Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, pertandingan memancing pantai terbuka Penn Surf Fishing Competition (King Of The Beach 2017), anjuran PENN Thailand dilangsungkan. Bagi kejohanan kali ini ia dilangsungkan di Mai Khao Beach, Phuket. Dan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya juga kejohanan tidak hanya disertai oleh pemancing tempatan, sebaliknya turut disertai oleh peserta atau pemancing dari Malaysia, Singapura dan juga Brunei.
Penn Surf Fishing Competition 2017 yang dilangsungkan penghujung Ogos lalu berjaya mengumpul seramai 274 orang peserta. Kejohanan yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada 3.00 petang waktu tempatan ini berlangsung dalam cuaca yang baik sekali gus memeriahkan lagi suasana pertandingan.
Ads
Bagi menyertai pertandingan ini saya bersama lima lagi rakan dari pantai timur menaiki kenderaan dari Sungai Kolok di selatan Thailand ke lokasi pertandingan, memakan masa selama 12 jam. Walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh yang meletihkan badan dan minda, namun ia ternyata berbaloi berikutan kejayaan yang kami peroleh berbanding tahun lalu.
Jika tahun lalu kedudukan podium tertinggi diperoleh pemancing dari Malaysia, tapi bagi kejohanan kali ini kami berjaya mencetak nama bagi mengisi slot juara, naib juara, ketiga dan tempat kelima. Ia ternyata kenangan amat manis terutamanya kepada Mohd Shahrin bin Ramai@Rusli berikutan pari seberat 9.78 kg yang beliau daratkan muncul sebagai juara.
Ads
Ads
Manakala Mohd Aminuda Deraman pula berpuas hati di podium kedua dengan tangkapan seekor ikan ebek seberat 3.8 kg. Sementara Mohd Zaini Ab Rasid pula berada di tangga ketiga dengan tangkapan seekor ikan pari seberat 3.2 kg. Dan di tangga kelima pula diisi oleh peserta yang menduduki podium ketiga tahun lalu, Muhammad Daniel Haiqal bin Mohd Ariffin setelah berjaya mendaratkan juga seekor ikan pari seberat 2.5 kg.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ada sebuah cerita legenda di kalangan masyarakat Riau di Sumatera sejak beratus-ratus tahun dahulu. Cerita legenda tersebut mengisahkan seorang nelayan yang bernama Awang Gading, yang menemukan seorang bayi perempuan di atas batu di tepi sungai saat ia pulang memancing.
Konon, bayi itu adalah keturunan raja ikan di sungai tersebut. Oleh kerana merasa kasihan dan simpati, si nelayan membawa bayi itu pulang ke rumahnya untuk dijaga dan dibesarkan seperti anak-anak yang lain. Bayi itu diberinya nama Dayang Kumunah.
Selama dalam asuhannya, si nelayan telah mengajar Dayang Kumunah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik, sehingga ia pun membesar menjadi seorang gadis yang cantik, bijak dan berbudi pekerti. Setiap pemuda yang melihatnya pasti akan terpikat kepadanya.
Pada suatu hari, seorang pemuda tampan dan kaya yang bernama Awang Usop telah melewati rumah orang tua Dayang Kumunah. Pemuda itu melihatnya sedang menjemur pakaian. Saat itu pula, Awangku Usop langsung jatuh hati kepada Dayang Kumunah dan berniat untuk menyuntingnya sebagai permaisuri hidupnya.
Beberapa hari kemudian, Awangku Usop datang ke rumah Dayang Kumunah untuk meminangnya. Dayang Kumunah bersedia menerima pinangan Awang Usop, asalkan ia juga bersedia memenuhi syaratnya.
Syarat Dayang Kumunah yang harus dipenuhi oleh Awang Usop adalah untuk tidak meminta Dayang Kumunah ketawa walau sekalipun. Satu syarat yang pelik bagi Awang Usop tetapi demi kecintaannya kepada Dayang Kumunah syarat yang pelik ini telah dipersetujui dengan rela hati.
Setelah kata sepakat telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak akhirnya seminggu kemudian, mereka pun telah disatukan di dalam satu pesta perkahwinan yang berlangsung dengan gilang gemilang. Semua kaum kerabat dan tetangga kedua mempelai telah diundang bagi memeriahkan suasana perkahwinan tersebut.
Para undangan turut gembira menyaksikan kedua pasangan yang bagai pinang dibelah dua sama cantik sama padan disatukan. Dayang Kumunah gadis yang sangat cantik dan Awang Usop seorang pemuda yang sangat tampan. Mereka pun hidup berbahagia, saling mencintai dan saling menyayangi.
Namun, kebahagiaan mereka tidak berlangsung lama. Beberapa minggu setelah mereka menikah, Awang Gading ayahanda Dayang Kumunah meninggal dunia kerana sakit. Ini membuatkan Dayang Kumunah sering sedih-sedih kerana kehilangan ayah yang telah mendidik dan membesarkan sejak dari kecil lagi biarpun bukan ayah kandungnya yang sebenar.
Hingga berbulan-bulan lamanya, hati Dayang Kumunah diselimuti perasaan sedih. Untungnya, kesedihan itu segera terubat dengan kelahiran anak-anaknya yang berjumlah lima orang. Kehadiran mereka telah menghapus ingatan Dayang Kumunah kepada ayahnya. Ia pun kembali bahagia hidup bersama suami dan kelima-kelima anaknya.
Namun, Awang Usop merasa kebahagiaan mereka kurang lengkap kerana semenjak mereka berkahwin tidak pernah dia melihat Dayang Kumunah ketawa. Pada suatu petang, Dayang Kumunah berkumpul bersama keluarganya di serambi rumah mereka.
Saat itu, si Bungsu mulai dapat berjalan dengan tertatih-tatih. Semua anggota keluarga tertawa bahagia melihatnya, kecuali Dayang Kumunah.
Kerana keinginan yang amat sangat Awang Usop meminta isterinya untuk ikut tertawa namun Dayang Kumunah menolaknya tetapi suaminya terus mendesak.
Akhirnya ia pun menuruti keinginan suaminya. Disaat dia tertawa itulah, tiba-tiba tampak insang ikan di mulutnya. Menyedari hal itu, Dayang Kumunah segera berlari ke arah sungai. Awangku Usop berserta anak-anaknya hairan dan mengikutinya dari belakang.
Sesampainya di tepi sungai, perlahan-lahan tubuh Dayang Kumunah menjelma menjadi ikan dan segera melompat ke dalam air.
Pada masa itu Awang Usop pun baru menyedari kekhilafannya kerana dia sudah memungkiri syarat sewaktu mereka hendak melangsungkan perkahwinan dahulu. Dikala itu tiada apa yang dapat dilakukan kerana segalanya sudah pasrah.
Sebelum menyelam ke dalam air, Dayang Kumunah berpesan kepada suaminya Awang Usup untuk menjaga anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna dan tiada sesiapa di kalangan keturunan mereka yang dibenarkan untuk memakan ikan patin kerana barangsiapa yang memakannya adalah seumpama memakan keturunan sendiri dan boleh menjadi gila ataupun mendapat penyakit yang boleh membawa kepada kematian.
Awangku Usop dan anak-anaknya sangat bersedih melihat Dayang Kumunah yang sangat mereka cintai itu telah menjadi ikan. Mereka pun berjanji dan bersumpah akan mematuhi segala larangan yang dikenakan. Sumpahan ini diteruskan ke atas semua keturunan mereka selepas itu.
Kap kun kap… Alhamdulillah, setelah setahun merancang trip untuk menduga perairan Andaman akhirnya ia terlaksana jua. Trip kali ini disertai oleh 13 pemancing iaitu Kusmin, Aregone, Abg Mat, Pak Aziz, Wawa , Awin, Bro Stailo, Tok Rahman, Abg Zul, Tuan Rio, Abg Malek, Adeq dan penulis.
Untuk ke Kantang Thailand, perjalanan memakan masa lebih kurang 10-12 jam. Kami bertolak dari Shah Alam pada jam 12 tengah malam dan seterusnya tiba di sempadan Bukit Kayu Hitam pada jam 6 pagi sebelum singgah untuk membeli insuran kereta dan menukar mata wang asing di Changlun.
Disebabkan ini sudah kali ke 3 penulis masuk ke Kantang, Thailand, jadi kami tidak berdepan masalah besar untuk masuk ke Negara jiran ini. Boleh dikatakan trip kali ini dianggap sebagai trip pemantauan memandangkan trip-trip sebelum ini berdepan hasil yang kurang memberangsangkan.
Berbalik kepada perjalanan kami, kami terlebih dahulu singgah di Danok untuk mendapatkan sedikit bekalan makanan dan bahan keperluan asas. Selesai mengisi perut di sana, kami meneruskan lagi 4 jam perjalanan ke Kantang.
Setibanya di Kantang kami terus check in di kantang Park Hotel untuk mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum bertarung di lautan Andaman esok hari.
Pertarungan Bermula
Usai bersarapan, kami terus menuju ke jeti untuk menaiki bot. Kami memilih perkhidmatan bot Pak Dee Danaiwit untuk menduga perairan di sini memandangkan servis yang ditawarkan memang menjadi bualan kaki pancing.
Untuk menduga perairan Andaman ini antara set yang kami bawa termasuklah shimano beast master 6000, zb 9000, forcemaster 9000, daiwa megatwin 750, tanacom 750 dan miya epoch cx5. Untuk mainline kebanyakan kami menggunakan 80lb keatas dan bab batu ladung pula size yang perlu ada ialah 2.5kg & 3 kg. Jangan tak percaya, kedalaman akan kami tempuh ialah 100m hingga 350m!
Lubuk Rahsia Andaman
Perjalananan kami pun bermula bila bot membelah ombak menuju ke lubuk terbaru Pak Dee. Sebelum menuju ke tengah laut, kami sempat membakar mercun cina 12 kaki sebagai simbolik perjalanan dan untuk amik ONG konon-kononnya.
Di sini, target kami semua ialah luntan @ kertang, memandangkan Andaman sememangnya syurga untuk spesis kertang gergasi ini. Perjalanan ke lubuk rahsia yang memakan masa 16 jam memang cukup membosankan. Apa nak buat, rehat je lah kami di kabin yang berhawa dingin.
Memang superb beb!
Akhirnya, kami tiba juga di lubuk pertama. Masing-masing dari kami terus tak sabar untuk merendam batu ladung masing-masing setelah mengharungi perjalanan yang panjang. Memang lubuk rahsia ini betul-betul menjadi! Belum apa-apa Pak Ajis membuka tirai dengan menaikkan kertang seberat 19kg.
Kemudian giliran Abg Rahman pula menaikkan kertang. Di sini saja 27 ekor kertang berjaya kami naikkan dengan anggaran size 15kg ke atas dan ada juga yang berjaya memutuskan main line 100lb kami.
Bot lain yang berada di sebelah juga tak kurang hebatnya. Kelebihan mereka tiba di lubuk ini 2 jam lebih awal menyaksikan lebih 100 ekor kertang berjaya dinaikkan mereka. Memang dasyat!
Lubuk 2
Setelah puas bergasak di lubuk rahsia Pak Dee, kini kami beralih ke lubuk kertang ke-2. Di sini, Kusmin menjadi orang pertama yang berjaya memecah kebuntuan dengan menaikkan kertang seberat 18kg.
Kemudian, sekali lagi kami berpesta ikan apabila semua joran yang kami gunakan terpaksa bekerja keras menarik isi perut Andaman. Pak aziz pula berjaya mendapat jackport di sini apabila pancing beliau mengena seekor kertangterberat setakat ini iaitu seberat 30kg.
Setelah lebih 50 ekor kertang kami pulun di sini, ribut pun mula menampakkan bayang menandakan sudah sampai masa untuk kami stop sementara aktiviti memancing. Iyelah, apa-apapun, keselamatan harus diutamakan.
Slow Pitch Jigging di Hari terakhir
Pada hari terakhir Pak Dee mengajak kami bermain slow pitch jigging untuk menjerat spesis kerapu bunga, cupak dan GT. Lubuk kali ini lebih berhampiran dengan Koh Adang dengan kedalaman sekitar 40 meter sahaja. Size jig yang saya cadangkan ialah sekitar 120-200 gram.
Untuk teknik ini, kebanyakan yang terpedaya dengan jig ialah dari spesis kerapu bunga. lebih sebakul kerapu bunga berjaya kami punggah di sini.
Setelah tepat jam 12 tengah malam, kami pun menghentikan trip dan bergerak pulang menuju ke jeti. Kesimpulannya, trip kali ini boleh dikira amat sukses bagi kami apabila pelbagai jenis ikan termasuk hampir 100 ekor kertang berjaya kami perolehi.
Benarlah, kata orang, perairan Andaman memang syurga bagi kaki “bottom”. Insyaallah, pada tahun hadapan kami akan kembali lagi ke sini.
Perairan Sarawak sememangnya terkenal bagi kaki pancing laut dalam yang gemarkan beraksi dengan penghuni dasar yang agak ganas. Ekosistem yang masih terpelihara membuatkan lubuk Paloh menjadi pilihan.
Menggunakan khidmat bot MV Nemo, kami bergerak ke lubuk yang dijadualkan akan tiba 12 jam lagi. Perjalanan sejauh 114 batu nautika dari Kuching mengambil masa yang panjang menempuh ombak walaupun jika dihitung jaraknya lebih kurang 200 kilometer ke tengah lautan.
Umpan sotong dan ikan telah dibeli awal-awal lagi supaya kami tidak membuang masa mencari umpan. Penggunaan umpan tiruan seperti gewang, jig juga akan dipraktikkan sepanjang misi pemburuan. Kekili elektrik menjadi peralatan utama dalam trip ni selain pilihan menggunakan kekili spinning.
Mana tidaknya, kedalaman sekitar 100 meter memang memeritkan kalau semuanya dikayuh. Apatah lagi dengan arus yang agak laju, batu ladung bersaiz 18 hingga 24 terpaksa digunakan untuk mencari merah atau kerapu yang bersaiz mega.
Setibanya di lubuk pertama, tekong mengambil sedikit masa untuk memakir bot agar berada tepat di lubuk yang disasarkan.
Umpan sotong dihulur secepat mungkin kerana umpan yang mencecah dasar dahulu mempunyai peluang yang tinggi untuk memikat mangsa yang terkejut dengan makanan yang berada di sarangnya!
Memang benar telahan awal apabila hanya beberapa saat sahaja Alley menerima ragutan kasar yang cuba melarikan umpannya, sentapan kasar dibuat melawan asakan mangsa agar mata kail benar-benar tertancap kemas di mulut dan kukuh untuk didaratkan.
Sesekali mangsa mengenjut kekili namun teknologi yang telah dicipta berjaya menahan asakan mangsa secara lembut. Akhirnya spesies merah seberat 5 kg berjaya didaratkan ke dalam bot. Bertalu talu spesies merah dan spesies lain mengena umpan hingga sekeliling bot merasai tarikan dan asakan mangsa yang terjerat olah mata kail kami.
TENGGIRI MENGGILA!
Apabila waktu semakin senja, tekong bergerak ke lubuk yang terletak 2 jam perjalanan dari lubuk pertama tadi. Dengan kelajuan 10 knot dan suasana laut yang sedikit tenang melancarkan perjalanan ke lubuk tersebut.
Ilham yang berada di posisi belakang menggunakan kelebihan yang menggunakan teknik drifting atau lebih dikenali teknik melayang umpan. Dengan mencangkukkan umpan kembung disokong dengan perambut dawai 40 lb ia dilepaskan dalam jarak 20 hingga 30meter dari bot.
Mat yang duduk di bahagian tepi bot MV juga melayangkan umpan yang sama menggunakan belon agar kedudukan umpan berada sekitar kedalaman 7meter daripada permukaan.
Tanpa disangka kawanan tenggiri yang merapati bot juga tetarik dengan layangan umpan. Secara serentak joran Ilham dan Mat diasak dan gelendong kekili manual siri 6000 memuntahkan tali.
Bimbang dua ekor spesies pelagik ini memintal tali, Mat bertindak berganjak dari kedudukan asal berlari ke bahagian hadapan manakala Ilham masih bertahan di bahagian belakang mengawal lariannya.
Mangsa berjaya didaratkan dibalas dengan sorakan. Ilham berjaya mendaratkan tenggiri seberat 6 kilogram manakala Mat berjaya mendaratkan tenggiri seberat 5 kilogram.
Pa’an dan rakan-rakan yang lain menggunakan teknik jigging dan melontar sejauh mungkin di kawanan tenggiri. Berpeluh melontar jig bersaiz 180gram berulang kali akhirnya disambut juga spesies pelagik ini.
Dengan berbekalkan joran yang agak ringan, permainan tarik menarik sengaja dibiarkan berlarutan sehingga 15 minit. Mangsa yang agak kasar ini terpaksa digancu supaya dapat didaratkan dengan selamat ke atas dek bot MV.
Pertarungan melawan kawanan si gigi tajam ini berlanjutan sehingga jam 5pagi dan selepas itu ianya hilang dan senyap terus dari mengena mata kail.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...