengheret Sadam ke tempat yang diceritakan oleh isterinya.
Tempat beliau memancing petang tadi. Dibantu dengan beberapa orang ahli qariah masjid yang turut menemani tok imam dari surau.
Setibanya di tempat yang diceritakan, tangan Sadam menuding ke sebatang pohon ketapang yang agak besar, kira-kira 5 pemeluk orang dewasa. Tok imam kelihatan terkumat-kamit membaca sesuatu. Kemudian beliau menjerit, turun! Pergi! Jangan kau ganggu anak-anak Adam lagi! Pergi!
Mujur segalanya berjalan lancar dengan izinNya. Tapi Sadam masih lemah dan perlu dipapah pulang. Beliau dibaringkan apabila sampai di rumah. Tok imam meminta izin untuk beransur.
Keesokan hari, Sadam tampak lebih sihat berbanding sebelumnya. Cuma terasa sengal-sengal badan katanya, terutama belakang badan. Mana taknya, rupa-rupanya Sadam di tenggek penunggu pohon ketapang berhampiran lubuk pancingannya. ‘Benda’ tu jarang melihat manusia lalu di situ. Apatah lagi bila sebulan ‘di penjara’ agaknya.
Begitulah menurut Tok Imam yang mengubatinya semalam. Tapi yang hairannya, Sadam seakan tidak ingat langsung apa yang terjadi. Cuma satu benda yang segar di benak fikiran, katanya beliau telah bersandar di sebatang pohon, kemudian terasa seperti panas menjalar ke belakang badannya.
Selepas itu, entah macam mana dia pulang ke rumah pun tak diingatinya. Apabila isteri Sadam menceritakan semula apa yang terjadi padanya semalam, tegak bulu romanya. Serik dah nak pergi memancing di situ lagi.
Berdekah-dekah mereka ketawa. Dek kerana sedapnya makan dalam hutan, mereka semua terlupa kepada sebarau yang dipanggang Akim.
Zainal berlari pantas menuju ke hujung khemah untuk mengambil ikan tersebut.
“Geng… tak ada la ikan tu, kau bakar kat sini tadi kan Akim?”. Mereka saling berpandangan sesama sendiri.
Memang di situlah Akim panggang sebarau yang dia dapat petang tadi. Ke mana hilangnya ikan itu.
“Binatang hutan kot yang curi ikan tu,” Fuad cuba menenangkan keadaan.
Setelah selesai makan, mereka berbual seketika sebelum masuk ke khemah masing-masing.
Dinihari Akim terjaga kerana terasa hendak buang air kecil, lantas mencapai lampu suluh dan bergegas ke belakang khemah.
Sewaktu hendak memasuki khemah dia terdengar suara orang sedang berbual. Suara itu datang dari arah tebing sungai.
Memang dia ternampak di bawah samar cahaya bulan, ada orang duduk di atas batu besar. Akim berjalan ke arah mereka.
“Oh…kau rupanya Zali, Amri. Tak tidur lagi ke?” Akim menyapa sambil kakinya melangkah ke atas batu.
“Mata tak mahu lelap, jadi kami lepak atas batu ni.. sembang-sembang. Kami masak mee segera tadi, banyak lagi lebih ni.. makanlah,” Zali mempelawa. Perut Akim memang terasa lapar.
Maklumlah di dalam hutan, lebih-lebih lagi di tepi sungai. Cuaca sejuk menyebabkan perut cepat lapar.
Akim makan dengan penuh berselera walaupun hanya sekadar mee segera kosong yang sudah kembang, tanpa kuah.
Hinggakan tidak sedar bila dia masuk ke khemah semula dan terlelap.
“Zali… kau dengan Amri malam tadi masuk tidur pukul berapa?” terpacul soalan dari mulut Akim ketika mereka duduk untuk bersarapan.
Zali agak kehairanan. Mengapa pula Akim bertanyakan soalan tersebut.
Mereka semua tidur awal kerana keletihan. Lantas Akim menceritakan apa yang terjadi waktu dinihari tadi. Zali dan Amri menafikan yang mereka bersembang di atas batu.
“Habis tu malam tadi… siapa?” Akim bersuara cemas sambil berlari ke arah batu besar.
Sebaik tiba di atas batu tersebut, alangkah terperanjatnya dia melihat banyaknya cacing tanah yang merayap-rayap. Tekak terasa mual.
Perutnya memulas tiba-tiba. Angin naik ke kepala dan terus termuntah.
Rakan-rakan yang mengekori terkejut melihat cacing-cacing yang keluar dari mulut Akim.
Badannya mulai lemah dan terpaksa dipapah ke khemah. Trip 3 hari 2 malam terbantut. Mereka segera berkemas pada pagi itu dan pulang.
“Ini air tanah liat putih. Saya sudah bacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa. Bagi dia minum,” kata Ustaz Salahuddin kepada Zali.
Menurut Ustaz, ikan yang dipancing Akim ‘ada tuan’ dan membalasnya dengan hidangan ‘mee segera semula jadi’.
Ustaz memberitahu Zali cerita lama sekitar tahun 50-an, di mana tiga orang pemburu yang tersesat menemui pulut kuning di dalam talam tembaga di atas batu besar di jeram tersebut.
Itulah sebabnya jeram tersebut dinamakan jeram pulut. Zali mengangguk-anggukkan kepala.
Sewaktu Zali melangkah kaki ke kereta, sempat Ustaz Salahuddin berpesan “Adat bertandang ke tempat orang, jaga tutur kata, pelihara tatasusila…”
Sejak daripada itu, Akim serik untuk bertandang ke lokasi memancing terutama sungai-sungai di dalam hutan.
Boleh dikatakan hampir setiap minggu aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik casting atau pancingan dasar. Teknik melabuhkan umpan dan tunggu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada mana-mana geng yang turun atau tiada port yang ingin diterjah kerana casting pilihan utama.
Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di pusat pengajian tinggi dahulu. Rakan-rakan yang lain agak kecewa kerana selalunya akulah yang menjadi mastermind kepada sebahagian komplot yang dibuat.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari. Dalam hati terdetik “masih awal, ada peluang nak mancing petang ni”. Puas melihat pengantin setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus mencapai telefon bimbit dan menelefon Adnan. Rupanya Adnan sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir dua jam katanya. Racun punya racun, Adnan akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Banting. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku tidaklah terlalu jauh dan tidak terlalu dekat, hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih. Setibanya Adnan di pekarangan rumah, kami bercadang untuk naik satu kereta iaitu kereta aku.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...