Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Tabiat ikan ruby snapper sememangnya sangat-sangat sukar untuk diduga. Justeru itulah pancingan ruby ini lebih mencabar berbanding memancing ikan kerisi.
Setelah termakan umpan biasanya ia akan terus menekan ke dasar dan cuba mencari batu karang untuk memutuskan perambut. Sama seperti kerapu ia akan membenamkan diri pada peringkat awalnya sahaja.
Jika kita lambat membuat hook-up pasti akan tersangkut di batu karang. Ketika ini perlu banyak bersabar menunggu agar ruby kembali keluar dari celah-celah batu karang. Sebab itulah disaran menggunakan perambut jenis apollo yang berkekuatan 150 lb agar tidak mudah putus.
Batu ladung yang beratnya hingga mencecah 2 kg itu jangan pula tersangkut kat mana-mana lubang karang, kalau tidak puaslah menarik untuk memutuskannya. Bayangkan sendiri untuk memutuskan tali pancing sejauh lebih 200 meter di dalam air.
Oleh demikian ada baiknya gunakan swivel kecil sebagai penyambung atau jambatan agar batu ladung tadi putus dan ikan dapat dinaikkan. Apalah sangat nilai batu ladung dengan si ruby yang merah menyala tu kan.
Kebiasaannya ruby akan menyerah kalah apabila perlawanan hampir ke separuh kedalaman air. Tekanan yang kuat daripada kekili elektrik akan menyebabkan gelembung udaranya keluar melalui mulut dan ia akan semakin lemah.
Apabila hampir di permukaan air biasanya ia akan timbul dengan sendirinya seolah-olah seperti ikan hanyut. Ketika ini teruskan mengarau walaupun tali utama kendur dan nampak mangsa yang terapung beberapa meter dari bot kita.
Kadangkala ia hanyut begitu sahaja apabila mata kail terkeluar daripada rahangnya. Oleh sebab itu gunakan dua mata kail agar lebih selamat. Ketika ini jangan pula ada yu atau jerung yang berkeliaran kalau tidak, pasti di cukainya dengan sekelip mata…!
Untuk memancing ruby snapper umpan hirisan ikan tongkol adalah yang terbaik. Selain itu, sotong segar juga boleh digunakan sebagai alternatif.
Dengan teknologi memancing yang kian berkembang, hari ini spesies ruby snapper lebih popular dengan teknik pancingan jigging perlahan. Teknik yang lebih mesra pemancing ini membolehkan lebih ramai pemancing menewaskan ruby snapper.
Sotong cumit dan sotong kurita merupakan dua spesis umpan yang terbaik di dalam kelasnya.
Kedua-dua spesies umpan ini amat digemari oleh hampir setiap ikan pemangsa seperti ikan-ikan snappers, groupers dan trevally. Bezanya adalah habitat yang mereka huni.
Sotong kurita biasanya mendiami kawasan yang berlumpur dan berbatu-batu.
Sotong kurita adalah spesies yang paling bijak menyembunyikan diri dengan sifat penyamarannya yang semulajadi.
Oleh yang demikian, penggunaannya perlulah bijak memilih dasar lokasi.
Sotong cumit pula mendiami kawasan di pertengahan air disemua kawasan. Ia merupakan spesies yang amat aktif pada waktu malam.
Biasanya ia memburu secara berkumpulan dengan turun dan naik mengikut kedalaman air dan pengaruh cahaya bulan.
Jika anda ingin menggunakan kedua-dua umpan ini pertimbangkanlah beberapa faktor sebagaimana berikut:
➡ Sotong kurita lebih berdaya tahan dari sotong cumit. Ia bagus untuk tempoh yang lama berbanding sotong cumit.
➡ Sotong kurita boleh digunakan pada waktu siang dan malam, sedangkan sotong cumit lebih efektif pada waktu malam.
➡ Sotong kurita sebenarnya lebih digemari oleh banyak pemangsa berbanding sotong cumit disebabkan ia mendiami habitat dasar dan senang diburu.
Sedangkan sotong cumit mendiami kawasan pertengahan air dan sukar diburu.
➡ Jika memancing pada waktu malam sotong cumit adalah lebih baik dari sotong kurita disebabkan sotong cumit mengeluarkan cahaya apabila ianya di dalam stress dan kesakitan akibat cangkukan mata kail.
Fenomena ini membuatkannya lebih mudah dikesan oleh ikan pemangsa.
➡ Dalam keadaan segar setelah mati, sotong cumit masih mampu mengeluarkan cahaya. Oleh yang demikian, ia lebih efektif berbanding sotong kurita yang telah mati walaupun masih segar.
➡ Sotong kurita tidak mudah mati, sedangkan sotong cumit sebaliknya.
➡ Sotong kurita juga dapat dijadikan umpan sedikit demi sedikit dgn cara memotong kakinya, namun ia tetap hidup.
Sedangkan sotong cumit harus digunakan seekor sekaligus, jika dipotong ianya akan mati.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...