Pemancing Ke Royal Belum Bakal Dilimitkan!

Share

Dalam portal Sinar Harian (edisi Perak) terbitan 21 Mac lalu ada menyiarkan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tentang had pengunjung ke Royal Belum. Sebagai seorang kaki pancing, ia merupakan satu tamparan hebat juga kepada industri memancing itu sendiri. Berikut adalah kenyataan tersebut….!

Kerajaan negeri akan menghad jumlah pengunjung ke Hutan Royal Belum pada satu-satu masa bagi memastikan kawasan ini terus menjadi khazanah berharga di negeri ini dan juga negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengakui ia juga diletakkan dalam sasaran blueprint disediakan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) yang mana digariskan sasaran jumlah atau bilangan pengunjung yang boleh datang ke kawasan berkenaan.

Menurutnya, kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit agar kawasan itu dipelihara dan dikawal selia sebaiknya oleh jabatan berkaitan.

“Usaha berterusan dilakukan termasuklah menyediakan punca kuasa bagi pihak jabatan di sana menjaga kawasan sebaiknya malah pejabat daerah akan dipertanggungjawabkan untuk kerja perlesenan melibatkan penjagaan kawasan dan juga jumlah kedatangan pelancong dalam satu-satu masa.

“Selain hadkan pengunjung, jumlah rumah bot (house boat) yang beroperasi di sana juga perlu dipantau dan tidak sewenang-wenangnya dibina sebanyak mungkin bot, sampan atau kenderaan yang menggunakan air di kawasan itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan jabatan terbabit menjaga keadaan persekitaran hutan tersebut selain mengawal hal berkaitan perlesenan agar sentiasa menjadi tarikan dan istimewa untuk dikunjungi.

 

Menteri Besar Perak

 

Dalam perkembangan lain, Zambry tidak menafikan turut menerima laporan berkaitan pemburuan haram namun perkara itu tidak berada pada tahap serius.

Katanya, pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa malah kerajaan negeri memandang serius masalah ini serta bekerjasama dengan dengan pihak berkuasa kerana khuatir penglibatan warga asing memandangkan lokasi Royal Belum terletak di sempadan.

“Kebanyakan haiwan di hutan simpan ini adalah spesies yang dilindungi. Jika tidak dipantau dan ditangani, aktiviti pemburuan haram tersebut akan menyebabkan banyak haiwan terancam,” katanya.

Published by
Amang