Pemancing Malaysia Dominasi Podium Di Phuket

Share

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, pertandingan memancing pantai terbuka Penn Surf Fishing Competition (King Of The Beach 2017), anjuran PENN Thailand dilangsungkan.  Bagi kejohanan kali ini ia dilangsungkan di Mai Khao Beach, Phuket. Dan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya juga kejohanan tidak hanya disertai oleh pemancing tempatan, sebaliknya turut disertai oleh peserta atau pemancing dari Malaysia, Singapura dan juga Brunei.

Penn Surf Fishing Competition 2017 yang dilangsungkan penghujung Ogos lalu berjaya mengumpul seramai 274 orang peserta.  Kejohanan yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada 3.00 petang waktu tempatan ini berlangsung dalam cuaca yang baik sekali gus memeriahkan lagi suasana pertandingan.

Bagi menyertai pertandingan ini saya bersama lima lagi rakan dari pantai timur menaiki kenderaan dari Sungai Kolok di selatan Thailand ke lokasi pertandingan, memakan masa selama 12 jam. Walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh yang meletihkan badan dan minda, namun ia ternyata berbaloi berikutan kejayaan yang kami peroleh berbanding tahun lalu.

Jika tahun lalu kedudukan podium tertinggi diperoleh pemancing dari Malaysia, tapi bagi kejohanan kali ini kami berjaya mencetak nama bagi mengisi slot juara, naib juara, ketiga dan tempat kelima. Ia ternyata kenangan amat manis terutamanya kepada Mohd Shahrin bin Ramai@Rusli berikutan pari seberat 9.78 kg yang beliau daratkan muncul sebagai juara.

Manakala Mohd Aminuda Deraman pula berpuas hati di podium kedua dengan tangkapan seekor ikan ebek seberat 3.8 kg. Sementara Mohd Zaini Ab Rasid pula berada di tangga ketiga dengan tangkapan seekor ikan pari seberat 3.2 kg. Dan di tangga kelima pula diisi oleh peserta yang menduduki podium ketiga tahun lalu, Muhammad Daniel Haiqal bin Mohd Ariffin setelah berjaya mendaratkan juga seekor ikan pari seberat 2.5 kg.

 

Published by
Amang