Pemancing yang berasal dari Miri, Sarawak dengan nama gelaran Laksamana Tanjung atau Awang Semana (nama Facebook – Lak Samana Lak Samana) sama sekali tidak menyangka berjaya mendaratkan seekor ikan pari seberat 103kg, ketika memancing pada 22 Jun lalu.
Menurut Awang Semana, 34 tahun yang pernah mendaratkan beberapa ekor pari dari berat 15kg hingga 68kg, sudah menjangkakan ia tangkapan melebihi 40kg sejurus ikan pari tersebut melarikan umpan yang dipertaruhkannya.
“Saya guna reel Wahoo 6000, rod Eupro 15 sec 200gram berwarna kuning, main line 50lb Power Pro dan leader 80lb Sufix.
Arus agak laju jadi saya guna ladung saiz 6 berbentuk anchor. Umpan pula ikan duri yang dipotong ekor senget. Perambut pula saya guna perambut T gantung umpan sedepa.”
Setelah menghela tali keluar dari kekili tanpa henti selama 3 minit, Awang Semana berusaha keras menghentikan lariannya.
Beliau percaya ia adalah pari yang luar biasa besar dan sudah berhadapan dengan pertarungan sedemikian yang mana kesemuanya berakhir dengan kegagalan.
Sepanjang 2017-2019, dia sudah 6 kali bertarung dengan pari gergasi dan kesemuanya putus tali utama dan kemenangan berpihak kepada pari.
Justeru kali ini Awang Semana menggunakan segala pengalaman dan kemahiran yang ada untuk menjinakkannya.
“2 jam 56 minit…!” ujar Awang Semana tentang tempoh waktu pertarungan tersebut. Beliau masih ingat waktu pari itu mengambil umpan sekitar jam 2.00 lebih dan berjaya mendaratkannya pada jam 5.00 lebih.
Sepanjang tempoh hampir 3 jam itu Awang Semana hampir saja berputus asa. Banyak perkara yang bermain dalam fikirannya.
Lokasi sungai Kuala Baram di Miri itu bukanlah lokasi yang selamat. Selain hari yang semakin gelap dengan serangan agas dan nyamuk, ia juga merupakan habitat buaya air masin.
Setelah berjaya mendaratkannya, Awang Semana membawa pari minyak atau pari bulan atau pari Thailand mengikut sebutan tempatan ke perkampungan berhampiran untuk ditimbang. Hampir saja beliau tidak percaya dengan angka terpampang.
Untuk tempoh 2017 hingga 2019 Awang Semana sudah mendaratkan 4 ekor pari saiz gergasi. Yang pertama seberat 30kg, pari kedua seberat 15kg, yang ketiga seberat 18kg,
yang keempat seberat 63kg dan kini dia mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menaikkan pari seberat 103kg.
Menurut Awang Semana lagi, pari itu kemudiannya dilapah dan dibahagikan kepada orang-orang kampung. Walaupun bersaiz gergasi, masih ada bahagian isinya yang sangat lembut dan juga yang liat!
Baca juga Profil pari tanjung
Apa pendapat anda? Tinggalkan komen dan share. Terima kasih!
Jangan lupa like & see first Facebook @Majalah Umpan