Panduan & Tip Penting Menyandat Sotong!!

Share

 

Sebaiknya cari tekong yang memiliki kemudahan dan fasiliti bot yang baik. Lengkap dengan gps dan sonar bagi mengesan kumpulan atau kandang sotong. Penting bagi korang yang pertama kali nak menyandat, pastikan bot tersebut selesa dan memiliki tandas.

 

 

Gunakan peralatan yang sesuai untuk mencandat. Jika menggunakan joran dan kekili, sebaiknya guna set sederhana dan jika menggunakan koyan, sebaiknya tali koyan berdiameter tebal agar tidak bersimpul dan memedihkan tangan.

 

Cara mencandat sotong adalah mengunjun candat sehingga ke dasar laut. Batu ladung atau candat twist yang digunakan sebagai pemberat dibiarkan di dasar, hanya tali pancing dihenjutkan dengan cara mengendur dan menegangkannya. Apabila terasa sesuatu yang berat, tarik atau gulung tali secara sederhana.

 

 

Jika menggunakan candat mayat atau candat apollo, sebaiknya cubalah candat pelbagai warna dan perhatikan candat yang mana lebih disukai oleh sotong. Jika candat mayat atau candat udang kurang disukai oleh sotong, cuba pula candat umpan yang menggunakan umpan ikan.

 

Apabila candat mengena sotong, jangan karau atau gulung tali dengan laju dan kasar. Jangan juga terlalu perlahan hingga sotong mampu meloloskan diri. Tarik secara bertenang dan apabila sotong muncul di permukaan air, biarkan ia memuntahkan dakwatnya sebelum mendaratkannya ke dalam bot.

 

Biarkan sotong yang berjaya dinaikkan mati sebelum memasukkannya ke dalam tong ais. Sekiranya ada tangkapan selain sotong, sebaiknya asingkan sotong dan ikan kerana kualiti dan rasa ikan akan terjejas.

 

Published by
Amang