Pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) yang diadakan di Taman Tasik Metropolitan dekat Kepong pada hari ini berjaya menarik penyertaan seramai 1,126 kaki pancing anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi siri ke-6. Ini merupakan jumlah penyertaan tertinggi pernah dicatatkan sejak ia mula diperkenalkan.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zaharudin Basiron berkata, slogan `Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ khusus kepada warga kota menjadikan aktiviti riadah bersama keluarga dapat diterapkan melalui pertandingan memancing yang disediakan oleh DBKL.
Ads
Teruja dengan sambutan yang menggalakkan, beliau yakin produk Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) di bawah DBKL ini dapat mencapai matlamat agar perpaduan dan keharmonian melalui pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat usia mahupun agama disatukan melalui aktiviti riadah sihat ini.
Ads
Beliau berharap penganjuran JPKL dapat diteruskan lagi memandangkan program yang dilaksanakan amat baik untuk warga kota dan bagi tahun ini sebanyak 4 lagi siri JPKL menunggu kaki pancing termasuk siri akhir yang dijadualkan bulan Disember 2017.
Ads
Pada pertandingan kali ini, Razman Abu Hassan telah dinobatkan sebagai juara dan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000. Beliau yang memiliki pengalaman memancing selama lima tahun berjaya mendaratkan ikan patin seberat 12.235kg pada jam 9.26 pagi. Tempat kedua dan ketiga disandang Mohamad Ridwan dan Molik Yaakub yang masing-masing menaikkan ikan belida seberat 5.695kg dan 5.665kg. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM1,000.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pada bulan Mei beberapa tahun lalu, kami sekali lagi menjejaki perairan Kedah untuk menjejaki beberapa spesies jenahak, GT dan kerapu menerusi aplikasi pancingan jigging dan bottom.
Selain ingin mencari tangkapan terbaik untuk dibawa pulang, masing-masing memasang angan-angan untuk mencari rekod yang lebih baik daripada tangkapan terdahulu.
Sebelum turun ke lokasi yang dikepalai Encik Harun, kami bersiap sedia menyediakan peralatan yang sesuai.
Bimbang-bimbang keadaan tidak mengizinkan sekiranya dilakukan di atas bot, tambahan pula boleh mabuk dibuatnya.
Apa yang pasti kami cuba untuk mendapatkan kepuasan sebenar apabila bertarung nanti.
Walaupun bekalan umpan yang kami tidaklah sebanyak mana kerana sasaran kami trip ini hanyalah balik hari.
Namun, masing-masing telah berseloroh memadailah sekiranya gian kami ini dapat dilampiaskan dengan melihat adanya ikan besar yang akan dihambat tarik naik ke permukaan.
Cuaca baik
Bersyukur tidak terkira, dengan semangat sepasukan yang kuat, ketibaan kami lebih awal sekitar 9.25 pagi tanpa sebarang gangguan cuaca atau masalah teknikal yang datang dari bot berusia lebih 7 tahun ini.
Mengambil kira keadaan cuaca yang baik dan pergerakan air laut yang tidaklah begitu beralun memberi petanda yang menyenangkan.
Kami sempat juga melakukan pancingan tundaan ketika melalui spot yang biasa memperoleh tangkapan alu-alu dan juga tenggiri.
Namun ia tidak berhasil dan bot kami terus sahaja dipacu sehingga sampai ke lokasi sasaran sebenar.
Sebelum memulakan trip lagi kami telah berbincang dan bersepakat mata kail standard big game hook bakal diaplikasikan.
Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran spesies yang ingin didaratkan, realistik sekiranya kami mencuba apa sahaja mata kail jenis ini di sini.
Berkongsi umpan yang sama
Umpan sotong merupakan umpan yang bolehlah dikategorikan sebagai umpan kegemaran bagi spesies jenahak dan kerapu. Lebih-lebih lagi sotong hidup yang segar di candat.
Berdasarkan pengalaman kami, sotong hidup ini antara umpan yang tidak akan ditolak oleh spesies jenahak. Jarang sekali, kami gagal untuk mendaratkannya.
Kami juga pernah mencuba menggunakan kepala sotong segar. Tidak sangka ia lebih mujarab dan luar biasa sekali tindak balas jenahak terhadapnya.
Sambil menunggu umpan yang dipasang dimakan ikan, kami juga melakukan jigging. Aksi jigging turut menghasilkan ikan kerisi, namun bilangannya tidak banyak.
Sambil-sambil boring menunggu, kami juga sempat apollo mencari umpan hidup.
Sekitar jam 11 pagi, rod milik Abang Harun yang diletakkan di belakang bot, tiba-tiba dihenjut kuat, tanda ada ikan besar yang telah membaham umpan sotong segar miliknya.
Abang Harun berulang kali mengarau kekili sambil mengetatkan drag. Masing-masing yang berada di dalam bot berdoa agar spesies yang dijangkakan kerapu ini tidak mampu menyelinap masuk ke rumah atau batu karang.
Dengan kudrat yang ada, berhempas pulas jugalah hendak menewaskannya. Tidak lama kemudian, timbullah sang kerapu yang kami doakan sejak awal dari tadi lagi.
Syukur dan syabas kami ucapkan kepada Abang Harun kerana berjaya juga menewaskan sang kerapu.
Kami sebulat suara merahsiakan spot ini dari agar ia sentiasa terpelihara. Maklumlah spot ini boleh dianggap hot spot di kalangan pemancing tempatan. Cukuplah sekadar gambar jadi tatapan menggambarkan segalanya.
Selepas tangkapan kerapu berjaya diperolehi, kami meneruskan lagi aksi jigging. Oleh sebab, spot rahsia ini adalah kawasan batu karang dan juga lubang, kami rata-ratanya menggunakan joran aksi ringan PE 1-3 dan sederhana PE 3-5.
Namun, aksi jigging di sini, kurang memberangsangkan, sebaliknya teknik bottom pula yang lebih menjadi.
James Lim dan Dr Kevin masing-masing memperoleh gerut-gerut dan jenahak. Manakala GT dan juga ebek juga berjaya diperolehi dengan kaedah yang sama.
Kesimpulan trip
Walaupun teknik bottom yang lebih menjadi, kami bersyukur dengan hasil yang diperoleh dan ia sudah pun cukup memuaskan hati kami.
Kami percaya, kawasan perairan ini masih lagi kaya dengan kepelbagaian spesies meskipun terdapat berita tentang wujudnya nelayan pukat tunda turun melabuhkan pukat pada waktu malam.
Diharapkan agensi yang dipertanggungjawabkan mampu menjaga kawasan perairan kita dengan lebih baik lagi, khususnya mengekang pencerobohan nelayan pukat tunda mahupun nelayan asing.
Trip memancing di kawasan saluran paip minyak bersama tekong Pok Lan Dungun, memang menjadi trip impian bagi penggemar bottom fishing.
Terkini, para penggemar teknik jigging atau kaki Jigging juga sudah mula beminat untuk mendapatkan slot trip dari beliau.
Secara tidak langsung menjadikan ia trip yang sama sekali tidak boleh dilepaskan apabila berjaya menyelitkan nama dalam trip tersebut.
Perjalanan dari jeti Dungun ke lokasi pelantar minyar mengambil masa lebih kurang 16 jam! Lebih kurang jam 10.00 malam bot sampai ke destinasi.
Bot ditambat pada tiang pelantar dengan jarak yang selamat dan sesuai untuk berjigging.
Tak sampai 10 minit strike demi strike dari ikan cupak diperolehi. Ada juga strike saiz yang kasar sehingga memutuskan tali dan jig.
Pesta jigging terganggu apabila angin bertiup kuat dan laut mula berkucah.
Angin dan hujan turun dengan lebat sekitar jam 2.00 pagi menyebabkan ramai ahli komplot dah mula rasa pening dan mual.
Mujur juga saya ada bawa minyak kelapa dara MATCH outdoor refreshing scent antara minyak penyegar yang sering kami gunakan untuk melegakan pening dan mual-mual mabuk laut.
Pancingan disambung pada sebelah pagi dengan bot bergerak ke kawasan pipeline untuk sesi pancingan bottom drift.
Bot dibiarkan berhanyut dan tekong mengawal bot supaya kekal di atas laluan saluran paip.
Pesta Tarik menarik bermula apabila sekumpulan ikan merah dan ikan ibu kerisi dinaikkan. Rata-rata saiz ikan adalah seberat 1-2 kg.
Setelah hampir berpesta ikan merah dan ibu kerisi kami meneruskan perjalanan ke pipe line kedua kira kira 30 minit perjalanan.
Di spot pipeline kedua ikan kerapu yang dinaikkan hanya bersaiz sederhana. Azrie agak bertuah menaikkan sekor ikan kerapu bara sekitar 3kg.
Tak kurang hebat di bahagian kiri bot di mana Angah Pun mendaratkan ikan merah juga bersaiz 3kg.
Tepat jam pukul 6.00 petang, Pok Lan mengubah haluan untuk berlabuh di tepi pelantar minyak untuk berehat dan jigging malam.
Bot ditambat pada pelantar dan acara jigging bermula. Jig seberat 40g hingga 80g digunakan dalam trip kali ini.
Ikan bersaiz monster lebih mendominasi pada sebelah malam. Banyak kali jig disambar ikan monster dan gagal dikawal.
Lewat malam angin mula membuai bot dan gelora mula terasa. Ada kilat memancar di hujung kaki langit. Satu petanda ribut sedang dalam perjalanan ke tempat kami.
Sesi malam itu ditamatkan apabila hujan lebat mula turun dan ribut melanda kami di pelantar minyak.
Keadaan laut yang bergelora tidak mengizinkan kami untuk terus berjigging. Ombak dan alun tiada tanda untuk berhenti hingga keesokan harinya memaksa kami berbincang sama ada ingin meneruskan sesi pancingan atau ingin pulang awal.
Enjin bot dihidupkan dan kami terus meneruskan perjalanan ke jeti . Separuh perjalanan, bot menghampiri kawasan pulau Tenggol dan kelihatan unjam-unjam yang dibuat oleh nelayan. Kami menunda appolo bulu ayam untuk menjerat ikan tongkol.
Menurut tekong, kesan dari laut yang bergelora kumpulan ikan tongkol banyak bermain di dasar unjam.
Hanya yang bersaiz kecil yang galak mengejar appolo bulu ayam yang kami tunda. Cukuplah hasil ikan tongkol atau aya sekadar penambah hasil tangkapan trip kali ini.
Bot meneruskan perjalanan ke jeti , tepat jam 10.30 malam kami tiba di jeti LKIM Kuala Dungun.
Alhamdulillah kami selamat pergi dan kembali walaupun ditimpa ribut dan angin tenggara ia bukan satu yang mematahkan semangat kami dan akan turun kembali ke pipeline ini pada lain masa.
Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang. Dari hanya Pelabuhan Selatan, kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.
Ketika pembinaan pelabuhan barat banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalam untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan. Pesisir pantai dan hutan bakau digondolkan dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda “Kawasan Larangan Memancing”. Itu juga satu revolusi!!! Dalam erti yang menyakitkan hati.
Pecah Tabung
Sampai bila nak sewa sampan, kalau diikutkan jumlah sewa yang dileburkan selama ini sudah tentu dapat bayar deposit bot dan enjin baru. Kalau nak keluar seketul duit bukan senang, wang simpanan masih sedikit. Sambil buat perancangan mencari sampan dan enjin sendiri. Aktiviti memancing tebing dilebihkan sambil mengurangkan sewa sampan.
Setidak-tidaknya ada sedikit wang untuk merealisasikan impian kemudian hari. Masa berlalu begitu pantas walaupun kadang kala bosan menghantui ketika menunggu sentapan ikan yang tak kunjung tiba.
Memancing adalah kepuasan minda, bukan kepuasan mata, soal dapat ikan atau tidak bukan perkara pokok, yang penting dapat melapangkan fikiran di hujung minggu setelah otak penat bekerja.
Maki hamun, tekanan, perasaan marah dan kejengkelan terhadap boss dari Isnin hingga Jumaat dapat dilepaskan selepas jam 1800 Jumaat. Minda dah ‘free’ sebaik sahaja minggu kerja berakhir. Persiapan dan perancangan dibuat sehari dua sebelum masuk hujung minggu. Contact dengan rakan sekaki dalam dunia pancing turut dibuat bagi merencana perancangan yang telah dibuat.
Sambil memancing, kepala dok asyik fikir bila nak merasa sampan sendiri pula. Pasal lubuk, selok-belok dah tahu serba sedikit Kemahiran mendayung, menjala dan mengemudi enjin sampan juga dipertingkatkan. Tunggu masa sahaja sementara guna sampan sewa.
Pasang Telinga
Memandangkan tabung tak cukup penuh, pasang telinga di sekitar pangkalan mana tahu ada yang hendak jual sampan dengan enjin. Puas menunggu akhir terungkai apabila ada kaki pancing ingin menjual sampan kayu 17 kaki bersalut fiber dengan enjin 15hp.
Harga agak murah ketika itu. Bila dah kemaruk melanda tanpa usul periksa sambar sahaja. Bila selesai urusan jual beli, tak sabar menunggu saat dan waktu pertama kali untuk menggunakan sampan sendiri. Hari pertama menggunakan sampan sendiri cukup mengujakan. Buat permulaan hanya kawasan berdekatan dengan pangkalan sahaja yang dikunjungi sementara mengilap kemahiran.
Semakin lama semakin memberanikan diri bertandang ke lokasi lebih jauh kononnya. Enjin kecil setakat sekitar Pulau Ketam sahaja yang mampu di kecapi. Lapuk dek panas, kuyup dek hujan sudah lumrah apabila bersampan tiada bumbung berlapik petak kayu lantai usang sehingga kematu bontot.
Tapi sudah cukup baik memancing bersama teman. Biasalah bila menggunakan enjin berserta sampan kecil selalu kena potong, lebih marah bila kena potong tang selekoh anak sungai. Ini tidak boleh jadi suatu hari pasti nak cari sampan yang gadang sikit. Langit tidak selalu cerah apabila lepas satu persatu enjin buat hal.
Ini belum masuk kes sampan hampir tenggelam akibat hujan lebat semalaman. Paling bengang ialah apabila semua barang siap dipunggah ke dalam sampan bersedia untuk keluar memancing, start enjin tak nak hidup.
Berpeluh satu badan hingga terpaksa buka baju di tengah panas mengerjakan enjin meragam. Sampai habis separuh tenaga barulah enjin berkepuk-kepuk hidup. Dalam perjalanan sekali lagi ia mati di tengah laluan bot.
Habis kudrat enjin terus diam sehingga terpaksa ditunda balik ke pangkalan oleh kenalan yang kebetulan baru balik memancing. Kopak lagi duit asyik dok membela enjin yang sudah layak masuk muzium.
Sampan akhirnya reput begitu sahaja apabila menanti spare part enjin yang tidak kunjung tiba. Kos baik pulih pula lebih baik dapatkan yang baru. Pecah tabung lagi apabila mangsa seterusnya ialah sampan gentian kaca berukuran 19 kaki dengan injin 25hp berusia lebih dari 4 tahun. Baru ada semangat sikit, enjin baik sampan dah boleh muat bertiga.
Bumbung berlipat mudah alih juga dipasang bagi memutihkan sedikit kulit yang sudah gelap terbakar oleh sinaran cahaya terik. Kata orang dari tetanda dapat pula jenahak, dari sembilang mengintai gemang, selalu gelama sesekali mengintai temerih. Banyak sikit barang termasuk peti ikan, dapur ketika bermalam boleh dimuatkan dalam sampan.
Kalau setakat Pulau Ketam tu mainan sahaja, minyak satu tong pergi balik pun tidak habis. Lepas ini berani meneroka lubuk-lubuk baru hingga ke Pulau Angsa. Pantang dengar sahaja kawasan ada potensi terus diterjah dengan hati kering. Malah rumah api Permatang Sedepa (One Phantom Bank) juga dilawati dengan enjin 25hp tanpa ada perasaan takut.
Ketika itu berpandukan kompas dan Rumah Api Bukit Jugra sebagai pedoman sahaja. Nak dijadikan rezeki ada kenalan bagi pinjam terus GPS miliknya kerana beliau langsung tak tahu pakai, tahu beli sahaja katanya. Pantang dapat ikan di satu-satu lokasi, kedudukan kordinat berkenaan terus dilog dalam GPS.
Ada GPS tidak akan lengkap kalau tiada sonar. Terpaksalah labur sedikit duit beli sonar hitam putih terpakai asalkan dapat lihat struktur dasar sudah memadai. Ketika itu dah rasa cukup sempurna aktiviti memancing. Pantang ada cuti kawasan Delta Klang dijelajahi bagi memenuhi masa lapang. Sehinggalah enjin 25hp dimamah usia beroperasi, ada tanda-tanda semput.
Beberapa kali turun naik ke bengkel akhirnya tiba waktunya ia terus melekat. Nak baiki mahal, akhirnya timbang kati. Sekali lagi terpaksa menebing sambil memendam rasa sementara mengumpul duit menggantikan enjin yang baru.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...