Dalam portal Sinar Harian (edisi Perak) terbitan 21 Mac lalu ada menyiarkan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tentang had pengunjung ke Royal Belum. Sebagai seorang kaki pancing, ia merupakan satu tamparan hebat juga kepada industri memancing itu sendiri. Berikut adalah kenyataan tersebut….!
Kerajaan negeri akan menghad jumlah pengunjung ke Hutan Royal Belum pada satu-satu masa bagi memastikan kawasan ini terus menjadi khazanah berharga di negeri ini dan juga negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengakui ia juga diletakkan dalam sasaran blueprint disediakan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) yang mana digariskan sasaran jumlah atau bilangan pengunjung yang boleh datang ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit agar kawasan itu dipelihara dan dikawal selia sebaiknya oleh jabatan berkaitan.
Ads
“Usaha berterusan dilakukan termasuklah menyediakan punca kuasa bagi pihak jabatan di sana menjaga kawasan sebaiknya malah pejabat daerah akan dipertanggungjawabkan untuk kerja perlesenan melibatkan penjagaan kawasan dan juga jumlah kedatangan pelancong dalam satu-satu masa.
“Selain hadkan pengunjung, jumlah rumah bot (house boat) yang beroperasi di sana juga perlu dipantau dan tidak sewenang-wenangnya dibina sebanyak mungkin bot, sampan atau kenderaan yang menggunakan air di kawasan itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mengarahkan jabatan terbabit menjaga keadaan persekitaran hutan tersebut selain mengawal hal berkaitan perlesenan agar sentiasa menjadi tarikan dan istimewa untuk dikunjungi.
Ads
Menteri Besar Perak
Ads
Dalam perkembangan lain, Zambry tidak menafikan turut menerima laporan berkaitan pemburuan haram namun perkara itu tidak berada pada tahap serius.
Katanya, pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa malah kerajaan negeri memandang serius masalah ini serta bekerjasama dengan dengan pihak berkuasa kerana khuatir penglibatan warga asing memandangkan lokasi Royal Belum terletak di sempadan.
“Kebanyakan haiwan di hutan simpan ini adalah spesies yang dilindungi. Jika tidak dipantau dan ditangani, aktiviti pemburuan haram tersebut akan menyebabkan banyak haiwan terancam,” katanya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Seminggu sebelum bertolak ke jeti Tasik Temenggor, kekalutan menyiapkan ‘senjata’ masing-masing amat memuncak.
Dari sudut joran yang nak dibawa hingga kepada ‘peluru’ untuk membedil lubuk-lubuk sasaran.
Tujuannya adalah untuk memburu ‘encik sebarau dan toman ’ yang dikhabarkan bermaharajalela di Tasik Banding.
Pada malam sebelum bertolak, Pengerusi Kelab Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan MPAJ Encik Shahrom Musa telah sudi untuk meluangkan masa hadir untuk melepaskan kami.
Semuanya 28 orang ‘hunter’ dengan menaiki bas coaster MPAJ, sebuah kenderaan pacuan 4 roda dan sebuah kereta.
Selepas bacaan doa, ucapan ringkas Pengerusi KSKK dan pastinya acara bergambar, kami pun berlepas ke jeti Banding tepat jam 11.45 malam.
Dengan dua perhentian di R&R Rawang dan Sungai Perak untuk melepaskan hajat, mengopi atau mengeteh, kami sampai di Gerik jam 5.30 pagi.
Selepas solat subuh di sebuah masjid, kami bersarapan di gerai nasi lemak sotong Pasar Awam Gerik.
Lebih kurang jam 10 pagi, kami telah bersedia di atas ‘boathouse Rafflesia Cruise’ 2 tingkat, untuk memulakan pelayaran selama empat jam menuju lokasi yang telah ditetapkan.
Sepanjang perjalanan para hunter pun menjalankan aktiviti membersihkan senjata serta menyediakan peluru masing-masing untuk menyerang sasaran yang akan ditetapkan kelak.
Ada yang membetulkan kail, memasang kekili, mesin, perambut dan batu ladung. Ada juga hunter yang tak sabar-sabar mencuba senjata masing-masing dengan melakukan teknik casting di atas boathouse yang bergerak perlahan.
Sambil melayan senjata masing-masing, dapat juga mata menikmati pemandangan yang menghijau serta hembusan angin yang nyaman.
Setelah empat jam belayar, maka kami pun sampai ke tempat yang dituju. Tak sempat boathouse nak parking, semua para hunter dah bersedia dengan senjata dan peluru
masing-masing untuk mencari ‘lesen’ dulu sebelum turun ke sasaran. Punyalah excited dan teruja.
Apa lagi semua joran yang ada digunakan untuk menjadi peserta pertama menaikkan ikan dengan pelbagai jenis umpan dicuba. Tiga puluh minit berlalu namun tiada hasil.
Maka cabaran pertama, siapa yang naikkan ikan akan mendapat hadiah RM10.00. Tunggu punya tunggu akhirnya Abang Ram berjaya menaikkan ikan pertama iaitu ikan lampam bersaiz kecil, jadi hadiah tersebut milik beliau.
Selepas itu, ramai yang berjaya menaikkan lesen masing-masing.
Tetapi ada juga yang tak dapat lesen dan ia dijadikan ‘bahan’ kepada mereka yang telah dapat lesen.
Bila boatman bersedia dengan bot-bot kecil maka para hunter dengan kumpulan mereka menuju ke sasaran masing-masing dengan semangat yang membara untuk memburu toman atau sebarau.
Beberapa orang tinggal di boathouse melayan senjata masing-masing yang kadang-kadang ada untung dengan menaikkan lampam atau baung.
Sebahagian daripada kami yang bergerak untuk mandi sungai terpaksa berpatah balik ke boathouse kerana cuaca tak mengizinkan kerana langit mulai mendung dan air sudah mulai keruh.
Selepas itu, hujan pun turun dengan lebat menyebabkan suhu menurun sedikit menjadikan keadaan mulai sejuk.
Bila mendengar enjin-enjin bot kembali ke boathouse, semuanya menunggu dengan debaran siapa yang akan membawa balik ikan terberat atau ikan yang banyak atau langsung tak dapat apa-apa.
Seronok bukan kepalang apabila Jemey dengan bangga menunjukkan ikan toman lebih kurang 2kg yang dapat dibawa naik oleh beliau.
Terdapat juga antara mereka yang menaikkan ikan toman dan sebarau. Hujan yang turun bagaikan mutiara tersebut dibayangi dengan air kopi, teh ‘o’ panas serta biskut dan keropok.
Aktiviti memancing di atas boathouse diteruskan sehingga malam. Apabila senja melabuhkan tirai, pemandangan menarik di sekitar boathouse telah diabadikan dalam handphone masingmasing.
Hari Kedua
Hujan lebat yang turun sebelah malam telah menyebabkan air naik dan menjadi keruh. Pagi yang dingin dan sunyi menyebabkan suasana menjadi lembap.
Pemandangan menjadi sangat menarik dengan awan serta kabus yang menyelubungi bukit bukau menjadi subjek foto yang menarik.
Setelah semua bersedia, masing-masing melompat masuk ke bot masing-masing menuju lubuk sasaran.
Bagi yang tidak menyertai bot-bot tersebut, maka aktiviti memancing diteruskan di atas boathouse sambil menikmati pemandangan pagi sambil melayan suara unggas dan keletah monyet, burung enggang dan helang.
Pada sebelah tengahari setelah bot-bot hunter kembali ke boathouse, tekong telah membawa boathouse ke tempat yang baru kerana air sekitar yang deras dan keruh tidak sesuai untuk memancing.
Makan tengah hari kali ini agak special di mana chef Khamis telah menyediakan menu istimewa iaitu nasi beriani kambing masak kuzi, sayur, keropok dan sambal. Apa lagi kami makan dengan berseleranya hingga ada yang bertambah-tambah.
Selepas makan tengah hari sekali lagi para hunter menuju ke lubuk untuk mencuba nasib menaikkan sebarau atau toman.
Mana yang ada di boathouse, sekali lagi aktiviti memancing diteruskan dan ada yang melelapkan mata.
Bila para hunter kembali, masing-masing sibuk dengan hasil tangkapan atau ada yang berlenggang tangan maka mereka riuh-rendah menceritakan pengalaman masing-masing.
Pada sebelah malam, kami melayan hal masing-masing. Makan malam yang disediakan menyajikan lauk pauk hasil tangkapan dengan menu filet toman sweet & sour serta masak lemak cili api ikan sebarau, lampam dan baung.
Masih ada yang melabuhkan joran untuk mencuba nasib. Kebetulan ada rakan yang membawa movie dimuatkan dalam pendrive, memang layan la dan kemudian disusuli dengan sesi karaoke.
Sesi karaoke tersebut telah memecah suasana hening malam gelap gelita yang ditemani dengan alunan muzik rimba.
Jam 5.00 pagi kami dikejutkan dengan bekalan elektrik terputus yang menyebabkan sebahagian kami terjaga dan mula mencari bilik air dalam keadaan yang gelap gelita.
Selepas sarapan pagi nasi lemak yang disediakan oleh chef Khamis, para hunter sekali lagi menaiki bot dan menuju ke lubuk yang dijangka ada ikan untuk kali yang terakhir sebelum pulang ke jeti.
Mana tahu ada yang dapat menaikkan ikan lebih berat daripada hasil sebelum ini.
Ada yang berjaya dan ada yang pulang hampa. Bagi yang memancing di boathouse, beberapa peristiwa mata kail tersangkut pada batang kayu di dasar tasik dan terpaksa tali pancing diputuskan.
Terdapat juga peristiwa di mana sang ikan melarikan joran ke dalam tasik. Jam 10.00 pagi tekong kemudiannya bertolak pulang ke jeti dan para hunter dan yang lain-lain berkemas dan bersedia untuk check out setiba di jeti.
Dalam perjalanan pulang dan bot mulai bergerak, pihak penganjur telah mengadakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang yang berjaya menaikkan ikan terberat.
Tempat keempat disandang oleh Adnie, ketiga Black, kedua Fendi Keting dan tempat pertama dimenangi oleh Jemey.
Jam 12.00 tengah hari kami selamat sampai ke jeti Banding dan setelah berlabuh serta barang-barang diletakkan dalam kenderaan kami bertolak menuju ke Kuala Kangsar untuk makan tengah hari. Kami selamat sampai ke Menara MPAJ jam 9.00 malam.
Trip kali ini walaupun tidak mendapat hasil yang memberangsangkan, namun ia tetap berjaya menitipkan pengalaman suka duka sebagai pemancing serta pencinta alam semula jadi yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
Ia tidak berakhir di sini dan penganjur exco rekreasi KSKK telah merancang dan menjanjikan destinasi yang lebih menarik dan mencabar.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Dalam kunjungan kali kedua ke kawasan Yan, Kedah membolehkan saya mencuba pengalaman memancing di Pulau Bunting.
Ia gara-gara trip casting tenggiri di Tuas terpaksa dibatalkan sejurus hendak bertolak ke sana dari Shah Alam.
Alang-alang sudah tiba di sini, saya mengajak rakan yang juga pemancing tempatan untuk mencuba memancing di Pulau Bunting.
Mujur bila diberitahu Pulau Bunting spot sotong menggabang, saya sempat membawa beberapa ketul gewang candat udang.
Kami mencuba di kawasan spot berbatu di sebelah kanan pulau menghadap Pulau Langkawi. Memang banyak sotong menggabang di sini.
Cuma masalahnya candat perlu dilontar sejauh mungkin kerana sotong tidak berada berhampiran dengan pantai. Jadi terpaksalah mencari kawasan yang lebih bertanjung untuk melontar jauh.
Sotong menggabang di sini boleh tahan juga saiznya, malah ada bersaiz selebar tapak tangan.
Menurut seorang kaki pancing yang ditemui berkata, dia kerap mencari sotong menggabang di sini, jika dapat 3-4 ekor bersaiz tapak tangan sudah cukup untuk dijadikan hidangan keluarga.
Katanya lagi, di daerah Yan ini, sekiranya ingin betul-betul mencari sotong menggabang, lokasi terbaik sebenarnya adalah di Pulau Song Song kerana di sana tekanan kaki pancing tidak tinggi berbanding Pulau Bunting yang mudah diakses kerana adanya jambatan.
Pada sebelah petangnya, saya mencuba pula casting dari tebing terutama di bawah jambatan di bahagian pulau.
Cuma yang banyak hanyalah todak yang mengekori spoon yang diletakkan bulu pada mata kail.
Selain itu, hanyalah ikan kerapu kecil yang menjadi penghibur. Menurut pengamatan saya, kaedah casting mungkin kurang digemari oleh kebanyakan kaki pancing yang datang bertandang ke sini.
Kebanyakannya lebih gemarkan pancingan bottom dan juga teknik surf casting dari atas jambatan.
Majoriti umpan yang digunakan adalah udang hidup, anak belanak selain menggunakan udang kopek dan juga umpun-umpun.
POMPANO PULAU BUNTING
Secara kebetulan semasa berjalan melalui jambatan berkenaan, saya berkenalan dengan beberapa orang kaki pancing lain yang menggelarkan diri mereka Geng Tegar Pulau
Bunting di laman media sosial facebook. Mereka kerap memancing di kawasan ini terutama di bahagian tengah jambatan.
Menurut Rosdi, salah seorang ahli grup berkenaan, jambatan Pulau Bunting telah lama menarik perhatian kaki-kaki pancing dari seluruh negeri Kedah.
Malah ada juga geng kaki pancing dari Pulau Pinang, Perak dan Perlis datang ke sini.
“Di sini, kalau nak ikutkan, hari-hari ada orang datang memancing. Tidak kiralah pagi, tengah hari mahupun malam.
“Kalau ada kaki pancing yang nak balik, tak lama lepas tu mesti ada geng lain yang datang. Seolah-olah macam ada shift pula,”
Katanya yang tidak kisah duduk di atas jambatan berkenaan sepanjang hari semata-mata menunggu ikan makan umpan.
Dalam kunjungan saya ke sini juga, saya menyaksikan sendiri seorang pemancing yang juga rakan kepada Rosdi berjaya menaikkan seekor ikan bawal emas atau turut dikenali dengan nama pinang atau pompano yang beratnya sekitar hampir 5 kg.
Apa yang uniknya semasa menyaksikan pertarungan pemancing dengan bawal pinang ini, mereka telah menggunakan sejenis tangguk khas buatan sendiri untuk menaikkan ikan dari atas jambatan.
Tanpa tangguk berkenaan, agak mustahil menaikkan ikan yang bersaiz besar, pasti akan putus akibat tali akan tergesel dengan permukaan simen jambatan. Lebih-lebih lagi jika terkena ikan pari.
Rosdi sendiri tidak lama kemudian berjaya menaikkan ikan senangin sekitar 1 kg.
Menurutnya yang berasal dari Guar Chempedak ini lagi, bila musim senangin masuk ke kawasan jambatan ini, boleh dikatakan jambatan ini seperti pesta apabila dibanjiri ramai kaki pancing.
Tapi katanya perkara ini tidak akan bertahan lama kerana para nelayan pasti akan melabuhkan pukat berhampiran kawasan jambatan. Akibatnya kumpulan senangin akan berlalu pergi.
Selain ikan-ikan tersebut, Rosdi juga sempat menunjukkan gambar rakan-rakanya dari telefon bimbitnya hasil tangkapan di jambatan dan Pulau Bunting.
Boleh tahan juga, kerana ada tangkapan ikan talang dan juga alu-alu menggunakan gewang dari landbase selain tangkapan ikan yu, kuku, loban, siakap merah dan juga kerapu.
LUBUK MEMANCING & BERNIAGA
Sepanjang dua hari penulis bertandang ke Pulau Bunting ini, terbukti pancingan di jambatan dan juga Pulau Bunting ini cukup mengujakan.
Dengan kedudukan yang strategik, khususnya di kawasan pertengahan jambatan yang lebih dalam ia telah menjadi kawasan laluan ikan-ikan berkualiti.
Untuk yang gemar casting pula, cuba-cubalah untuk ke bahagian pulau. Sama ada untuk casting menggabang ataupun ikan.
Dikhabarkan jika sanggup untuk trekking di bahagian belakang pulau, GT bersaiz 5 kg ke atas mudah sahaja untuk diperolehi jika kena air cantik.
Tetapi bukan perkara mudah untuk sampai ke sana, kerana ketiadaan trek khusus selain ada sahaja perkara mistik yang didengari di sini.
Seperkara lagi, terdapat masyarakat tempatan yang bijak mengambil peluang dengan kehadiran ramai kaki pancing di sini.
Terdapat beberapa gerai menjual makanan dan minuman ringan dibina di pintu masuk jambatan dan juga di bahagian pulau, sekali gus menyenangkan kaki pancing mengisi perut sambil dapat membasahi tekak sepanjang tempoh memancing di sini.
Untuk pengetahuan, kereta tidak dibenarkan melalui jambatan ini, perlu menggunakan motosikal.
Di sini terdapat seorang anak muda, bernama Bob yang membuat perkhidmatan hantar dan ambil kaki pancing yang ingin memancing di hujung jambatan atau di pulau. Cuma telefon sahaja, Bob akan datang ambil semula.
Di sebalik potensi jambatan Pulau Bunting ini sebagai spot memancing, terdapat beberapa perkara yang saya rasakan begitu merugikan.
Saya tertanya-tanya bilakah pihak kerajaan akan membangunkan semula Pulau Bunting ini seperti mana yang mereka rancangkan dahulu.
Dengan kos berjuta-juta ringgit telah dilaburkan, pembangunan yang khabarnya bakal dinikmati oleh masyarakat setempat dan Yan amnya bagaikan terkubur, sama seperti
keadaan jambatan tersebut yang kian usang dan banyak telah rosak, longgokan sampah-sarap terutamanya plastik banyak bertaburan selain ia menjadi gelanggang segelintir mat
rempit berlumba dan juga golongan anak muda yang saya kira masih bersekolah dating di pulau berkenaan.
Apa pun, sepanjang trip singkat saya ke sini telah memberi gambaran bahawa jambatan Pulau Bunting dan pulau itu sendiri memiliki potensi yang besar buat kaki pancing.
Cuma ada baiknya biarlah keadaan di kawasan berkenaan terurus, terutama tiada sisa sampah ditinggalkan sebaik angkat kaki pulang dari memancing.
Negara Laos bersempadan dengan negara Thailand, Vietnam dan Kemboja. Ia mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1953 dan ia merupakan satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang tidak memiliki laut.
Landskap hutan-hutannya adalah hutan tropika, manakala ikan-ikan liarnya adalah sama seperti yang terdapat di negara kita dan juga Thailand.
Apabila sahaja saya dipelawa untuk ikut memancing di Laos bersama Francois Helias dari Fishing Adventures Thailand, lantas saya bersetuju mengikutnya.
Peluang seperti ini bukan senang hendak diperoleh, kerana ia memerlukan banyak kerja-kerja logistik. Turut serta dalam trip ini adalah Mohd Salleh, Choy Wai Hin dan Ah Tung.
HARI PERTAMA:
Kami terbang ke Bangkok dari Kuala Lumpur pada hari pertama. Di Bangkok, berkenalan dengan Richard, seorang pemancing fly fishing dari Florida, Amerika Syarikat. Pada sebelah petangnya kami berbincang dengan Francois tentang program lawatan ke Laos.
HARI KEDUA:
Kami berlima dengan Francois menaiki pesawat ke Udon Thani, sebuah bandar berhampiran dengan sempadan Thailand/ Laos. Francois telah mengaturkan untuk sebuah van (mini bus) mengambil kami dari Lapangan Terbang Udon Thani ke Laos.
Dalam masa satu jam, kami menyeberangi Sungai Mekong ke Laos, melalui Friendship Bridge menuju ke bandar Vang Vieng, yang terletak lebih kurang 200 km dari Friendship Bridge yang mengambil masa yang cukup lama, iaitu 7 jam.
Ini disebabkan keadaan jalan raya di Laos kurang baik, jalan raya masih bertanah merah dan dipenuhi dengan lubang-lubang.
Kami tiba di Vang Vieng pada waktu hampir senja. Selepas mandi dan berehat di bilik hotel, kami berjalan malam di bandar, dan terjumpa sebuah kedai yang menjual roti canai dan makanan India. Ia dimiliki oleh seorang India dari Malaysia!
Vang Vieng merupakan sebuah bandar kecil, berhabuk dan penuh dengan muda mudi `Mat Salleh`.
Mereka ke sana kerana Vang Vieng sebenarnya terkenal sebagai tempat untuk mendapatkan dadah pada harga murah! Juga ada banyak aktiviti eco-tourism dan outdoor di sini.
HARI KETIGA:
Kami check-out dari hotel pada 6 pagi dan bertolak ke sebatang sungai yang disifatkan Francois banyak ikan kelah. Kami singgah di sebuah pasar tani di mana pelbagai sayur-sayuran hutan dan binatang hutan dijual.
Kebanyakan penduduk Laos masih berada dalam kemiskinan. Tetapi tanah cukup subur dan ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran. Pemandangan di sepanjang perjalanan sungguh indah.
Dua jam kemudian, kami tiba di sebuah jambatan dan Francois memberitahu bahawa kita akan memancing ikan kelah di sini.
Kami kesemua terperanjat kerana di tebing sungai penuh dengan rumah penduduk kampung. Bahkan turut kelihatan beberapa orang penduduk yang sedang mandi dan membasuh pakaian.
Dari atas jambatan, kami dapat melihat beberapa ekor ikan kelah di dalam sungai. Rupanya, ketua kampung tidak membenarkan sesiapa pun memancing di sungai ini, selain dari Francois.
Bila ditanya, Francois menyatakan bahawa beliau dan beberapa rakan-rakannya dari Amerika dan Eropah telah menderma wang untuk membina balik sebuah sekolah di kampung itu. Syabas Francois!
Ada tiga cara memancing ikan kelah di sini, iaitu menggunakan dedak, umpan seperti anak lebah atau menggunakan gewang/sesudu.
Francois terus siap sediakan dedaknya dengan campuran rahsia. Sementara menunggu dedak dimakan oleh kelah, kami cuba casting dengan menggunakan gewang. Richard pula setia dengan set fly fishing.
Kami mencuba menggunakan banyak jenis gewang, tetapi tetap gagal mendapatkan strike. Yang kami dapat, kesemuanya dari umpan dedak dan anak lebah, itu pun bersaiz kecil.
Mungkin ikan-ikan kelah yang besar yang kami nampak dari atas jambatan telah menyorok dalam ketakutan.
Kanak-kanak kampung pula mengekori sahaja ke mana kami pergi pun susah. Walau bagaimana pun, kami tetap berpuas hati kerana kami tetap mendapat ikan. Kami juga dipelawa oleh ketua kampung untuk makan tengah hari di rumah beliau.
Pada lebih kurang pukul lima petang, kami bertolak ke destinasi kedua iaitu Empangan Nam Ngun. Kami tiba di Nam Ngun pada pukul 8 malam. Penginapan kami pada malam ini ialah di chalet-chalet yang dimiliki oleh rakan Francois.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...