Pedoman Memburu Spesies Predator Kuala Selinsing

Share

 

Perjalanan saya dari Lembah Klang menuju ke Kuala Selinsing di Perak mengambil masa 4 jam. Walaupun agak jauh ia sama sekali tidak mendatangkan kepenatan kepada saya. Kuala Selingsing merupakan satu lubuk yang menjadi kegilaan bagi pemancing-pemancing tempatan.

 

Macam-macam teknik boleh digunakan dilubuk ini. Lain padang lain belalang… lain lubuk lain tekniknya. Bagi Kuala Selingsing, teknik yang saya selalu guna adalah casting menggunakan umpan udang hidup. Balingan dibuat ke atas reba dan tarik atau karau perlahan tanpa henjut.

 

 

Bagi Spesis MJ atau siakap merah, ia adalah spesies yang suka membawa dan melilitkan tali pancing kita pada kayu-kayu dan ranting-ranting yang berada disekitarnya setelah ia menyambar umpan kita. Ia juga pemangsa yang ganas dan rakus, mempunyai gigi yang tajam adalah kelebihan spesies ini untuk memotong tali pancing (leader) kita.

 

Oleh itu kita haruslah tarik secepat yang mungkin bagi mengelakkan ianya kembali ke dalam reba dan memotong tali pancing. Siakap putih (barramunddi) pula sikapnya yang selalu terbang di permukaan air untuk menanggalkan mata pancing anda. Ia tidak punya gigi tetapi spesies ini mempunyai permukaan bibir yang kasar. Lambat tarik pun boleh putus jua.

 

 

Bagi siakap putih ini, jangan sesekali anda angkat hujung rod ke atas kerana ianya akan memberi peluang untuk ikan naik dan terbang di permukaan air. Semasa karauan dibuat, tali pancing anda haruslah sentiasa tegang dan selam hujung rod anda ke dalam air bagi mengelakkan ianya naik di permukaan air.

 

Oleh itu, saya sarankan kepada caster-caster yang ingin memujuk spesies ini gunalah peralatan pancing yang sesuai sebelum anda berputih mata. Para caster juga perlu memilih tarikh air yang sesuai untuk memburu pemangsa-pemangsa di lubuk sungai air masin ini.

 

 

Tekong dilubuk ini juga banyak memberi peranan dengan meronda mencari lubuk berpenghuni dan sentiasa memberi tunjuk ajar. Beberapa kali saya turun memburu di lubuk ini ia tidak pernah menghampakan saya. Dari dulu sampai sekarang saya masih menggunkan teknik yang sama.

 

Antara spesis yang ada dilubuk ini kerapu, siakap putih dan siakap merah. Mana-mana caster yang ingin memburu di lubuk ini bolehlah berhubung dengan tekong-tekong handalan Kuala Selinsing di FB seperti Amir Hamzah, Herry Ramly, atau Azeem Asyraf.

 

Published by
Amang