Sempena pertandingan memancing bulanan, kolam pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih mengadakan Cabaran Memancing Bulan November di kolam tersebut, Ahad ini dengan menawarkan wang tunai sebanyak RM102,200.
Sebanyak RM52,000 menanti juara Cabaran Bulan November, RM12,000 bagi pemenang di tangga kedua dan RM6,000 bagi pemenang podium ketiga. Sementara RM 1,000 menanti pemenang di tempat keempat. Pertandingan yang berkonsepkan sapu bersih sehingga ranking 150 ini turut menyaksikan pemenang di tangga ke-101 hingga ke-150 memperoleh RM150.
Sebagaimana pertandingan sebelumnya pihak pengurusan kolam masih lagi menetapkan spesies ikan patin Chao Phraya tidak dipertandingkan sebaliknya dikategorikan sebagai hadiah khas bersama spesies tongsan sisik halus. Bagi pemenang kedua-dua kategori ini memperoleh RM5500 bagi tempat pertama, RM300 untuk tempat kedua dan RM200 untuk tempat ketiga.
Selain ganjaran tunai, pihak kolam turut menawarkan dua unit televisyen LED berjenama dan 10 unit kekili berjenama Shimano bagi cabutan bertuah atau cabutan bonanza. Yuran pendaftaran penyertaan sebanyak RM100 bagi satu joran boleh dibuat di kaunter pendaftaran yang mula dibuka pada jam 1.00 petang, Sabtu bersamaan 18 September nanti. Sebanyak 1,000 helai baju T lengan panjang disediakan bagi pendaftaran awal.
Menurut Eddie Rani selaku pengurus pertandingan, bagi sesi memasang pancang yang akan bermula pada 5.00 petang hari Sabtu nanti, pihak kolam telah sediakan pancang di kesemua enam buah kolam yang akan digunakan untuk pertandingan. Dalam erti kata lain, bagi melancarkan perjalanan sesi merebut spot dan atas faktor keselamatan, para peserta tidak dibenarkan membawa pancang sendiri.