Paus Juvenil Terdampar Di Lahad Datu

Share

Seekor ikan paus juvenil sepanjang kira-kira empat meter (12 kaki) dengan anggaran berat 400 kilogram ditemui terdampar di kawasan perairan Batu 7 berhampiran Kontena Terminal Jalan POIC 2, Lahad Datu, Sabah, kelmarin sebelum dilepaskan kembali ke laut.

 

Spesies mamalia laut itu ditemui terdampar oleh seorang pekerja swasta yang melalui kawasan tersebut dan segera bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu.

 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mazran Mohammad Noh berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.06 pagi sebelum bergegas ke lokasi dan menemui seekor ikan (anak) paus untuk diselamatkan dan dilepaskan ke laut.

 

“Pada awalnya agak sukar untuk membawa mamalia itu keluar berikutan air yang cetek dan berlumpur tetapi akhirnya bomba dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menunda anak paus  itu menggunakan bot ke laut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

 

Katanya mamalia itu dilepaskan tiga kilometer dari jarak asalnya ditemui dan operasi tamat pada pukul 2.17 petang. Operasi menyelamat itu disertai  lima anggota bomba dan 10 anggota PPM.

 

Ikan paus yang dipercayai daripada spesies Bryde, Fin atau sebagainya merupakan antara enam jenis hidupan marin yang dikategorikan sebagai paling terancam selain dugong, ikan lumba-lumba, ikan yu, penyu dan kerang gergasi kima. Kesemua spesies tersebut dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 (Pindaan) 2008.

 

(sumber: Bernama & Pasukan Polis Marin)

Published by
Amang