Salah satu umpan terbaik memancing di kelong ialah ikan hidup. Namun untuk mendapatkan ikan hidup di kawasan kelong ini tidaklah semudah yang disangka. Bagi yang masih baru memancing di kelong pasti kurang arif tentang bagaimana hendak mendapatkan umpan ikan hidup dengan menggunakan perambut apollo. Di sini penulis sertakan sekali tip untuk mengesan di mana ikan pelagik bermain:
Untuk memburu ikan pelagik seperti tamban, selar, kembung dan sebagainya perambut apollo yang paling sesuai digunakan ialah perambut apollo kertas berwarna putih dengan manik hijau. Saiz yang paling sesuai ialah saiz 6, 7 atau 8.
Sekiranya di kawasan kelong tersebut lebih banyak dihadiri ikan tambam kecil atau bilis, sebaliknya guna mata apollo yang lebih kecil seperti saiz 4. Kelebihan apollo saiz kecil ini ia juga boleh mengena ikan yang lebih besar.
Ads
Namun dinasihatkan agar ikatan swivel yang sedia ada itu diganti dengan ikatan sendiri kerana lazimnya ikatan tersebut tidaklah sekuat mana.
Ikan-ikan pelagik ini tidak sentiasa ada bermain di kawasan kelong. Oleh yang demikian anda perlu mengesan kehadirannya.
Ads
Antara waktu terbaik untuk mengesannya ialah ketika pergerakan air surut atau pasang, cari arah alir mengalir. Anda hendaklah membaling apollo bertentangan dengan arah air mengalir.
Ads
Untuk mengesan kehadiran ikan ini anda perlu bijak melihat kelibatnya bermain air. Cari buih atau percikan di dalam air. Atau anda juga boleh nampak kelibat putih di dalam air dan lontarkan apollo di kawasan itu.
Selain memerhatikan dengan penglihatan, anda juga boleh menggunakan indera pendengaran. Guna telinga. Jika benar-benar diamati, pemancing boleh mendengar bunyi “tip..tip..tip” dalam air. Di situlah biasanya tempat ikan pelagik bermain.
Jika ia tidak kelihatan atau tidak mendengar sebarang bunyi, gunalah gerak hati anda. Rajin-rajinlah menggunakan apollo ketika tiba waktunya. Selamat mencuba dan selamat berjaya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ada sedikit perkara penting dalam pengurusan dan penyimpanan sejuk ikan tangkapan anda. Biasanya, Apabila selesai memancing dan hasil tangkapan kemudian dikeluarkan di akhir sesi pancingan di bawah cuaca yang terik untuk disiang, situasi ini sering dilihat tidak dikendalikan dengan baik. Ini mengakibatkan daging ikan menjadi lembik.
Gunakanlah kebijaksanaan anda. Proseslah tangkapan anda di tempat yang terlindung. Pastikan tangkapan anda berada dalam ais semasa anda memproses setiap ikan, sebelum menggantikan ikan yang telah dibersihkan ke dalam peti simpanan ikan itu.
Sememangnya berbaloi mencuci tangkapan dan peti simpanan, sebelum ikan diagih-agihkan. Tujuannya mempastikan ikan yang diproses sentiasa bersih. Ia lebih bersih dan kemas, jika persekitaran kerja turut bersih dan kemas.
Sebab itulah proses ini lebih baik dilakukan di rumah, bukannya di jeti. Di rumah, kita juga tak perlu tergesa-gesa dan dapat menguruskannya betul.
Jika ikan hendak disejuk beku, ia perlulah dibuang kesemua insang dan perutnya. Pastikan semua usus dan darahnya tidak tertinggal. Ruang perut yang kosong sebaiknya digosok dengan berus bagi memanjangkan hayat simpanan. Selepas membasuh, pastikan air dibuang sebelum dibungkus untuk pembekuan.
Kalau daging ikan dilapah atau fillet untuk dibekukan, ianya hendaklah dibungkus dalam paket saiz hidang. Kemudian labelkan ia dengan nama spesies dan tarikhnya menggunakan marker pen, sebelum disusun kemas dan rata dalam peti sejuk.
Penambahan maklumat tarikh menyenangkan anda untuk menguruskan bekalan, di mana ikan yang paling lama disimpan akan digunakan terlebih dahulu.
Sebaik-baiknya jangan simpan ikan anda terlalu lama dalam peti sejuk sehingga lebih 5 bulan. Sekiranya anda berniat untuk simpan beku sehingga 5 bulan, disarankan ia dibungkus dalam pek kedap udara.
Ataupun disimpan dalam beg sejuk beku khas, kemudian disusun dalam bekas sebelum direndam air. Dengan cara ini, air akan membeku dan menghalang ikan menjadi lecur beku.
Ketika mula menyandat sotong torak, saya cuba meniru dari jauh apa yang dilakukan oleh tekong. Dari memasang umpan sehinggalah cara henjutannya.
Apa yang pelik, tiada sotong yang sudi menarik candat, sebaliknya tekong menaikkan sotong seekor demi seekor. Bahu macam nak tercabut manakala jari telunjuk semakin lama semakin pedih. Sotong di bawah bot memang banyak tetapi buat tak tahu je.
Setelah sekian lama menyandat, semakin banyak pengalaman dikutip dari sifu-sifu sotong. Rupa-rupanya cara ikatan memainkan peranan yang cukup penting bagi menarik perhatian sotong. Candat mahal dan cantik bukan sandaran untuk mendapatkan sotong.
Kali ini saya akan menerangkan secara ringkas bagaimana untuk mengikat candat. Walau bagaimanapun cara ini bukanlah satu-satunya cara yang berkesan.
Tali utama
Koyan memerlukan kekuatan tali lebih kurang 100-150lb. Tujuan tali melebihi 100lb bukan kerana sotong kuat melawan dan memutuskan tali sebaliknya untuk mengelakkan tali bersimpul atau berbelit. Kalau berbelit pun mudah dileraikan. Jika menggunakan joran dan kekili memadai 20lb sehingga 50lb.
Perambut
Koyan memadai tali Perambut 20-25lb. Begitu juga jika menggunakan joran dan kekili, atau boleh guna perambut lebih kecil.
Penggunaan tali serek atau koyan yang kasar mampu mengurangkan tekanan pada tangan ketika membuat unjunan atau ketika menarik sotong. Perambut yang lebih kecil mampu menjadikan tarian candat lebih real. Pada masa kini ramai penyandat menggunakan perambut jenis invisible atau lebih dikenali sebagai perambut hantu.
Cara Membuat Perambut
Ambil tali perambut yang sesuai dan tali kedua (anak perambut) yang lebih kecil. Letakkan bersama dan buat satu gelung dengan dua pusingan ke dalam dan ditarik dengan ketat. Potong satu hujung tali yang kecil. Jika ia melengkung ke bawah, ia sesuai untuk diikat candat. Jika ia lurus ke bawah, itu menunjukkan anda tersalah potong.
Ulang langkah berkenaan jika hendak menambah candat udang yang seterusnya. Paling kurang dua candat udang. Candat yang paling bawah (twist) terus diikat pada tali perambut utama. Ia bertindak sebagai pemberat untuk menjatuhkan candat ke dasar laut serta berfungsi untuk meluruskan tali.
Candat payung atau candat umpan dipasang dengan menyucuk ikan dari ekor hingga ke mulut. Kili dicucuk pada mulut ikan dan disambung ke hujung candat. Ada juga ikan yang dicucuk terbalik dari mulut ke ekor. Kedua-dua kaedah ini mampu menjerat sotong torak.
Walau bagaimanapun cara cucuk ekor ke mulut adalah lebih praktikal kerana apabila tali ditarik, ikan dilihat seolah-olah melarikan diri ke atas. Keadaan ini mampu meningkatkan nafsu makan sotong torak.
Ikan yang biasa digunakan sebagai umpan termasuklah ikan tamban, kembong, kunyit, selayang dan anak ikan alu-alu.
Candat payung tidak perlu dihenjut. Lepaskan sahaja candat berkenaan ke dasar laut dan cuba periksa sekali-sekala. Tarikan yang berat menunjukkan sotong telah terkena candat. Jika terasa ringan, rendam semula candat di dasar laut.
Jika masih tiada tarikan sotong, tarik candat ke atas dan periksa tanda-tanda gigitan sotong pada badan ikan. Candat payung juga digunakan secara tunggal. Jika arus terlalu kuat, bantuan tanduk dan batu ladung diperlukan bagi menurunkan candat ke dasar laut.
Penyandat profesional, menggunakan lebih dari satu tali pancing dalam satu-satu masa. Sebagai contoh satu tali candat pelbagai dan dua tali candat umpan digunakan. Candat umpan tidak perlu dihenjut dan hanya diperiksa sekali-sekala.
Hanya tali yang mempunyai candat pelbagai sahaja yang sentiasa berada di tangan penyandat untuk dihenjut.
Jika pancingan dilakukan dalam kumpulan yang ramai, penggunaan tali lebih dari satu bagi setiap pemancing adalah tidak praktikal. Tali yang terlalu banyak akan menyebabkan berlaku penyilangan dengan tali-tali rakan pancing yang lain. Jika ini berlaku, banyak masa akan terbuang bagi merungkai kekusutan tali berkenaan.
Hasil temubual dengan seorang otai pancingan pantai atau surfcasting, kami berjaya buat satu rumusan sebagai panduan untuk korang cuba dan praktikkan.
Umpan
Umpan untuk kegunaan memancing di pantai boleh disenaraikan seperti berikut:
Udang segar (hidup lebih baik).
Perumpun sarang/pantai.
Hirisan ikan (kembung, selar, selayang).
Sotong pasar (sotong cumit / kurita paling sesuai).
Anak ikan belanak.
Ikan muara seperti beliak mata, selangat, bilis air, bulu ayam, rencang rebung dan kasai.
Ketam angin / anak ketam batu.
Roti untuk umpan belanak besar.
Roti canai / daging ayam untuk ikan kuku.
Siput, kerang, kupang dan isi cengkerang lain.
Batu ladung
Saiz batu ladung boleh menentukan jarak balingan. Tetapi pastikan batu yang digunakan dapat ditampung oleh hujung joran ketika lontaran dibuat. Jika tidak, hujung joran mudah patah ketika permulaan lontaran.
Saiz batu juga boleh ditentukan melalui keadaan pasang surut serta permukaan. Bermula nombor 8 hingga 12 adalah saiz yang lumrah digunakan pemancing pantai. Pilih batu jenis lonjong memanjang supaya ia kurang memberi rintangan angin dan arus.
Perambut
Perambut mulakan dengan 20 hingga 60lb bergantung kepada kekuatan tali utama, saiz mata kail, kapasiti kekili dan kekuatan joran yang digunakan.
Pilih warna cerah dengan panjang perambut antara 1 hingga 2 kaki. Kalau memancing ikan bebulus di pantai perambut setengah kaki dengan kekuatan 12lb amat sesuai.
Waktu sesuai
Kunjungi pantai ketika keadaan air yang kurang gelombang dan berangin. Pastikan tiada hujan sebelum kunjungan dan air yang hampir jernih (jika air terlalu jernih, ikan biasanya kurang galak memakan umpan).
Waktu terbaik ialah ketika air pasang penuh. Ketika itu, ikan akan merapat ke pantai. Pada sebelah malam pula, ikan lebih efektif daripada siang.
Secara ringkas waktu paling sesuai ialah lewat petang hingga sebelum fajar. Terbaik ialah lepas solat Maghrib hingga sebelum habis waktu Subuh.
Sebagai tambahan, menggunakan joran panjang tidak kurang 10 kaki (3.5 meter) adalah satu kelebihan. Kekili jenis mendatar (spinning) dan spool jenis panjang sesuai jika pemancing berhajat membuat lontaran lebih jauh.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...