Teknik menunda gewang atau trolling merupakan satu teknik memancing dengan cara menunda gewang di belakang sampan, bot, kapal dan sebagainya. Trolling di laut, muara dan sungai mempunyai perbezaan yang ketara dan memerlukan peralatan dan yang sesuai. Disini saya kongsikan beberapa tip untuk trolling di muara atau sungai kecil.
Struktur sungai
Sebelum melakukan teknik trolling, kita perlu mengenal pasti struktur sungai terlebih dahulu. Ia kurang sesuai struktur sungai terdapat banyak bangkar kayu mati. Trolling dilakukan berhampiran reba atau kawasan tanah runtuh atau berhampiran susur tebing. Ini kerana lazimnya ikan-ikan gemar bermain di dasar kawasan tersebut untuk mencari makanan atau menghendap mangsa.
Gewang
Gewang yang paling sesuai digunakan untuk teknik ini adalah selaman 3 meter hingga 5 meter bergantung pada paras air sungai tersebut. Tidak kisahlah jenis atau jenama gewang apa yang ingin digunakan. Selain gewang selaman dalam, gewang selaman cetek atau minnow juga boleh digunakan meskipun peratusan strike lazimnya berpihak kepada gewang selaman dalam.
Joran
Untuk keselesaan trolling di muara sungai, memadai joran aksi sederhana (medium heavy). Disarankan joran kekuatan 6-12 lb, 6-16 lbs 8-17 lb, 8-20 lb atau 10-20 lb. Panjang joran pula sebaiknya 6 hingga7 kaki panjang.
Tali utama dan perambut
Tali utama yang digunakan untuk trolling haruslah tidak terlalu halus atau kasar. Jika terlalu halus, ia akan mudah putus jika tersangkut atau disentap oleh ikan bersaiz besar. Jika terlalu kasar pula ia akan menghasilkan getaran dan bunyi semasa ditunda. Ini akan menyebabkan bunyi bising dan peluang untuk strike ikan agak tipis. Cadangan paling sesuai adalah dalam 20lb-30lb sahaja atau diameter tali 0.18mm-0.28mm.
Jarak tundaan
Berkaitan dengan jarak, terdapat dua perkara yang perlu diketahui semasa trolling. Pertama adalah jarak antara bot dangan tebing dan kedua adalah jarak antara bot dengan gewang. Semasa trolling, jarak paling sesuai bot dengan tebing adalah antara 5-10 meter.
Pada kedudukan jarak ini, gewang selaman dalam yang kita gunakan akan sampai ke sasaran. Jika terlalu jauh ke tengah sungai, gewang tidak akan sampai ke dasar. Jarak yang kedua perlu dipertimbangkan adalah jarak antara bot dengan gewang yang kita tunda dibelakang bot. Kebiasaannya jarak paling sesuai adalah antara 30-50 meter. Amat sesuai jika menggunakan tali yang bewarna-warni kerana lebih senang buat ukuran (10 meter setiap warna).
Kelajuan bot
Tip ini adalah antara yang terpenting perlu diketahui jika melakukan teknik trolling. Semasa trolling pastikan bot dalam kelajuan yang paling minima. Kerana ini dapat memberi peluang kepada ikan untuk mengejar gewang tersebut. Jika bot kita dalam keadaan laju, kebanyakan ikan tidak mahu atau dapat mengejar gewang tersebut.
Penyelamat Gewang
Jangan Lupa! Amat penting untuk kita membawa alat ini. Ini kerana, semasa trolling peluang untuk sangkut pada batu dan kayu di dasar sungai adalah tinggi. Tidak dinafikan dengan adanya penyelamat ini, gewang anda akan selamat sekalipun tersangkut berkali-kali.