Panduan Selamat Memancing Guna Joran Panjang

Share

 

Surfcasting atau pancingan pantai merupakan salah satu teknik memancing yang menyeronokkan. Dengan menggunakan joran panjang, batu ladung dan mata kail alatan utama, ia juga merupakan sukan memancing yang berisiko tinggi ditimpa kemalangan jika cuai atau kurang waspada.

 

Terutamanya jika memancing secara beramai-ramai di kawasan yang sempit, khususnya di dalam pertandingan.

 

Pastikan juga kawasan pemburuan tersebut tidak terlalu terpencil dan cuba elakkan dari memancing seorang diri. Sekarang ini semakin banyak kes penjenayah mensasarkan pemancing sebagai mangsa samun dan sebagainya.

 

 

Kaedah Balingan

 

Sentiasa pastikan di mana kedudukan batu ladung dan mata kail sebelum membuat balingan. Elakkan dari melakukan balingan sekiranya ada sesiapa yang bergerak di belakang anda.

 

Cuba elak daripada mengamalkan teknik balingan secara putaran untuk mendapatkan momentum balingan kecuali tiada sesiapa di kiri dan kanan anda.

 

 

Pastikan tiada halangan atau sesuatu yang terbelit sebelum melakukan lontaran. Dengan momentum balingan yang kuat, tali pancing atau hujung joran boleh patah sekiranya terdapat halangan.

 

Jika anda bukan seorang perenang yang baik, sebaiknya jangan lakukan balingan di dalam air melebihi paras pinggang, apatah lagi ketika permukaan laut agak berombak. Risiko ditarik ombak ke tengah laut kemungkinan besar akan berlaku.

 

 

Pastikan drag kekili diketatkan sebelum melakukan balingan. Sebaiknya juga alas jari anda dengan plaster atau memakai sarung tangan. Seretan tali sulam dengan mudah menghiris jari umpama mata pisau.

 

Selepas melakukan balingan, longgarkan drag kekili dan sebaiknya jangan pancangkan jorak melebihi sudut 90 darjah. Sentapan ikan bersaiz monster boleh menyebabkan hujung joran patah.

 

 

Sekiranya ingin melakukan lontaran dari dalam air, pastikan kawasan tersebut bebas dari kewujudan ulat bulu laut. Atau sebaiknya jangan berkaki ayam ketika meredah masuk ke dalam air.

 

Published by
Amang