Pemeliharan Sumber Ikan Sungai!!

Share

Malaysia sebuah negara bertuah yang kaya dengan sumber perairan umum (air tawar) iaitu persekitaran akuatik yang berada dalam lingkungan sempadan tanah, seperti sungai, tasik, kolam, bekas lombong dan empangan. Sumber ini kaya dengan hidupan akuatik dan aliran air; ini penting bagi menampung kehidupan harian penduduk di persekitaran dan juga sebagai daya tarikan untuk rekreasi.

 

LATAR BELAKANG

Pada tahun 2011, jumlah pendaratan perairan umum ialah 5,694.36 metrik tan (M.T.) bernilai RM54.83 juta, iaitu meningkat sebanyak 23.6% dan 22.7% masing-masing dari segi kuantiti dan nilai berbanding tahun 2010. Namun, sumbangannya terhadap jumlah pengeluaran ikan masih amat kurang jika berbanding dengan sub-sektor pendaratan ikan marin dan akuakultur. Pada 2011, sub-sektor ini hanya menyumbangkan 0.34% dan 0.58% kepada keseluruhan pengeluaran ikan makan di Malaysia masing-masing dari segi kuantiti dan nilai.

Negeri Pahang merupakan penyumbang utama bagi sub-sektor ini. Pada 2011, pendaratan dari negeri terbesar semenanjung itu ialah sebanyak 1,600.01 M.T. bernilai RM16.12 juta iaitu 28.1% kepada jumlah pendaratan ikan dari perairan umum. Negeri Perak juga telah menyumbangkan sebanyak 23.04% (1,311.98 M.T.) kepada jumlah pendaratan pada tahun yang sama.

Sungai dan bekas lombong merupakan sumber yang paling penting bagi sub-sektor ini. Sungai dan bekas lombong masing-masing telah menyumbangkan sebanyak 53.1% (3,021.12 M.T.) dan 19.6% (1,114.5 M.T.) kepada jumlah pendaratan perikanan perairan umum.

Spesies yang paling banyak didaratkan adalah tilapia nilotika (Oreochromis niloticus) (997.95 M.T.), lampam sungai (Barbodes schwanenfeldii) (460.24 M.T.), udang galah (Macrobrachium rosenbergii) (411.16 M.T.), dan keli (Clarias spp.) (357.93 M.T.), di mana jumlah pendaratan keempat-empat spesies itu adalah sebanyak 39.07% kepada jumlah pendaratan pada 2011.

 

 

KEPENTINGANNYA

Walaupun sumbangan sub-sektor ini terhadap jumlah pengeluaran ikan adalah sangat kurang, tetapi kepentingannya tidak boleh dinafikan. Sub-sektor ini adalah penting dibanyak kawasan, seperti di mana sektor ini membekalkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Sebaliknya, data atas kegiatan yang bermusim dan sara diri ini adalah sangat sedikit dan banyak aspek tidak diambil kira. Ini mungkin kerana kegiatan mereka tidak teratur, sukar dikesan, dan mudah alih. Dengan ini, ada kemungkinan bahawa nilai sebenar dalam sub-sektor ini jauh melebihi anggaran rasmi.

Kekurangan data perikanan perairan umum ini bermakna peranan mereka dalam sumbangan bekalan ikan makan kurang diiktiraf. Dengan ini, kebajikan mereka boleh dipandang ringan atau diabaikan apabila pihak berkuasa membuat keputusan mengenai pembangunan yang boleh merosakkan biodiversiti dan perikanan di kawasan berkenaan.

 

PEMELIHARAAN SUMBER PERAIRAN UMUM

Pada tahun 2012, World Wide Fund for Nature (WWF) telah mencadangkan beberapa cara untuk memelihara sumber perairan umum seperti berikut.

 

#1 PASTIKAN PERALIRAN SUNGAI BERTERUSAN

Perairan sungai terhalang (fragmentation of rivers) adalah faktor utama kemusnahan biodiversiti dan perikanan. Ini kerana masalah ini boleh menjejaskan kelajuan perairan sungai dan turut menjejaskan kualiti habitat itu. Pemelihara perairan sungai dan sambungan sistem perairan umum adalah penting untuk kepelbagaian hidupan akuatik.

 

#2 MENGURUSKAN HABITAT IKAN DAN STOK IKAN.

Habitat ikan merupakan asas bagi perikanan yang produktif, tetapi banyak habitatnya telah dimusnahkan atau diubah. Usaha untuk memulihkan dan pertambahan habitat akuatik adalah penting. Selain itu, usaha pengurusan stok ikan melalui nurseri dan pelepasan stok ikan yang lebih matang ke habitat juga adalah wajib diteruskan.

 

 

#4 MEMBENTUK PAKATAN, MELIBATKAN KOMUNITI.

Kepentingan penduduk di kawasan pedalaman yang sangat bergantung kepada sumber perairan umum boleh terlepas pandang dalam proses perancangan pembangunan oleh pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu. Dengan ini, mereka perlu ada wakil untuk menyuarakan pandangan mereka dan yang mampu membawa impak atas keputusan yang dijanakan.

 

#5 MELABUR DALAM PENYELIDIKAN.

Banyak aspek dalam sumber perairan umum dan individu yang terlibat masih belum dikaji dengan teliti. Hasil dapatan kajian-kajian itu adalah sangat penting bagi pihak berkuasa menghasilkan dasar, polisi dan peraturan yang berkesan.

 

#6 PERANCANGAN, PERUNDANGAN, PELAKSANAAN, DAN PENGUATKUASAAN YANG BERKESAN.

Prinsip-prinsip yang digariskan di atas semua memerlukan undang-undang dan penguatkuasaan yang berkesan, dan memerlukan semua bidang dasar yang berkaitan, termasuk pengurusan perikanan dan sumber air, peraturan pemasaran, kebajikan penduduk persekitaran, dan perlindungan alam sekitar. Proses perancangan perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan dan menangani isu-isu pada skala yang sesuai, dengan mengambil kira kesan kumulatif daripada perubahan.

 

KESIMPULAN

Ramai percaya bahawa di mana ada air, di situ ada ikan. Tetapi, ini telah terlepas pandang bahawa hidupan akuatik adalah rumit dan sangat sensitif terhadap keadaan air. Kelajuan aliran air, kualiti air, suhu air, dan sambungan sungai dengan sungai lain, tasik, dan tanah bencah adalah sangat penting bagi hidupan akuatik. WWF International pernah menyatakan bahawa perlindungan hanya atas tanah bencah dan sungai-sungai tertentu sebenarnya masih tidak cukup untuk memelihara kepelbagaian hidupan akuatik; usaha pemeliharaan harus dilakukan dengan menyeluruh, dan kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan.

Published by
Amang