Berkaca mata sebenarnya tidak boleh dijadikan kayu pengukur bagi ketepatan balingan umpan atau gewang. Isu ini sebenarnya adalah satu bentuk soalan yang dikemukakan oleh seorang follower fan page Majalah Umpan.
Memandangkan bentuk soalan ini lebih berbentuk andaian, yang mana tiada sesiapa pun yang boleh memberikan jawapan yang solid, maka saya beranggapan adalah lebih baik ia dibuka secara umum kepada netizen untuk dibincangkan. Dalam pada masa yang sama, saya akan menjelaskan andaian sendiri juga.
Walau bagaimana pun berdasarkan pengalaman memancing (casting) dengan pemancing yang berkaca mata, saya seperti ingin bersetuju juga dengan andaian tersebut.
Pengalaman yang masih jelas dalam memori saya ialah ketika memancing bersama dua orang rakan yang berkaca mata. Seorang membawa bot (speed boat) dan seorang lagi berada di bahagian hadapan bot. Saya duduk di tengah-tengah.
Dari segi pemanduan bot, langsung tidak menimbulkan sebarang masalah. Namun, ketika casting… kedua-dua mereka ini paling kerap menimbulkan masalah. Apa yang dapat saya perhatikan ialah kedua-dua mereka ini sering berhadapan dengan masalah gewang tersangkut. Jika gewang tersangkut pada struktur di dalam air itu merupakan perkara normal kerana sukar untuk menduga apa yang ada di dalam air.
Namun, apa yang berlaku ialah gewang mereka sering tersangkut pada reba (dahan-dahan dan ranting dari pokok yang tumbang ke dalam air) dan pokok-pokok yang menjulur di atas lubuk. Malah kerap juga gewang tersangkut hingga ke atas pokok di tebing-tebing.
Ketika berhadapan dengan perkara ini saya sedikit pun tidak terfikirkan masalah ini berpunca dari pemakaian kaca mata, tetapi apabila perkara ini dijadikan topik perbincangan, saya rasa saya bersetuju bahawa pemancing yang berkaca mata ada masalah dalam accurate casting.
Apa kata netizen:
“Aku memang pakai cermin dah hampir 30 tahun… masalah masa casting ni jarang pulak berlaku. Cuma yang aku perasan kalau main laut senang mabuk laut… sebab biasan cahaya pada permukaan laut tu… buat kepala pening.”
MOHDFAUZI FAUZI
“Tak jugak… masalah utama pemancing berkaca mata ialah cermin mata cepat berkuap masa cuaca lembap atau panas dan bila hujan. Sikit-sikit dok kena lap. Sikit-sikit dok kena lap… hahaha!”
FY ZAL
“Aku pun pakai spek… ketepatan menilai jarak tu depend pada orang juga. Berbeza-beza. Tapi yang pasti, semua orang yang pakai spek akan frust bila memancing dalam hujan. Kalau ade jual spek yg ada wiper, kompom laku keras. Orang pakai spek ni boleh kot diwartakan sebagai pemancing kelainan upaya. Hahaha.”
NALZAM BURN
“Setakat ni aku takde masalah… tapi kalau cast masa hujan nak kena lap spek sebab jadi kabur. Nak buang spek lagi la kabur… seksa betul time ni.”
MUHAMMAD AZMAN
“Saya ok je… cuma kadang-kadang saja bertukar boiling toman dengan boiling ikan bandar raya.”
MOHD SHAFUAN MUHAMMAD
“Bergantung kepada cuaca. Kalau cuaca clear jarak dan ketepatan boleh kira 90% tepat. Tapi kalau hujan duduk tepi aje la… tapi aku biasanya buka cermin mata kalau hujan.”
HASLIN ABU BAKAR
“Ya betul!! Memang kelemahan orang berkaca mata. Terutamanya masa hujan dan waktu cahaya terlalu terang… silau!”
MOHD RIZMAN
“Member aku tak pakai spek pun boleh ke pokok pergi umpannya. Tunggu punya tunggu… patutlah ikan tak makan, rupanya umpan dah duduk atas pokok… kahkahkah!”
MAHAGURU ARIA PUTRA
“Dia orang tak tau kelebihan orang pkai speck ni, admin. Bila memancing pkai speck, ikan besor jer yang dapat. Tak caya boleh la cuba pakai speck.”
ABU LEDANG
“Betul.. sangat-sangat betul. Ini memang fakta… hari ni saja bukan setakat sangkut, bihun sup dua bijik reel lagi. Sudahnya balik hampa.”
JUAN CARRERA