Peluang memancing di jeti larangan!

Share

 

Sempena Hari TLDM yang ke-85, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah pun mengadakan Hari Terbuka PHN yang bertempat di Bandar Armada Putra, Pulau Indah pada 13 & 14 April lalu.

Istimewanya bagi kaki pancing, PHN dengan kerjasama Akar Teguh Agro Farm bakal mengadakan pula pertandingan memancing Cabaran Joran TLDM 2019, pada 1 Mei ini di lokasi yang sama.

 

Bagi kaki-kaki menebing khususnya di Selangor amat mengetahui potensi pancingan di Jeti Pangkalan TLDM Pulau Indah, PHN ini.

Banyak rekod pendaratan ikan bersaiz besar khususnya spesies kurau dicatatkan di jeti ini namun ia merupakan port larangan kepada umum.

 

 

Sebagaimana resam seorang pemancing tegar, di mana ada port larangan maka di situlah mereka teringin sangat untuk melabuhkan umpan.

Dan peluang untuk memancing di atas jeti larangan sepanjang hampir 500meter ini terbuka kepada anda semua 1 Mei ini.

 

Pertandingan yang terbuka untuk warganegara Malaysia ini menawarkan hampir RM20,000 tunai kepada bakal peserta.

Dengan yuran penyertaan sebanyak RM70 bagi sebatang joran, pemenang utama akan membawa pulang RM10,000. Pemenang tempat kedua RM2,000. Tempat ketiga RM1,000.

Ke-4 pula RM500 dan ke-5 membawa pulang RM300. Bagi tempat ke-5 hingga ke-40 pula RM100.

 

 

Dengan konsep hadiah sapu bersih maka seorang pemancing mampu memenangi lebih daripada satu hadiah bagi tempoh 4.5 jam pertandingan yang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 1.00 petang.

 

Selain itu pihak penganjur turut menawarkan 400 helai baju T bagi pendaftaran terawal dan 600 goodies bagi peserta terawal.

Beberapa spesies ikan tidak dipertandingkan termasuklah sesirat, buntal dan bebolos. Sementara semua hasil tangkapan peserta yang dipertandingkan akan menjadi hak milik penganjur.

 

 

Team Majalah Umpan juga akan hadir untuk liputan pertandingan ini… jumpa kita di sana!

Published by
Amang