Bermula lewat petang kelmarin, timeline Facebook kebanyakan kaki pancing memaparkan ucapan takziah di atas kematian seorang rakan pancing M Ryuzaimi Isseykando, yang terbabit dalam nahas pesawat merempuh kereta.
Petikan berita dari akhbar:
Juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang parah dirempuh sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang semalam
disahkan meninggal dunia pada pukul 6.45 petang di sebuah hospital swasta sekitar Subang Jaya.
Ads
Difahamkan, arwah Mohd. Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md. Usuf dan empat anak berusia dalam lingkungan satu hingga 13 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, arwah Mohd. Ruzaimi merupakan seorang pekerja yang berdedikasi dan sentiasa komited dalam apa jua tugasan yang diberikan.
Ads
“Pemergian Mohd. Ruzaimi merupakan satu kehilangan besar buat Malaysia Airports dan kita akan memberi sokongan penuh terhadap keluarga mangsa termasuk membantu pengurusan pengebumian arwah bagi meringankan beban yang terpaksa dipikul mereka.
Ads
“Dalam pada itu, kita juga akan memastikan kebajikan keluarga arwah Mohd. Ruzaimi terjamin dan saya memohon orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang mampu mengguris hati keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemergian Ruzaimi juga merupakan satu kehilangan dalam industri memancing. Allayarham merupakan seorang pemancing yang amat disenangi di kalangan rakan-rakan.
Kami dari portal Umpan turut merakamkan ucapan tahziah dan semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
AlFatihah…
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tasik Kenyir, sememangnya lokasi memancing tahunan wajib buat saya & rakan-rakan kaki pancing yang lain khusus di tempat kerja. Dalam setahun, ada kalanya dua tiga kali kami mengatur trip ke sana, mengikut ikan target.
Sebelum tibanya musim monsun tak lama dulu, saya, Wan, Zul, Nasir (Puyu), Milo dan Sopi (Bomoh) dan beberapa orang rakan lain mengatur trip 3 hari 3 malam ke sini. Berlainan dari biasa, kali ini kami memilih untuk trekking dengan misi mencari kelah.
Lokasinya Hulu Berdengung dan kami menggunakan khidmat Tekong Karim membawa kami ke lokasi yang mengambil masa sekitar 6-8 jam berjalan kaki untuk sampai.
Persiapan rapi telah diatur dan selepas, entah berapa puluh kali berhenti, akhirnya kami tiba juga ke lokasi ini yang disifatkan tekong sebagai tempat ‘jin bertendang’. Terlalu sedikit orang yang pernah sampai ke sini.
Lokasinya hanyalah sungai kecil, berarus deras, ada dalam dan cetek. Tetapi yang paling mengujakan saya dan rakan-rakan yang lain adalah, sebaik sahaja spoon dilemparkan ke
kawasan jeram kecil dan kawasan cegar yang airnya berarus laju, berbondong-bondong kumpulan tengas berebut menyambar spoon.
Ini sudah bagus! Asal kami melontarkan spoon sahaja, paling tidak dalam lima kali lontar, pasti bersambut.
Hairannya gewang tak laku di sini. Bahkan tengasnya juga tidak takut melihat kelibat kami, hingga berani mengejar spoon yang hanya beberapa kaki jaraknya dari kami sebelum berpatah balik.
Betullah kata tekong, tempat ni, jarang dikunjungi orang. Sebab itulah tengas di sini, tidak takut dan menyambar spoon yang dilontarkan. Boleh dikatakan bermacam-macam saiz tengas yang kami naikkan. Yang kecil, semuanya kami lepaskan semula.
Walaupun lokasinya berpotensi didiami kelah, masih tidak ada tanda-tanda kelah yang sudi menyambar spoon yang kami lontarkan.
Begitu juga dengan kaedah bottom pada sebelah malamnya berumpankan sawit. Mungkin kelah sudah berhijrah ke tempat lain agaknya kata tekong kami.
Walaupun agak ralat tiada kelah, tetapi dek kerana rakus tengas menyambar gewang, kekecewaan kami sebenarnya cukup terubat.
Ujar rakan saya Zul, memang inilah syurga tengas, berbaloi kita jalan jauh. Tiba hari dijanjikan kami pulang semula ke boathouse. Kata sepakat akhirnya diambil kami akan berkunjung lagi ke sini.
Teknik jigging boleh dikatakan semakin berkembang di daerah Mukah, Sarawak. Disebabkan kayanya sumber marin di perairan ini, maka ia telah menarik minat ramai kaki pancing di sini mempraktikkan teknik ini.
Saya, Ismail, Jerome, Helmi dari Mukah Anglers Group (MAG) dan Mann Levi’s dari Matu Daro Fishing (MDF) telah berkesempatan jigging di perairan Mukah.
Ia disusuli trip kedua tiga hari kemudian meskipun keadaan cuaca tidak menentu. Biasalah jika dah penghujung tahun sebegini musim hujan telah tiba.
Seawal pukul 5 pagi kami telah bergerak ke lokasi tekong iaitu di Kampung Penipah yang jaraknya kira-kira 20 minit berkereta dari Bandar Mukah.
Setelah tiba di lokasi tanpa membuang masa kami terus memunggah segala peralatan yang kami bawa ke dalam bot.
Tekong Suhaimi
Trip kali ini kami menggunakan khidmat tekong Suhaimi. Ini adalah pengalaman pertama saya menggunakan khidmatnya.
Dari apa yang saya dapat tahu Suhaimi mempunyai point jiggingnya sendiri.
Walaupun perairan Mukah berpotensi besar untuk spot jigging, wujud masalah mencari tekong yang cenderung kepada jigging.
Lagipun kebanyakan tekong adalah nelayan harian yang lebih gemar menggunakan jaring untuk menangkap ikan.
Pendek kata, tekong jigging yang ada memang terhad dan sentiasa full booking.
Kami memulakan perjalanan ke spot pertama yang memakan masa selama 30 minit dari Kuala Sungai Penipah.
Setelah bot mengambil posisi yang betul jig dihulurkan serentak sambil unjunan dibuat beberapa kali.
Strike pertama daripada tekong membuatkan kami rasa teruja. Ikan pisang-pisang berskala kecil berjaya dinaikkan menggunakan jig 40 gram.
Tidak lama kemudian, tekong sekali lagi mendapat strike dan hampir 5 minit bertarung, seekor jemuduk berskala 1 kg berjaya dinaikkan.
Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Kelihatan langit mula mendung serta awan kelabu dari arah laut menandakan hujan akan turun.
Keadaan permukaan laut yang mulai bergelora membuatkan saya mula risau dengan keadaan cuaca.
Tekong memberitahu cuaca tidak dalam keadaan baik, namun dia cuba untuk bertahan, selagi tidak mendatangkan bahaya.
Kami bertawakal dan menyerahkan keputusan kepada tekong. Mungkin dia enggan kami kecewa dengan trip itu jika kami balik terlalu awal.
Jerome yang pertama kali turun jigging seterusnya mendapat strike, seekor kerapu saiz 500 gram menjadi koleksi pertama beliau.
Sesi sakat menyakat member menjadi penghibur hati kami yang belum mendapat strike. Saya dengan penuh sabar terus mencuba tanpa putus asa.
Yes, strike pertama menggunakan jig Storm Koika Silver 20 gram membuatkan saya teruja.
Joran Viper Fatale P.E 0.6-1.8 melentur U terus. Seekor talang berjaya saya daratkan, hati ada senyum usik rakan-rakan yang lain.
Tekong mengarahkan kami untuk menaikkan jig. Disebabkan spot tersebut agak hambar tanpa sambaran daripada penghuni dasar, perjalanan ke spot seterusnya mengambil masa 10 minit. Kali ini, Ismail pula mendapat strike.
Seekor anak sagai berjaya beliau daratkan. Memang rezeki Ismail apabila tidak lama kemudian, sekali lagi lagi dia mendapat strike.
Kali ini agak kasar sentapan daripada penunggu dasar, akhirnya seekor gerepoh @ GT berskala 1 kg berjaya dinaikkan menggunakan jig 38 gram.
Kali ini, Ismail punya yang tersenyum panjang. Selepas itu langsung tiada strike, tekong memberitahu kami untuk pindah lagi ke spot lain.
Cuaca tidak mengizinkan
Tengah seronok berjigging, tiba-tiba jig saya terbelit pada tali utama Jerome. Puas juga saya membuka belitan sebelum tekong memberitahu supaya jig saya dibuka dari snap baru senang nak leraikan belitan tali.
Sewaktu Jerome memegang tali utamanya dengan jignya masih hanyut dalam air, tiba-tiba jig yang masih berada di bawah air disambar oleh ikan.
Situasi menjadi cemas dan kalut bila tekong mengarahkan supaya tali dipotong. Saya terpaksa akur dan terus memotong tali tersebut.
Nasib betul jig sempat dibuka tadi, kalau tak memang berlaku insiden saya tercangkuk mata kail jig. Rupa-rupanya seekor talang saiz hampir 2 kg menyambar jig Jerome.
Kami berpindah lagi ke spot lain. Kali ini kami terserempak dengan kawanan burung yang banyak tekong terus mematikan enjin.
Mann Levi’s orang pertama yang menurunkan jig terus mendapat sambaran. Joran Viper Venom melengkung diuji penghuni dasar yang belum kelihatan.
Akhirnya mangsa seekor jemuduk berjaya dinaikkan. Apa yang menarik spot ini kami telah mendapat strike bertubi-tubi sehingga tidak sempat nak bergambar dibuatnya.
Antara ikan yang diperolehi di spot tersebut ialah ikan sagai, jemuduk, anak kerapu, merah dan tanda.
Dalam keseronokan kami berjigging, tekong akhirnya memberikan isyarat untuk kami segera menggulung naik tali tanda akan pulang ke jeti apabila keadaan laut semakin bergelora dan tidak mengizinkan untuk kami bertahan lebih lama.
Dalam perjalanan, kami bertawakal, agar tidak berlaku apa-apa kemudaratan. Tetapi kami terpaksa juga menempuh hujan lebat dalam keadaan laut bergelora.
Hampir sejam, kami tiba di pangkalan tepat jam 12 tengah hari. Syukur Alhamdulillah.
Trip kedua
Tiga hari kemudiannya, saya bersama Helmi, Yusry dan Ismail repeat semula. Saya berharap yang cuaca pada hari tersebut baik, tidak seperti trip sebelumnya dan kami masih lagi menggunakan khidmat tekong Suhaimi.
Jam 7 pagi kami memulakan perjalanan ke spot yang pertama yang memakan masa 30 minit perjalanan dari pangkalan muara Sungai Penipah.
Hujan renyai-renyai membuatkan saya risau dengan keadaan cuaca. Tiba di spot pertama tekong terus membetulkan posisi bot supaya berada pada posisi yang sesuai.
Nampaknya tekong memulakan aksi pemanas badan dengan menaikkan seekor anak ikan pisang-pisang yang terpedaya dengan unjunan jig handmade tekong Suhaimi sendiri.
Tidak lama selepas itu saya pula strike anak ikan sagai. Ini satu petanda yang baik kata saya.
Giliran Helmi pula menyusul dengan joran PE 0.8-2 terus melentur akibat asakan peragut jig. Rupa-rupanya pecutan ikan sagai berskala 1 kg. Boleh tahan juga aksi pecutannya.
Kebanyakan strike yang kami perolehi selepas itu ialah anak ikan kerapu yang semuanya kami lepaskan semula disebabkan saiz yang masih kecil.
Di spot kedua yang jaraknya 15 minit perjalanan dari spot pertama, joran PE 0.8-1.5 milik saya disentap rakus penunggu dasar secara tiba-tiba.
Sangkaan saya ikan sagai, tetapi yang berjaya dinaikkan adalah jenahak tanda. Ia kali pertama saya memperoleh spesies ini menggunakan teknik jigging.
Selepas itu, tekong Suhaimi, Helmi dan Ismail pula secara bergilir-gilir mendapat strike ikan jemuduk dan sagai semuanya berskala 1 kg ke atas.
Sedar tak sedar jam menunjukkan angka 2 petang. Langit mendung kelabu membuatkan kami tidak sedar masa berlalu pantas.
Tekong memberitahu dia akan membawa kami ke point kerapu strawberi. Ia membuatkan kami begitu teruja kerana spesies kerapu ini sememangnya menjadi idaman setiap pemancing.
Tiba di lokasi, saya, Helmi dan Ismail masing-masing berjaya menaikkan beberapa ekor kerapu strawberi di spot tersebut dalam anggaran saiz 500gram- 1.5kilogram.
Alhamdulilah, dapat juga lesen walau saiz kecil. Di point yang sama, kami turut menaikkan ikan sagai, gerepoh, jemuduk, kerapu dan todak.
Nun di hujung kaki langit, awan hitam berarak kuat dan deruan kuat angin juga kian terasa.
Enggan mengulangi skrip yang sama tiga hari lalu, tekong terus sahaja memecut pulang dan selamat sampai pulang ke pangkalan sebelum hujan lebat.
Jelas trip tersebut kami sangat berpuas hati dengan khidmat tekong Suhaimi serta hasil tangkapan yang kami perolehi.
Ini mungkin trip terakhir kami untuk tahun ini disebabkan keadaan cuaca di perairan Mukah tidak menentu sekaligus petanda musim tengkujuh bakal menjelang tiba.
Memancing ikan memang perkara normal, tetapi memancing belut (fluta alba) satu perkara baru buat saya.
Memang saya akui, begitu naif untuk memancing spesies berbadan licin ini. Macamana menangkapnya, apa tekniknya, bila masa sesuainya.
Semasa kecil dahulu, pernahlah belut yang disangka ular ini terpancing dengan tidak sengaja.
Bila bapa saudara saya mengajak untuk mencuba memancing belut sawah, lantas ajakan beliau dipersetujui.
Jelasnya, musim menuai di kawasan ‘Jelapang Padi Selangor’ telah siap dan inilah masa yang terbaik untuk memancing belut di tepi-tepi parit kecil yang airnya sedang mula mengering.
Beberapa orang teman sekerja yang kaki pancing juga turut serta. Masing-masing teruja untuk melihat bagaimana caranya memancing belut.
Macam-macam persediaan yang kami bawa, termasuklah set pancing yang kasar untuk jigging ke laut dan juga set casting (kononnya untuk feel).
Memang agak lawak, memandangkan masing-masing belum pernah cuba memancingnya.
Umpan jantung ayam
Nak dijadikan cerita, kami bertolak awal-awal pagi lagi dari Shah Alam menuju Sungai Besar.
Kerana menurut bapa saudara saya, memancing belut sebaiknya awal pagi dan juga lewat petang.
Selain aktif masa makannya, ia juga bagus kerana pada waktu itu, tidaklah terasa sangat bahang mentari.
Sebelum bertolak, kami terlebih dahulu singgah ke pasar awam Seksyen 16 untuk mendapatkan jantung ayam bagi dijadikan umpan.
Untuk memancing belut, sebenarnya tidak perlu risau pasal umpan sebab apa sahaja yang jatuh ke dalam lubangnya pasti akan dibedal, termasuklah katak, cacing, hirisan daging atau jantung ayam, udang busuk.
Kami memilih hati ayam kerana ia lebih kenyal, murah dan senang didapati.
Sedang dalam perjalanan, bapa saudara memberitahu agak lewat sedikit kerana ada kematian di kariah tempatnya, jadi dia terpaksa terlibat sama.
Jadi untuk menunggunya, kami lewatkan sampai dengan singgah dahulu di pinggir jalan selepas melewati pekan Sekinchan untuk pekena mentarang bakar (sejenis siput laut) dan air kelapa muda. Habis dua pinggan mentarang bakar kami kerjakan. Fuhh memang sedap.
Hampir tengahari jugalah kami sampai di Sungai Besar dan sebaik tiba terus sahaja peralatan memancing disiapkan. Pelik dia melihat yang geng set memancing lembut terutama set casting untuk memancing.
Jelasnya, sebaik belut menggetu umpan dan membawanya masuk ke dalam lubangnya, bukan satu perkara mudah untuk memaksanya keluar.
Tapi bila kami mengatakan untuk feel, lantas pakcik saya menggelengkan kepala melihat gelagat kami. (mungkin dalam hatinya berkata… ikut koranglah).
Selesai sahaja menyiapkan set memancing, lantas kami terus sahaja meniti batas-batas sawah untuk mencari lubang-lubang belut.
Sebelum itu, beberapa orang kanak-kanak termasuklah anak saudara saya menjadi jurupandu untuk kami mencari lubang-lubang belut dan juga mengajar teknik sebenar macamana untuk memancing belut.
Kedatangan saya rupa-rupanya diketahui oleh dua orang anak saudara saya yang sememangnya rajin mencari belut bersama rakan-rakannya.
Terus sahaja mereka menjadi ringan mulut dan ringan tulang membantu dan mengajar kami.
Teknik Dan Cara
Memang tanpa bantuan dari mereka ini, kami sendiri entah berjaya atau tidak memancing belut. Caranya adalah cari lubang kecil yang berair di tepi parit utama.
Gunakan batang padi, kocakkan air di permukaan dan tunggu ada pergerakan naik turun air atau tidak.
Jika ada, maknanya lubang tersebut dihuni oleh belut. Kadang-kadang kami langsung tidak mengenali mana satu lubang belut atau bukan.
Tetapi budak-budak ni dengan selamba jer berkata “Eh, itu bukan lubang belut pakcik, yang ini…itu lubang ular air, sini lubangnya…”
Alamak!
Bila lubang belut telah dikenalpasti, hulur mata kail yang telah dicangkukkan dengan hirisan jantung ayam tadi ke dalam lubang dan goyang-goyangkannya.
Jika ada, biasanya dalam jangka masa singkat huluran anda pasti akan disambut. Apabila ia mula memakan umpan dan mula membawa masuk ke dalam sarangnya, tunggu beberapa saat dan lakukan sentapan supaya mata kail tertacap kukuh di mulutnya.
Bila belut telah memakan umpan, saat inilah betapa ‘feelnya’ terpaksa lawan tarik tali dengannya.
Sungguhpun ia hanyalah ikan, tetapi kuasa tarikannya yang kuat, hujung rod melentur kuat, boleh diibarat seperti memancing ikan di laut.
Ini disebabkan belut akan menahan dirinya melalui sarangnya yang dalam dan berbelit-belit.
Apa yang kita perlukan adalah lakukan ‘sorong-tarik’ tali bagi melemahkan belut berkenaan.
Jika terlalu sukar untuk memaksanya keluar, jalan terakhir adalah terpaksa mengorek lubang belut berkenaan. Di sinilah sebabnya mengapa, set pancing, ringan tidak sesuai.
Pendek kata, kalau nak guna set untuk memancing belut, lupakan ajelah, Risau hujung rod sepatutnya mahal yang mahal harganya tu patah dan membuatkan menangis tak berlagu la jawabnya.
Jika berlaku ‘miss’ beberapa kali di sesebuah lubang, belut akan culas untuk memakan umpan dan perlu cari lubang lain dulu. Kemudian barulah bolehlah kembali ke lubang berkenaan.
Apa Yang Terbaik
Ketika kami semua menggunakan set pancing, saya sebenarnya cukup tertarik dengan pancing buatan sendiri yang digunakan oleh kanak-kanak ini, iaitu menggunakan rim basikal yang dibentukkan seperti mata kail.
Ia diikat menggunakan tali pengikat guni padi dan batang jorannya hanyalah menggunakan batang buluh pendek. Ringkas… tetapi cukup mudah untuk mendapatkan belut.
Set inilah juga yang digunakan oleh kebanyakan pencari-pencari belut untuk dijual. Mudah dan cepat.
Untuk umpan, bebas nak guna apa pun boleh. Tetapi menurut kanak-kanak ini, umpan yang paling mujarab untuk memikat belut adalah katak sawah, kerana ia lebih cepat digetu.
Bila difikirkan semula, memanglah logik kerana di persekitaran semulajadinya, katak dan juga ikan-ikan kecil memang diet utama belut.
Tetapi bagi mereka yang geli menggunakan katak, bolehlah menggunakan umpan seperti yang dinyatakan di atas tadi.
Lewat petang, kira-kira 15 ekor belut berjaya dipancing oleh kami. Beberapa ekor belut, diambil oleh bapa saudara saya untuk disiang dan digoreng.
Bila siap dan dihidangkan kepada kami… Sedap rupanya belut ini, rasa macam ikan keli goreng.
Selesai menjamu selera, kami bertolak semula ke Shah Alam dan sewaktu dalam kereta, masing-masing mengeluarkan persepsi…
“Seronok rupanya memancing belut ni!”
“Bila nak mancing belut lagi?”
“Alamak… aku tak lalu la nak makan belut sebab bentuk dia macam!“
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...