Dalam hobi memancing, terdapat banyak petua dan kepercayaan yang diamalkan oleh ramai kaki pancing. Begitu juga dengan petua pantang larang yang sukar untuk diterima oleh logik akal. Ada juga yang tidak ambil kisah dengan perkara tersebut dan ada yang percaya. Berikut antara pantang larang yang korang boleh nilaikan sendiri.
Set Pancing Dekat Tong Sampah
Dilarang meletakkan barang pancing terutama batang joran berhampiran atau bersebelahan tong sampah dan penyapu. Ia dikatakan mendatangkan `sial`dan dipercayai jika menggunakan batang joran berkenaan tidak akan dapat ikan.
Kunyit & tepung
Jika memancing di sungai yang dipercayai ada buaya, jangan gunakan umpan tepung yang digaul dengan kunyit. Buaya tidak suka bau kunyit dan ia boleh ‘mengamuk’ dan ini boleh mendatangkan bahaya kepada pemancing.
Ads
Sesat di hutan
Jika tersesat di dalam hutan semasa memancing dan tidak menjumpai jalan pulang, ada petua yang agak ngeri iaitu telanjang dan buang air kecil. Selepas itu, ambil tanah di antara tapak kaki anda dengan tempat membuang air kecil tadi dan bawalah sepanjang jalan. Khabarnya jalan pulang akan ditemui.
Pemakaian kasut
Ads
Apabila memancing di dalam sampan atau bot jangan pakai selipar atau kasut. Ia seperti hendak masuk rumah sendiri dan juga rumah orang lain. Ia seperti tanda hormat dan adab. Ada juga beranggapan benda-benda di bawah (dalam air) tidak suka kepala mereka dipijak dengan selipar atau kasut yang kotor.
Langkah joran
Petua ini menjadi ikutan ramai pemancing hingga ke hari ini. Pantang larang agar batang pancing tidak dilangkah ada kalanya menjadi satu medan pertengkaran sesama rakan pancing. Apa yang sering dikatakan adalah batang pancing akan ‘suwei’ apabila kena langkah dan hasil tangkapan akan meleset.
Ads
Meludah umpan
Petua ini turut menjadi amalan hingga kini. Ada yang melakukan pada umpan yang pertama di dalam aktiviti memancing dan ada yang sentiasa meludah setiap kali menukar umpan baru. Ada yang beranggapan untuk isyarat membuang ‘suwei’ dan ada yang kata sebagai ‘daya penarik’ ikan atau udang.
Patah balik
Dilarang patah balik ke rumah sekiranya ada tertinggal barang. Ada yang beranggapan akan berlaku perkara tidak baik dan juga tidak akan dapat hasil tangkapan. Itu kalau benda-benda kecil yang tertinggal la… kalau dah joran dengan reel yang tertinggal. Gila ke apa tak nak patah balik?
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Si Daus yang baru sampai tiba-tiba menerpa bila aku sebut sahaja nak pergi memancing kat kolam tinggal dalam kebun Pak Ucop.
Sebenarnya aku dan rakan lain, Buden, Din, Abe dan Naim sedang duduk minum-minum di warung dalam kampung kami ni.
Seperti satu kezaliman, boleh dikatakan setiap hari minggu jika tiada aral melintang, kami berlima akan melepak, sembang sambil minum-minum pada hari Jumaat malam Sabtu.
Biasalah, sebab esoknya masing-masing cuti. Perbincangan selalunya berkisar mengenai dunia hanyir kami. Sebab hobi ini jugalah kami berlima menjadi sahabat baik sekarang.
Hasil dari ‘melepak’ inilah timbul idea dan perbincangan untuk menerjah mana-mana lubuk pada cuti Sabtu atau Ahad nanti.
Kadang-kadang tu dua-dua hari kami keluar memancing, tertakluk kepada ‘lesen’ dari isteri bagi mereka yang telah berkahwin. Naim yang dari tadi asyik gelak mula membuka kata,
“Eh kau ni Daus, cerita apa? Ni ha… Bell ajak diorang cari haruan kat kolam tinggal Pak Ucop tu. Kau nak ikut ke?”.
Kalau ikutkan hati, aku sendiri yang nak tanya soalan tu. Tapi dah Naim dulu yang buka mulut, aku pun cuma tunggu sahajalah cerita yang ingin disampaikan.
“Pakcik aku kena badi ular,” jawab Daus ringkas. Jawapan ringkas itu juga membuatkan semua jadi tak senang duduk, termasuk aku.
Mula-mula kami ingat Daus cuma nak melawak. Tapi sambungan ceritanya jadi makin serius.
Wajah masing-masing yang dari tadi berseringai sebab ketawa mula susut ke senyuman pudar dan diakhiri dengan muka serius.
Menurut Daus, seminggu lepas, Pakcik beliau ada masuk ke dalam kebun Pak Ucop tu untuk memancing. Pak Ucop jenis tak kisah.
Tapi orang kampung tetap akan minta izin terlebih dahulu darinya jika berniat ingin memancing di situ.
Bukan tak biasa Pakciknya ke situ, tapi kali ini begitu pula nasibnya. Kami yang lain hanya mendengar dengan teliti.
Sebelum menyambung cerita, Daus berhenti seketika untuk memesan minuman daripada anak tauke warung tersebut.
Orang lain dah tak sabar nak dengar cerita, dia boleh pula main-main kata dengan si Zafirah anak Pak Zam Kay tokey warung tersebut.
Maklumlah, jarang-jarang anak gadisnya balik ke kampung. Tengah belajar di UiTM katanya. Jurusan Pengurusan Sistem Maklumat.
Oh ya, berkenaan kolam tersebut. Sebenarnya, di dalam kawasan kebun Pak Ucop terdapat sebuah kolam tinggalyang dahulunya dibuat kolam ternakan ikan keli.
Disebabkan Pak Ucop pernah sakit teruk, kolam itu menjadi tidak terurus dan akhirnya langsung tak terjaga.
Malah apabila hujan lebat melanda pada akhir tahun lepas, paras air naik menyebabkan ikan-ikan di dalamnya terlepas ke luar.
Kolam tersebut sebenarnya ditakung dan dibesarkan dari pecahan aliran sungai kecil yang mengalir masuk ke dalam kawasan kebun tersebut.
Maka tidak hairanlah terdapat ikan-ikan lain yang menyinggah di situ ketika kolam tersebut sedang rancak dijaga.
Ikan-ikan lain datang untuk menumpang makanan keli yang diberi oleh Pak Ucop.
Kalau diikutkan cerita orang kampung, teruk juga sakit Pak Ucop tu. Orang kampung ingat dah tiada harapan. Tapi umurnya panjang.
Pak Ucop kini amat cergas malah seperti tidak pernah jatuh sakit. Sungguhpun begitu, dari cerita yang disampaikan, memang dia dah tak nak lagi usahakan kolamnya itu.
Kadang-kadang naik airnya dan ada kalanya surut sungguh tapi tidak pernah kering, masih berbaki air seperti lecah dan lumpur.
Orang kampung pula, jika terdesak nak dapatkan haruan untuk tujuan ubat ibu berpantang selepas bersalin, atau saja suka-suka untuk memancing, mungkin dah tiada hala tuju sangat untuk melepaskan gian seperti kami, kolam kebun Pak Ucop tu lah yang dituju.
Tapi kami tak pernah bawa balik ikan-ikan tersebut. Semuanya dilepaskan kembali. Masing-masing mengamalkan pancingan tangkap dan lepas. Atau memang dah muak agaknya makan ikan sungai.
Nak dijadikan cerita, seminggu selepas Pakcik si Daus ni ke kolam tersebut, badan beliau tiba-tiba ditumbuhi sisik seperti ular.
Semakin hari semakin teruk sehingga kini keadaannya hanya terlantar di katil.
Puas berubat sana sini. Hospital kerajaan dan swasta pun dah pergi. Semuanya tak berhasil.
Tetapi menurut Daus, ada seorang ustaz yang ditemui memberi tahu, pakciknya terkena badi ular.
Aku dalam dilema antara ingin percaya atau tidak. Tapi takkan benda-benda macam ni nak buat main pula.
Lagi-lagi yang diceritakan itu ialah pakciknya sendiri. Takkan nak buat main dengan nama ahli keluarga.
Tambahnya lagi, ustaz tu ada beritahu yang ketika sedang mengubat, ada seorang perempuan berambut panjang berbadan ular marah pada ustaz tu sebab cuba nak ubatkan pakciknya.
“Jin tu nak buat pakcik aku sampai mati!” Meremang bulu roma aku bila Daus habiskan ayatnya.
Naim bertanya, “Kenapa boleh jadi macam tu? Ada orang ‘buat’ ke?” Jawab Daus, “Masa dia mancing tu ada ular tedung besar lengan datang ke arahnya. Dia ketuk sekali je ular tu tumbang. Tak melawan langsung.”
Sambungnya lagi, “Lepas dia bunuh ular tu, baru dia fikir, betul ke ular yang dibunuh tu….” tambahnya, ketika itu sedang Maghrib.
Persoalannya, kenapa tak dihalau sahaja ular tersebut. Atau orang tua itu sahaja yang beralih. Mungkin ketika itu ada makhluk lain yang ingin pulang ke alamnya.
Maklumlah hari sedang Maghrib. Semua pertanyaan ini bermain di benak fikiranku sendiri. Tak pula aku ajukan pada Daus kerana mungkin tidak mahu membuat suasana menjadi semakin ralat.
Tambahan pula, sekarang ni, beliaulah yang perlu berikhtiar untuk merawat pakciknya itu.
Ah.. Mungkin sebab terlalu panik maka ular itu pun dibunuh. Biasalah tu ‘orang kita’ kalau terjumpa dengan binatang-binatang merbahaya ni.
Lagipun, jika kita tak bunuh… kita pula akan jadi mangsa. Aku cuba sedapkan hati sendiri.
Dalam tak sedar, Pak Zam Kay dah berkemas-kemas nak tutup warung. Kami pun angkat punggung masing-masing menuju ke kaunter.
Pak Zam Kay cakap hari ni tak payah bayar, sedekah. Nak tunggu kenduri lambat lagi katanya.
Mungkin beliau perli kami sebab kacau anak daranya tadi. Apa pun, kisah Badi Ular tersebut membuatkan bulu roma badanku meremang sepanjang perjalanan pulang.
Tahun 1995 hingga 1998 adalah tahun saya kemaruk dengan aktiviti memancing. Maklumlah waktu tu jadi guru banyak masa senggang. Waktu petang boleh buat macam macam aktiviti. Lebih-lebih kalau duduk di Saratok. Boleh mengail udang di pangkalan.
Waktu itu juga kawan-kawan Iban sering mengajak saya memukat di Alit. Pantai Alit yang agak landai memang menjadi lokasi memukat anak belanak atau disebut orang tempatan ikan kemura. Selain anak belanak kadang udang laut (lapis/tohey) juga mudah sangkut.
Saya masih teringat lagi saat air surut kami dah mula mencacak kayu atau buluh di pantai. Selepas jaring diikat pada kayu atau buluh tadi. Kami akan menunggu saat air pasang. Waktu itu kami tak hanya berdiam diri. Maka masing-masing mencapai joran dan melabuhkan kail dan ladung sambil menanti pari merenggut umpan.
“Woii! Dapat woiii!” jerit Cikgu Zul bila jorannya direntap sesuatu. Sambil melayan kekili, Cikgu Zul menarik sedikit demi sedikit tali jorannya. Meskipun mula-mula ikan melawan tapi akhirnya tewas juga ditarik ke daratan. Ternyata bukan pari tapi sembilang.
Bila air mula pasang… saya, Cikgu Zul dan Cikgu Wan mula meninjau pukat. Banyak juga anak belanak sangkut dipukat. Cikgu Zul memang peminat ikan belanak.
“Ni kalau masak steam sedap ni, Zal.” kata Cikgu Zul.
Selesai memukat saya menyimpan pukat di dalam bonet Kancil. Masing-masing pulang ke rumah. Namun pada waktu malam ada ‘pelawat’ datang menjengah di rumah mertua tempat saya menginap.
Ia disedari oleh orang kampung yang nampak sebiji bebola api berlegar di atas kereta saya. Saya juga perasan bila terdengar bunyi kicauan murai dan tekukur di tengah malam agak riuh.
Saya pun turun ke bawah rumah. Kelihatan beberapa orang kampung datang membawa lampu suluh. (maklumlah waktu itu kampung Nyabor masih menggunakan generator).
“Ado antu laut dibah yo… tapi dah lari dikepong kamek orang.” Kata seorang jiran tidak jauh dari rumah.
Keesokan paginya 5 ekor bangkai tekukur peliharaan adik ipar mati dalam keadaan dadanya berlubang.
“Apa kitak polah ari marek cikgu?” Tanya seorang penduduk.
“Kamek memukat jak. Dapat ikan murak dan lapis. Pas ya kamek pulang,” jawab saya.
“Ni pukat tek?” Soal beliau kembali.
“Ado dalam bonet,” jawab saya.
“Sik dicuci?” tanya beliau lagi.
“Sik…” jawab saya pendek.
“Yasullah. Patutlah diagak antu kitak tok… (patutlah kamu di kejar hantu) rupanya pukat sik dicuci.”
“Manalah saya tahu…” jawab saya tersengih.
Saya membuka bonet. Terkejut sungguh bila pukat saya penuh dengan sampah, daun kering dan tulang ikan.
Saya dan penduduk kampung mengutip semua sisa yang terlekat dipukat dan dibawa semula ke pantai Alit untuk dibuang.
Sejak itu saya tak berani lagi kelaut. Rasa cuak bila dikejar penunggu laut. Bila gian nak mengail. Saya hanya mengail haruan di parit sahaja.
Orang kata ikan talang bukanlah sedap untuk dijadikan juadah. Lebih sesuai dibuat ikan masin sahaja. Orang yang cakap macam tu sebenarnya tak pernah try pun makan ikan talang. Kalau dia try kari talang sekali mesti terus terdiam punya.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan talang saiz sederhana
1 bungkus kecil rempah kari ikan
15 tangkai cili kering (dikisar)
2 biji bawang besar (dikisar)
4 biji bawang merah (dikisar)
2 ulas bawang putih (dikisar)
5 cm halia (dikisar)
1 kotak kecil pati santan
1 sudu kecil air asam jawa
Kacang bendi
Tomato
1 tangkai daun kari
Garam, gula dan serbuk perasa
Cara Penyediaan:
#1. Bersihkan ikan talang, toskan dan ketepikan dahulu.
#2. Panaskan minyak yang banyak dan masukkan rempah campuran, tumis seketika.
#3. Masukkan pula bahan kisar serta daun kari. Tumis sehingga wangi.
#4. Bancuh rempah kari ikan dengan sedikit air. Masukkan rempah kari ikan dan tumis sehingga rempahnya agak garing.
#5. Setelah garing, masukkan santan dan air secukupnya. Masukkan air asam jawa. Setelah kuah mendidih, perlahankan api dan masukkan ikan. Kemudian biarkan kuah merenih dengan api kecil sehingga pecah minyak.
#6. Masukkan bendi dan tomato. Akhir sekali masukkan garam dan serbuk perasa. Setelah kuah terbit minyak dan cantik, boleh tutup api.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...