Pedoman Dan Panduan Memancing Di Pelantar

Share

 

Inilah trip 3 malam tidak merasai titisan air hujan sama sekali. Air jernih bak kaca permukaan laut amat mendamaikan. Angin berhembus lembut menyejukkan sedikit badan waktu musim panas melanda ketika itu. Kabin bot seluas 8 kaki dan tempat peraduan lengang sepanjang waktu siang dan malam.

 

Cuaca adalah penyebab pemancing tidur di luar sepanjang masa bertemankan joran yang malas bekerja. Kekili elektrik adalah peralatan asas diguna pakai semua pemancing sepanjang trip berlangsung.

 

 

Pelbagai jenama digunakan mengikut kemampuan pemancing. Command X4, X6, Daiwa Megatwin, Shimano BM9000, Kaigen1000 serta model lama Olympic 2MD milik peserta paling otai.

 

Dengan purata umur separuh abad kekili begini sesuai untuk kerja berat dan membantu mengurangkan bebanan kerja untuk golongan berumur. Set peralatan wajib selain kekili elektrik ialah aksi ringan dan aksi medium untuk set jigging. Aksi berat diketepikan kerana faktor usia ramai yang tidak berhajat mencari saiz ‘gamefish’ gadang-gadang

 

 

Umpan Dan Ikan

 

Umpan tambahan seperti sotong pasar dan ikan selayang satu keperluan utama bagi kaki pancing dasar bila bertandang ke sini. Joran popping 7.8 kaki dengan kekuatan PE 5-PE 8 adalah antara set peralatan tambahan untuk yang bertenaga. Ada waktu GT dan cupak akan menyambar mangsa di permukaan.

 

 

Jig di sini untuk mereka yang rajin dan benar-benar meminati aktiviti jigging. Kedalaman air 160 kaki dengan arus hampir sifar sudah cukup untuk jig 40g mencecah dasar. Joran aksi ringan banyak kali gagal untuk mengekang asakan ikan ketika arus mati. Pakai jenis ‘heavy’ tidak pulak disentuh umpannya.

 

 

Kunjungan kami waktu bulan penuh keadaan cahaya bulan menerangi laut sepanjang malam. Tiada aktiviti ikan mengejar mangsa permukaan di kawasan tiang api boreng sebagaimana kebiasaan ketika bulan gelap. Hanya sesekali terdengar celupan air nun jauh di kawasan gelap.

 

 

Yang berani bertandang sekitar kawasan bot parkir hanyalah kumpulan ikan todak. Malah cahaya lampu bot turut tidak mampu menarik perhatian ikan untuk bertandang rapat kerana limpah cahaya pelantar mendominasi kawasan sekitar.

Published by
Amang