Pari julang Hambali di Pantai Remis

Share

IKAN pari seberat 1.935 kilogram yang dipancing pada jam 12.19 tengahari, membawa tuah kepada Hambali Mikam apabila ditabalkan juara Cabaran Pantai Remis, Ahad lalu. Hambali yang hadir ke Pantai Remis bersama beberapa rakan dari Segamat, Johor berjaya menewaskan Ahmad Othman dari Manjung, Perak yang menaikkan ikan belukang 1.380 kilogram dan Adib Mustaqim yang menjinakkan seekor lagi spesis pari seberat 1.375 kilogram.

Dengan kemenangan itu, Hambali membawa pulang hadiah wang tunai RM44,500.00 serta tambahan RM200.00 lagi sebagai hadiah tambahan yang ditawarkan penganjur untuk peserta yang menaikkan spesis pari dalam pertandingan itu. Ahmad pula berpuas hati dengan wang tunai RM10,500.00 manakala Adib menerima RM5,500.00 serta tambahan RM100.00 untuk hadiah khas spesies pari.

Pari julang Hambali di Pantai Remis

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Sembilang, Datuk Abdul Wahab Hamid. Turut hadir Pengerusi JKKP Sungai Sembilang, Muhammad Radzi Mahmud dan Pengarah Urusan Wakjali Event Management, Md Zali Kasran. Md Zali berkata, sebanyak 502 ikan dihantar oleh peserta ke meja hakim untuk ditimbang manakala anggaran 300 ekor lagi tidak dihantar oleh peserta berikutan saiz yang agak kecil.

Menurut beliau lagi, selepas Pantai Remis, Wakjali Event Management akan menganjurkan satu acara mega iaitu Shimano Surfcasting Challenge 2017 di Pantai Puteri Melaka, 3 Disember ini. Acara tajaan Shimano itu menawarkan hadiah wang tunai hampir RM90,000.00 serta barangan Shimano bernilai hampir RM45,000.00. Sebanyak 80 unit kekili pancing Shimano akan dijadikan hadiah cabutan bertuah dan cabutan bonanza ialah Shimano Stella bernilai hampir RM5,000.00 serta Shimano Bullseye bernilai hampir RM2,000.00.

Published by
Amang