Pada kejadian Sabtu malam lalu (24 Mac) seorang penyelia kilang maut disambar petir ketika menunggu bot bersama rakan-rakannya untuk pergi memancing di tepi pantai berhampiran Dewan Masyarakat Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Dalam kejadian jam 10 malam, Mohamad Amin Osman, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Insiden berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya sedang menunggu bot nelayan untuk membawa mereka memancing di Pulau Kendi.
Difahamkan ketika itu, hujan lebat sebelum tiba-tiba petir menyambar mangsa menyebabkannya tercampak ke tepi laut. Rakan berada berhampiran mangsa turut terkena petir dan mengalami kebas pada tangan lalu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Ads
Anak mangsa, Muhamad Izdhar Mohamad, 21, berkata mereka sempat bertemu pada petang semalam, sebelum bapanya keluar rumah bersama rakan selepas maghrib.
“Tiada perubahan ketara ditunjukkan arwah bapa. Cuma sejak kebelakangan ini, saya nampak arwah agak pendiam.
Ads
“Sudah agak lama arwah bapa tidak keluar memancing, namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Balik Pulau di sini, malam tadi.
Arwah meninggalkan seorang balu bersama tiga anak, dan dikatakan seorang yang peramah serta disenangi di tempat kerjanya.
Ads
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan, mengesahkan kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Allahyarham Mohamad Amin
(Sumber: Berita Harian)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Orang yang bertanggung jawab membina menara condong ini Leong Choon Cheong pada tahun 1885. Tujuan asal ia dibina untuk menempatkan sebuah tangki air untuk kegunaan penduduk setempat dan keperluan memadamkan kebakaran.
Menara yang tingginya 25 meter dengan 110 anak tangga pada asalnya tidaklah condong. Pada tahun 1895, berlaku kejadian banjir besar di Teluk Intan yang menyebabkan bebanan berat sekaligus telah menyebabkan ia mulai condong ke arah Barat. Walaupun ia condong, ia tetap selamat untuk dikunjungi pelawat dan menjadi ikon bandar ini.
Teluk Intan
Nama Teluk Intan memang sudah termasyhur kerana di sinilah terletaknya menara condong kedua yang ada di dunia selepas Menara Pisa di Italy. Ia juga merupakan ikon bandar dan daerah yang terletak di hilir negeri Perak Darul Ridzuan.
Di sebalik populariti menara condongnya, Teluk Intan juga kini sedang giat diangkat naik oleh pihak Tourism Negeri Perak sebagai produk pelancongan destinasi memancing udang galah, selain melawat ke lokasi-lokasi bersejarah dan menarik di sekitar daerah ini.
Menurut Pengarah Negeri Tourism Malaysia Perak, pengenalan Teluk Intan sebagai produk pelancongan adalah rentetan dari kesinambungan beberapa produk pelancongan yang dilancarkan sebelum ini seperti Ipoh Heritage Trail, Ipoh Food Trail, Jejak Masjid, program homestay dan banyak lagi.
“Produk pelancongan memancing udang galah ini, tidak terhad kepada kaki pancing sahaja, bahkan disasarkan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk merasai bagaimana pengalaman memancing udang galah bersepit biru terutama ketika ia memakan umpan.
“Program Jom Memancing Udang ini, merupakan rentetan selanjutnya selepas Program Pulau Sembilan/Jarak Angling Tourism dan selepas ini, kita akan tumpukan pula kawasan tasik sebagai daya tarikan produk pelancongan di negeri ini,” katanya ketika ditemui semasa merasmikan Program Farm Trip Jom Mancing Udang Galah bersama media, blogger dan agensi pelancongan di Teluk Intan.
Sementara itu, satu pengalaman baru bagi 22 orang wakil media, blogger dan agensi pelancongan apabila merasai sendiri meredah Sungai Perak dengan menaiki bot yang telah disediakan oleh pihak penganjur yang terletak tidak jauh dari mercu tanda dan Dataran Udang Galah Teluk Intan.
Selepas menaiki bot, semua peserta mengikut haluan tekong bot masing-masing. Menurut cerita tekong di sini, udang galah Teluk Intan, hanya gemarkan umpan udang beras. Umpan lain seperti perumpun, cacing tanah, organ lambat digetu, sebaliknya ia lebih cepat digetu oleh ikan duri, gelama dan juga buntal.
Menginjak waktu tengah hari, semua peserta menikmati nasi bungkus dan makan di dalam bot. Walaupun simple cara masakan kampung ia begitu menyelerakan sambil menantikan hujung joran digetu oleh udang.
Sekitar jam 4 petang, barulah ahli trip beransur kembali ke jeti. Masing-masing memperagakan hasil tangkapan. Mengejutkan apabila ada ahli trip yang berjaya memperoleh jumlah udang lebih dari sekilogram seorang, walaupun dalam tempoh yang singkat dan ia pengalaman sulung memancing. Itu baru gunakan sebatang joran. Kalau 3-4 batang joran seorang, lagi lumayan.
Ternyata, Teluk Intan memang masih kaya dengan udang galahnya. Setidak-tidaknya ia destinasi memancing udang galah yang wajib dikunjungi oleh kaki pancing dan sesiapa sahaja yang menggemari tarikan spesies berharga mahal ini.
Apabila mendarat sahaja ikan gerepoh atau biasa disebut GT yang kedua, saya terus bersuara kepada tekong jigging 100% popular Port Dickson, Rozali Abd Rahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ali.
“Boleh buat story GT ni, Pak Ali…”
Saya sebenarnya sekadar bersahaja, bukan mendesak atau memberi tekanan kepada tekong untuk menggeledah lubuk-lubuk gerepoh atau GT bagi memenuhi permintaan saya itu.
Malah tujuan saya menyertai trip jigging bersama rakan-rakan yang banyak membantu saya mencari bahan untuk jurnal memancing saya lebih kepada trip santai.
Tak sangka pula Pak Ali menganggapnya sebagai `tugasan’ yang perlu beliau penuhi. Bersungguh-sungguh pula dia cuba untuk menjayakannya.
Ketika gerepoh kedua yang dinaikkan oleh Shahrul Amri, hari masih awal pagi. Sebelum itu saya terlebih dahulu mendaratkannya.
Memandangkan ia belum tengah hari dan kedua-kedua gerepoh tersebut dinaikkan dalam jarak masa yang agak rapat, maka saya begitu yakin misi untuk menghasilkan bahan cerita akan tercapai.
Namun tak sangka pula gerepoh terus menyepi walaupun beberapa lubuk gerepoh yang berpotensi digeledah oleh Pak Ali.
Gerepoh yang lenyap secara tiba-tiba tidak menjadikan aktiviti memancing kami turut menjadi sunyi.
Sebaliknya pelbagai kejadian yang berlangsung di atas bot membuatkan kami hampir terlupa kepada misi tidak rasmi iaitu mencari gerepoh.
Malah masing-masing ada misi tersendiri yang terpendam. Ada yang bergelut untuk memecah badi kumpau setelah beberapa trip berakhir dengan kegagalan. Ada yang bergelut dengan mabuk laut walaupun sudah banyak kali turun ke laut.
Ada yang bergelut dengan serangan alu-alu yang memutuskan perambut berkali-kali. Ada yang bergelut untuk memperoleh lesen agar tidak menjadi bahan kepada tekong.
Dan tekong sendiri turut bergelut untuk mendaratkan seekor spesimen haruan tasik belasan kilogram yang akhirnya dimenangi oleh si ikan dan sekadar berpuas hati dengan ikan talang sahaja.
Menjelang lewat petang, tinggal beberapa lubuk sahaja lagi untuk dicuba sebelum bergerak pulang, muncul Shahrulnizam menjadi penyelamat apabila berjaya mendaratkan seekor lagi ikan gerepoh yang lebih kurang saiznya.
Tiga ekor gerepoh itu sudah mencukupi untuk saya garap menjadi bahan jurnal memancing saya.
Tak lama kemudian Parman menjadi ia bahan yang sempurna apabila turut sama mendaratkan spesies gerepoh.
Beberapa minit sebelum trip berakhir, Hafizuliz Amri berjaya juga menyempurnakan trip apabila berjaya mendaratkan ikan kerapu.
Untuk ke Hulu Tembeling, ada dua cara sama ada mudik melalui Kuala Tahan atau mudik dari Kuala Tembeling. Sekarang jalan berturap sedang rancak pembinaannya. Sedikit masa lagi perjalanan menjadi lebih lancar serta menjimatkan masa dengan menaiki kenderaan dari Kuala Tahan terus ke Kampung Mat Daling.
Bila sebut Hulu Tembeling atau Taman Negara, bagi pemancing khususnya peminat sungai pergunungan pasti terbayangkan kelah serta saudaranya kejor dan tengas. Tidak terkecuali sebarau dan abangnya badong serta ikan legenda di sini, temalian atau temoleh dan juga tapah monster. Terpahat niat di hati menunduk dan memangkunya di pinggir sungai sambil tersenyum bergambar. Akan tetapi trip kali berlainan pula agendanya.
Sekitar jam 11.00 pagi kami sampai ke Rumah Rakit Haji Nan yang terletak di kawasan yang dikenali sebagai Tempan. Rakan-rakan yang sampai satu jam lebih awal daripada saya kelihatan asyik melayan pancing masing-masing. Setelah berehat seketika, saya mengepal umpan dedak yang telah digaul kelapa sawit masam yang disediakan Haji Nan.
Patin lawang, kerai kunyit, jelawat, kelabau dan tengalan di antara spesies yang kebiasaannya dipancing sekitar rumah rakit ini. Mata bom yang dilengkapi gelung spring bersama beberapa bentuk mata kail digunakan agar dedak tidak mudah pecah dihakiskan arus. Bagi yang ingin mendapatkan udang galah, umpan anak udang dipertaruhkan.
Tengah syok melayan pancing, Haji Nan memanggil saya ke perahu untuk menahan tajur. Umpan anak keli yang dibawa, dimasukkan ke dalam baldi. Haji mengemudi bot manakala saya memasang umpan anak keli ke mata tajur. Tali tajur yang putus kerana mengena ikan yang besar diganti tali serta mata kail baru. Belida, patin, tapah, baung serta temoleh antara yang berkemungkinan besar terpedaya dengan umpan ikan hidup yang dipasang.
Hidangan ikan segar dari ‘ladang’ serta sayur kampung memang berpeluh dahi dibuatnya. Setakat dua pinggan selamba je!
“Jangan malu-malu. Tiga pinggan kalau di sini biasa…” kata Haji Nan apabila ada rakan yang ‘malu-malu kucing’ hendak menambah.
Setelah selesai makan tengah hari kami berehat seketika menghilangkan penat perjalanan. Sesi pancingan pada sebelah petang, Haji Nan menghantar kami menggunakan bot fiber untuk memancing di lubuk kegemarannya. Beberapa ekor ikan berjaya dipancing. Lewat petang, Haji menjemput kami pulang ke rumah rakit.
Belum pun sempat kaki melangkah ke lantai rumah rakit, rakan memberitahu seekor baung yang besar telah mengena tajur tapi sayang episod duka menjelma apabila tali putus setelah bergeser dengan tongkah kayu hanyut. Nasib kau lah baung. Kalau tidak gulai tempoyak pastinya.
Acara pancingan diteruskan pada sebelah malam. Sambil bersembang bersulamkan kopi ‘o’ panas, joran yang dikepit loceng di hujungnya setia menanti mangsa. Apabila mata mula terasa ‘kelat’, kekili dikarau dan perambut ditukar.
Sebiji sawit ranum yang secukup rasa masamnya dicangkuk ke mata kail dan dilepaskan ke dasar. Selepas membaca ayat kursyi dan mengucap, kepala direbahkan ke bantal. Sebelum mata dipejam masih sempat berharap agar ada penghuni Sungai Tembeling yang akan menggegarkan loceng tatkala sunyi dinihari. Kalau tidak kelah, patin buah pun jadilah!
Hari terakhir di sini kami masih lagi memancing pada sebelah pagi. Kami akan bertolak pulang lebih awal dari jadual asal (makan tengahari lebih awal) kerana ada tetamu dari sebuah jabatan kerajaan yang akan ‘datang makan’.
Bagi sesiapa yang ingin berkunjung bolehlah merancang satu trip bersama keluarga atau rakan pancing. Haji Nan yang menghubungi penulis memberitahu beberapa ekor patin buah berjaya dia perolehi.
Stok ikan sungai hidup yang disimpan di dalam sangkar di rumah rakit yang mencecah nilai ribuan ringgit menanti anda. Tanya selera, tepuk saja poket. Di samping melayan strike, sesekali menikmati hidangan ikan sungai di atas sungai, apa salahnya. Berpeluh dahi weh!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...